1 Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman atau Ibu Zain

  • 1903-1989
 

Seorang tokoh pendidik yang berjaya menyatukan kaum ibu untuk menuntut kemerdekaan. Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan sanggup meredah hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi menangkis dakyah komunis daripada menular dalam kalangan masyarakat.

Ketika pendudukan Jepun di bumi Malaya Ibu Zain menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar berkenaan malah mampu menguasai bahasa Jepun dalam tempoh sebulan sahaja.

Beliau mahu lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis dan seawal usia 17 tahun, Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan atas perbelanjaannya sendiri.

2 Khatijah Sidek

  • 1918-1982

Di bawah kepimpinannya, hampir 10,000 wanita menyertai UMNO untuk memper­juangkan kemerdekaan malah lantang memper­juangkan hak wanita. Pernah digelar Iron Lady of Malaya dan antara bait pantun yang menyuntik semangat wanita untuk menentang penjajahan ketika era kepemimpinannya ialah;

“Bangun melur bangun melati,

Kembang bunga petang dan pagi,

Biar lebur biar mati,

Namun tak mahu dijajah lagi.”

Pernah dipenjarakan di Singapura kerana dituduh hendak menggulingkan kerajaan penjajah. Namun begitu Khatijah adalah seorang wanita yang tabah. Walaupun dipenjara semangat nasionalismenya tidak pernah padam. Ketika dipenjarakan beliau mengandung anaknya yang pertama.

 

3 Tan Sri Datin Paduka Seri Aishah Ghani

  • 1923- 2013

Bermula sebagai wartawan untuk Parti Kebangsaan Melayu (PKM), kemudian mengetuai Angkatan Wanitar Sedar (Awas) iaitu sayap wanita PKM kemudian memyertai menyertai UMNO. Aishah keluar daripada Awas pada tahun 1946 (Awas kemudian diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1948) dan menyertai perhimpunan yang menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, Mac 1945.

Pada 1963 beliau telah dilantik sebagai senator wanita Malaysia pertama dan wakil wanita yang pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

4 Tan Sri Fatimah Hashim

  • 1924-2010

Menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung untuk menentang penjajahan dan memperta­hankan kedaulatan Melayu. Memulakan karier politik semasa berusia 21 tahun dengan menyertai UMNO dan semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik sekali gus menyertai UMNO.

5 Pasukan Homeguard Kaum Ibu

  • 1948-1960

Golongan wanita di kampung-kampung juga tidak ketinggalan mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis dengan menyertai Pasukan Homeguard Kaum Ibu semasa era Darurat Malaya (1948-1960).

Antara bentuk latihan yang diberikan kepada pasukan ini ialah latihan menggunakan senjata dan menembak, latihan bercorak situasi ketika diserang komunis dan latihan membuat serangan terhadap kedudukan komunis.

Penubuhannya dicetuskan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu iaitu Jeneral Sir Gerald Templer (1951-1954) dan kini pasukan ini dikenali sebagai Ikatan Relawan Malaysia atau Rela.