Pencetus Ummah (PU), Akram Ikrami Taib Azamudden (gambar) berkata, kebanyakan wanita bekerjaya dilihat terlalu fokus dengan tugasan di pejabat sehinggakan mereka tidak mempunyai waktu sesuai untuk bergaul dengan orang lain selain serik dengan pengalaman lampau dikecewakan.

“Kebanyakan wanita bekerjaya ini dilihat amat mementingkan tugasan hakiki berbanding memikirkan hal perkahwinan yang dikatakan lebih rumit.

“Selain itu, mereka (wanita) tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen untuk berkeluarga kerana memikirkan pelbagai aspek seperti kewangan dan anak,” katanya dalam sesi dialog Karier vs Kahwin Lewat di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengurus Unit Takaful Ikhlas Berhad, Mimi Farhana Zulkefli.

Seramai 60 pelajar serta orang awam hadir ke sesi dialog selama tiga jam tersebut.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Citra Universiti UKM, Dr. Nasruddin Yunos berkata, insiatif mengadakan dialog seperti itu merupakan 100 peratus idea pelajar program subjek elektif Citra yang merupakan kredit wajib pelajar.

“Kita memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan program Citra iaitu subjek wajib universiti yang perlu diambil oleh semua pelajar.

“Program seperti ini akan ditambah baik sesuai dengan keperluan semasa bagi membolehkan pelajar dapat mendapat pendedahan selepas tamat belajar kelak, “ katanya.