Menyedari agak sukar untuk anak tempatan menembusi pasaran antarabangsa, pengasas jenama fesyen yang berpangkalan di kota London, Norish Kareem menganjurkan acara fesyen antarabangsa, London Fashion Week menerusi labelnya sendiri, NK Fashion Week (NKFW).

Norish yang dikenali melalui jenama Norish Karfeem Couture berhasrat membantu lebih ramai pereka fesyen tempatan menge­tengahkan jenama mereka, bukan sahaja di London, malah serata dunia melalui NKFW yang bakal berlangsung September ini.

Acara yang dianjurkan buat kali pertama itu akan disertai pereka fesyen tempatan seperti Fana Couture, Lila Majnun, Angie Jewels & Co., Ummiriaz International, MW by Mimi Wahedah dan Liza Zulkarnain, selain beberapa pereka fesyen dari dalam dan luar negara.

“Penganjuran ini akan memberi peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk berkarya. Dalam masa yang sama, ia membolehkan mereka memperluaskan jenama di peringkat antarabangsa.

“Pereka yang terlibat dalam acara ini juga akan turut diberi ruang berniaga di butik Norish Kareem di London,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Lebih istimewa, pertunjukan fesyen di tengah kota London itu juga merupakan kolaborasi dengan rakan strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Tambah Norish, pihak MATRADE di United Kingdom (UK) dan Eropah juga akan bekerjasama dengan menjemput pembeli dan pelabur yang berpotensi untuk memeriahkan acara tersebut.

ANTARA fesyen yang diperagakan sempena acara fesyen antarabangsa yang dianjurkan oleh Norish Kareem
ANTARA fesyen yang diperagakan sempena acara fesyen antarabangsa yang dianjurkan oleh Norish Kareem di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

“Saya berhasrat mengetengahkan dan memperkenalkan pereka fesyen tempatan di pentas dunia, sekali gus memberi mereka pendedahan kepada industri fesyen antarabangsa.

“Ia juga merupakan strategi serampang dua mata untuk menembusi pasaran UK dan Eropah yang tidak terhad kepada pakaian, malah kosmetik dan aksesori,” jelasnya.

Menurutnya, pereka fesyen yang terlibat dalam acara itu juga akan diberi peluang mendapat liputan beberapa majalah fesyen terkenal, antaranya Harper’s Bazaar dan Cosmopolitan UK.

NKFW juga dijangka akan diteruskan di Doha, Qatar pada akhir November ini menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan di sana.

Norish berharap dapat menjadikan jenama NKFW sebagai penganjur acara fesyen antarabangsa yang mengadakan minggu fesyen di pusat fesyen dunia seperti London, Doha, New York, Paris dan Dubai.

Sementara itu, Pengarah Kanan, Bahagian promosi Eksport dan Akses Pasaran, MATRADE, Abu Bakar Yusof yakin acara yang dianjurkan oleh Norish itu bukan sahaja membantu pereka fesyen tanah air untuk menempa nama di peringkat antarabangsa, malah mampu meletakkan Malaysia setanding negara-negara yang banyak melahirkan ikon fesyen dunia.

“Dalam masa yang sama, acara seperti ini bukan sahaja mempromosi jenama pereka fesyen tempatan, malah mencipta peningkatan dalam industri fesyen di negara ini,” katanya.