Ini kerana dua orang kepercayaan Ketua Unit Penggempur Ke-6 Parti Komunis Malaya (PKM), Chong Chor iaitu Amat dan Thompson yang menaiki sebuah teksi akan melalui kawasan itu dari Kuala Lipis.

MAZARUDDIN HAMZAH
MAZARUDDIN HAMZAH 

Di situ, satu sekatan jalan telah dirancang oleh sekumpulan anggota Pasukan F, Cawangan Khas E3 (M) Bukit Aman untuk menawan kedua-dua pengawal peribadi Chong Chor itu.

Turut menyertai operasi dikenali Ops Kelah itu ialah Konstabel Detektif, Mazaruddin Hamzah, 64, yang telah bersiap sedia bersama beberapa rakannya di sekatan jalan raya itu.

Arahan yang diterima adalah untuk menawan hidup-hidup kedua-dua pengganas komunis itu.Bercerita mengenai operasi tersebut, Mazaruddin memberitahu, pada mulanya, pergerakan operasi berjalan seperti dirancang.

Teksi yang membawa dua pengganas komunis itu tiba melalui sekatan jalan tersebut dan Mazaruddin bersama rakannya, Detektif Maulan yang berpakaian seragam polis menjalankan sekatan sementara anggota yang lain berada di dalam semak.

Kedua-dua mereka yang duduk di kerusi belakang kereta kelihatan tenang dan hanya mendiamkan diri kerana berasakan tiada bahaya akan menimpa mereka.

Mengambil peluang itu, Mazaruddin berpura-pura memeriksa ke dalam teksi sebelum enam lagi rakannya yang berada di dalam semak di kiri dan kanan jalan perlahan-lahan mendekati teksi itu. Bagaimanapun, keadaan selepas itu bertukar tegang apabila Amat dan Thompson terkejut dengan kehadiran pihak polis menyebabkan berlaku pergelutan antara Mazaruddin dengan Thompson ketika beliau dan dua rakannya cuba menarik keluar lelaki berbadan besar itu dari teksi.

“Pang...satu das tembakan dilepaskan Thompson dan ketika itu saya betul-betul berada di bahagian hadapan sambil memaut badannya di sebelah kiri.

“Thompson sempat mencapai pistolnya dan melepaskan tembakan, namun pelurunya tersasar melepasi atas cuping telinga saya,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Mazaruddin memberitahu, walaupun ketika itu nyawanya ibarat berada di hujung tanduk, beliau bersyukur kerana sempat mengelak.

“Kalau tersilap langkah sudah pasti nyawa saya melayang hari itu,” ujar anak kelahiran Juaseh, Negeri Sembilan ini.

Mengimbau kembali ketika menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), bapa kepada lima cahaya mata hasil perkahwinan dengan Azizah Johari, 58, itu berkata, beliau memohon menyertai polis pada 1976 dan ditugaskan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) sebelum terpilih menyertai Pasukan F sehingga 1980.

Beliau bertugas dalam Pasukan F di Cawangan Khas Bukit Aman, kemudian ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuala Langat sebagai Detektif Cawangan Khas (SB) pada 1988.

Berikutan kejayaan dalam beberapa operasi termasuk Ops Kelisa pada 1986 di mana Mazaruddin menembak mati ketua pasukan komunis, DCM Wong Chew Nam atau dikenali dengan nama Au Suk, beliau dianugerahkan Pingat Gagah Perwira (PGP) oleh Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 1989.

>> Baca kisah selanjutnya di sini