Serangan oleh kira-kira 250 pengganas komunis yang mengepung balai polis itu mula disedari seorang anggota polis yang ternampak kelibat komunis cuba memotong pagar besi sebelum tembakan dimulakan pihak pengganas.

Tembakan bertali arus dari setiap sudut bagi memecah masuk ke dalam balai polis berkenaan dibalas oleh anggota polis yang sedia berjuang mempertahankan balai berkenaan sehingga ke titisan darah terakhir.

Serangan yang bermula pada pukul 4 pagi pada 11 September 1949 itu mengorbankan empat anggota polis termasuk seorang anggota polis yang bakal pulang ke kampungnya di Kuala Krai, Kelantan keesokan hari bagi melangsungkan perkahwinan.

Difahamkan dalam kejadian itu, seorang anggota yang dikenali ‘mata-mata’ Hamzah terkorban akibat ditembak ketika ingin menyelamatkan baju pengantin yang tergantung di tempat penyidai.

Serangan itu turut mengorbankan seorang isteri kepada anggota Special Constable (SC) yang hamil lima bulan selepas terkena tembakan, selain dua petugas kereta api warga Inggeris yang menjadi tebusan pihak komunis.

Dalam kejadian itu, gerabak keretapi turut dibakar pihak komunis. Menurut catatan, serangan berakhir selepas waktu subuh apabila hari semakin cerah.

Bekas Penghulu Mukim Jenderak 1, Datuk Zainal Azman Bidin yang pernah membuat penyelidikan melalui temuramah dengan bekas Timbalan Ketua Balai Polis Kuala Krau, Koperal Wok Zainal (kini Allahyarham) berkata, kecekalan anggota polis yang mempunyai semangat juang yang tinggi berjaya mempertahankan balai polis berkenaan daripada jatuh ke tangan pengganas komunis.

“Walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan, terpaksa berhadapan dengan sejumlah anggota komunis yang lebih ramai iaitu kira-kira 250 orang, kelengkapan senjata yang tidak canggih seperti digunakan pengganas komunis serta jumlah peluru yang terhad, namun mereka (anggota polis) berjaya mempertahankan balai berkenaan.

“Sepanjang tempoh serangan, mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi dan keberanian luar biasa. Ketika itu, seorang mata-mata dikenali Husin memainkan peranan besar dengan mempertaruhkan nyawa apabila meredah lautan peluru bagi menghantar bekalan peluru kepada anggota yang bertahan di kubu sekeliling balai,”katanya kepada S2.

Menurut Zainial Azman, dalam serangan itu, anggota polis terlibat menyedari mereka tidak cukup peluru, selain jenis senjata yang digunakan tidak canggih seperti Bren Gun yang dimiliki pengganas komunis.

Justeru, anggota polis terbabit terpaksa menjimatkan peluru dengan hanya menembak ketika perlu sahaja.

“Pengganas komunis yang berputus asa kemudian mengugut untuk menembak mati dua warga Inggeris yang bekerja di stesen keretapi termasuk seorang jurutera keretapi.

“Walaupun diugut, pasukan polis tidak menyerah kalah. Malah mereka dapat ‘menghidu’ helah komunis iaitu jika balai polis itu ditawan, pastinya lebih banyak nyawa melayang dan kesannya lebih buruk,”ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kejadian serangan itu telah dirancang dengan rapi. Ini dapat dilihat apabila komunis menutup laluan utama termasuk memotong rel keretapi bagi menghalang sebarang bantuan.

“Ketika pasukan bantuan 
dari Mentakab tiba dengan menaiki keretapi, beberapa anggota polis yang mempunyai Bren Gun duduk di gerabak belakang.

“Apabila keretapi ini terbalik, komunis menyasarkan serangan di gerabak hadapan. Melihat keadaan itu, anggota polis yang bersenjatakan Bren Gun keluar dari gerabak belakang dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan berpuluh-puluh pengganas komunis bergelimpangan terbunuh di landasan keretapi di Tanjong Kubu dekat Kuala Krau,”katanya.

Menurutnya, serangan terhadap balai polis berkenaan kemudiannya terhenti apabila pihak komunis gagal memecah kubu pertahanan anggota polis ketika hari mulai cerah.

“Koperal Wok mengatakan dua kemungkinan menyebabkan komunis berundur iaitu lebih mudah mereka melarikan diri sebelum hari cerah dan kerana mereka menyangka bantuan tiba selepas melihat sebuah pesawat tentera terbang melepasi kawasan berkenaan,” ujarnya.