Sejarah perkhidmatan pesawat Hawk TUDM bermula pada 15 April 1994 dengan penerimaan dua buah pesawat pertama melalui memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan United Kingdom (UK) yang dimeterai pada 10 Disember 1990.

Ketika itu kerajaan Malaysia bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan 10 buah Hawk 108 dan 18 buah Hawk 208.

Pesawat itu diterima secara berperingkat dengan dua buah pesawat pada setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 pesawat. Sehingga kini sebanyak 19 buah pesawat masih beroperasi.

Sepanjang 25 tahun perkhidmatan Hawk, pesawat ini dioperasikan oleh tiga skuadron iaitu No. 6 Skuadron, No. 9 Skuadron dan No. 15 Skuadron.

Antara operasi terbesar yang melibatkan pesawat ini adalah Ops Daulat pada Mac 2013 di mana lima buah pesawat Hawk ditugaskan bagi melancarkan serangan bom dari udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Disebabkan insiden itu, No. 6 Skuadron yang sebelum ini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjaga kepentingan tanah air di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, Hawk juga digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh No. 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth. Di situ juruterbang-juruterbang muda dilatih untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang sebelum nelayakkan mereka untuk mengendalikan pesawat-pesawat pejuang yang lain dalam TUDM.

Sambutan Jubli Perak Pesawat Hawk yang dianjurkan di Pangkalan Udara Butterworth baru-baru ini ternyata membangkitkan nostalgia manis buat Brigedier Jeneral A.Felix Gonsalvez yang merupakan anggota TUDM pertama terpilih mengikuti kursus penerbangan Hawk selama lapan bulan di United Kingdom pada 1993.

Mengimbas kembali kenangan manis itu, Gonsalvez yang kini bertugas sebagai Inspektorat Jeneral Markas Tentera Udara yang berpangkalan di Kuala Lumpur berkata, ketika terpilih untuk mengikuti kursus tersebut beliau baru berusia 30 tahun.

“Sudah semestinya pengalaman sepanjang menuntut ilmu penerbangan di UK merupakan kenangan paling manis sepanjang karier selepas menyertai TUDM pada usia 18 tahun.

“Saya merupakan anggota pertama dihantar ke UK diikuti tiga lagi juruterbang lain untuk mendalami ilmu mengendalikan pesawat pejuang berkenaan.

“Pada masa itu Hawk adalah pesawat pejuang yang paling canggih iaitu pesawat pertama di dunia yang mempunyai sistem radar dan digital. Sebelum itu semua pesawat menggunakan sistem analog,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan berkenaan.

Gonsalvez berkata, ketika berada di UK dia mempelajari selok belok ilmu penerbangan daripada tenaga pengajar syarikat pertahanan, keselamatan dan aeroangkasa dunia, BAE Systems untuk mengendalikan pesawat Hawk jenis 108 dan 208 yang kemudiannya menjadi aset kepada TUDM sehingga kini.

“Bila pertama kali dapat membawa pesawat digital yang tercanggih di dunia pada masa itu, perasaan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Perasaan seronok, teruja, bangga semuanya bercampur baur kerana menjadi antara yang pertama dapat merasai pengalaman menerbangkan pesawat Hawk.

“Segala ilmu dan selok belok berkaitan dengan pesawat ini yang dipelajari di UK kemudiannya dibawa pulang ke negara ini untuk dikongsi bersama-sama dengan juruterbang TUDM yang lain,” katanya.

Gonsalvez berkata, pesawat Hawk sebenarnya mahu dibawa pulang ke negara ini dengan pemanduannya dikendalikan oleh juruterbang TUDM sendiri pada masa itu.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu tidak tercapai memandangkan terdapat isu berkaitan insurans pesawat.

“Akhirnya pesawat Hawk dibawa pulang secara berperingkat oleh juruterbang Bae System dan sehingga kini masih berbakti untuk menjaga keamanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Gonsalvez memberitahu, beliau turut terlibat dalam operasi ketika pesawat Hawk ditugaskan bagi melancarkan serangan udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu.

“Pengalaman tersebut antara kenangan yang saya tidak dapat lupakan kerana saya ditugaskan sebagai perancang operasi pesawat Hawk ketika itu.

“Ada banyak perkara yang tidak boleh diceritakan. Pada saya pesawat Hawk adalah pesawat pejuang terbaik walaupun telah mencapai usia 25 tahun,” katanya.