Itu pandangan penulis selepas bertemu dengan Superintenden Shafa’aton Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Selangor.

Menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika berusia 20 tahun pada 1996, Shafa’aton mengaku tidak terlintas langsung di fikirannya akan memegang jawatan sebagai ketua polis daerah.

“Ini adalah jawatan ‘command post’ dan saya mengambil masa selama tiga ke empat hari berfikir adakah saya layak untuk jawatan tersebut,” katanya.

Menurutnya, beliau turut menghubungi Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok untuk bertanya pengalaman wanita itu.

Pegawai-pegawai lelaki lain menurutnya, turut memberi keyakinan untuk beliau menyahut cabaran dan membuktikan jika orang lain boleh, kenapa tidak dirinya.

“Kata-kata semangat dan dorongan ini yang membuatkan saya terus komited dengan tugas ini dan Alhamdulillah saya mendapat kerjasama yang cukup baik daripada keseluruhan anggota dan pegawai di sini,” jelasnya.

23 tahun berada dalam pasukan polis, anak ketiga daripada tujuh beradik ini pernah memangku beberapa jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Port Dickson dan Pegawai Turus (PT) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Kuala Lumpur.

Menurut Shafa’aton, menjadi PT D11 ibarat satu dimensi baru dalam kerjayanya kerana bahagian tersebut banyak bermain dengan kesabaran dan kelembutan.

“Hendak menyiasat kes kanak-kanak bukan sesuatu yang mudah kerana mereka sukar hendak bercerita dan dari situ saya banyak belajar untuk mengawal kesabaran serta menggunakan kelembutan untuk mengajak mangsa bercerita,” jelasnya.

Selain itu, Shafa’aton juga tidak boleh melupakan satu kes tragis yang pernah disiasat melibatkan pembunuhan pasangan suami isteri warga emas pada 2012 di sebuah rumah dalam kawasan ladang kelapa sawit.

“Tragis sebab saya tengok arwah suami meninggal dunia akibat dipukul dan dibunuh dalam keadaan yang cukup hiba serta luka parah di kepala. Isterinya juga cedera dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” jelasnya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pembunuh bertindak demikian untuk menyamun dan suspek telah berjaya ditangkap serta didakwa.

Tambahnya, sehingga sekarang beliau tidak dapat melupakan bagaimana penjenayah itu sanggup bertindak di luar kawalan sehingga membunuh warga emas yang tidak berdaya semata-mata untuk kepentingan diri.