Namun bagi kawasan perairan, adalah sesuatu yang sukar untuk menentukan sempadan. Ini kerana apa yang ada di darat mudah dilihat dan dikesan melalui pancaindera seperti gunung, bukit, jurang, lembah, sungai dan lain-lain bentuk geografi.

Bagi Pengarah Kanan Hidrografi, Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Laksamana Pertama Dr. Najhan Md. Said, perkara paling utama untuk mengkaji struktur topografi dan morfologi dasar laut adalah menerusi data hidrografi.

Menurutnya, pengumpulan data-data hidrografi telah dilaksanakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 54 tahun lalu.

“Tanggungjawab utama yang diamanahkan kepada PHN semasa penubuhannya adalah tertumpu kepada menghasilkan peta laut atau carta nautika untuk tujuan keselamatan pelayaran kapal-kapal yang melalui perairan Malaysia.

“Namun, berikutan permintaan data marin resolusi tinggi yang semakin meningkat, tanggungjawab PHN semakin meluas. Bertitik tolak dari itu, PHN telah diberi mandat dan kepercayaan untuk mempengerusi dan menganggotai beberapa jawatankuasa di peringkat kebangsaan serta di pentas antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Najhan berkata, salah satu tanggungjawab PHN kini adalah sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Nama Pulau dan Entiti Geografi (KKNPEG) yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Nama Geografi Kebangsaan (JNGK)

“JNGK bertanggungjawab dalam mengurus tadbir nama geografi bagi pulau dan entiti geografi marin sama ada di laut, tasik serta sungai.

“ Sebagai contoh, untuk entiti dasar laut yang terletak di luar perairan Wilayah Laut (melebihi 12 batu nautika dari pantai), proses penamaan harus mendapat kelulusan sebuah jawatankuasa antarabangsa iaitu Sub-Committee on Undersea Feature Names (SCUFN),” jelasnya.

Penglibatan aktif dan kepakaran PHN kini mendapat pengiktirafan global apabila Najhan dipilih untuk menganggotai SCUFN bagi tempoh lima tahun menjadikannya sebagai anak Malaysia pertama terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa SCUFN sejak 1993.