Ini yang dapat dirasai di restoran Chacibor yang terletak di Kampung Asam Kumbang, Taiping, Perak. Restoran berkenaan beroperasi setiap hari bermula pukul 5 petang sehingga 12 malam.

Berbekalkan dekorasi yang seolah-olah membawa kita ke era 70-an dan hidangan bertemakan makanan Barat serta masakan Melayu, pasti suasana itu akan terus menyinggah ke pemikiran mana-mana pelanggan setiap masa.

Ada apa di restoran Chacibor? Menurut pemilik dan pengurus restoran itu, Muhammad Nawawi Zainudin, Chacibor bermaksud pepatung dalam loghat Perak yang kini semakin jarang disebut.

Menginspirasikan perkataan tersebut, dekorasi restoran berkenaan turut diterjemahkan ke dalam bentuk klasik dan lama dengan struktur bangunan Inggeris selain perhiasan dalaman yang memaparkan lebih 300 barangan antik seperti motosikal Vespa Piaggio, piring hitam, baju Pasukan Kawalan Tempatan (Home Guard), radio, filem dan kaset lama.

“Chacibor melambangkan orang Perak dahulu. Hanya orang lama sahaja yang faham maksudnya iaitu pepatung. Perkataannya juga klasik.

“Disebabkan struktur bangunan restoran ini dibina pada 1923 ketika zaman penjajahan British, saya berminat untuk menerapkan konsep klasik dan menamakannya Chacibor,” katanya sambil memberitahu restoran itu telah beroperasi sejak 2017 dan kebanyakan pelanggan datang dari jauh seperi Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kerana lokasinya yang strategik.

Hidangan utama yang ditawarkan adalah berkonsepkan makanan Barat mengikut permintaan ramai, namun tidak ketinggalan juga masakan Melayu.

Konsep diibaratkan seperti filem Back To The Future, setiap babak menimbulkan pelbagai ‘mood’ penonton. Begitu juga restoran Chacibor yang menyajikan makanan yang mampu menambat hati pelanggan untuk datang lagi ke restoran itu.

Restoran tersebut yang sentiasa penuh dikunjungi lebih 200 pelanggan dari pelbagai daerah dan negeri setiap hari membuktikan makanan di situ sememangnya enak.

“Signature dish yang menjadi tarikan pelanggan di restoran ini ialah Nasi Goreng Chacibor. Ia antara menu yang paling laris kerana ‘sarat’ dengan makanan dari kombinasi Timur dan Barat seperti udang galah masak madu, sambal sotong dan daging kambing lada hitam beserta hirisan kentang pedas. Harganya juga berpatutan iaitu RM24.90,” tambahnya.

Kombinaasi menarik iaitu pedas dan manis yang cukup rasa dengan bahan yang digunakan adalah segar sesuai untuk semua lingkungan umur pelanggan. Malah pelanggan yang melihat sahaja juadah itu pasti akan terus kecur air liur.

Tidak lupa juga Cheesy Long Sandwich dengan keju cair yang melimpah di atas roti dan patty yang dibuat sendiri menambahkan lagi keenakan juadah berkenaan sebagai hidangan yang mengenyangkan dengan harga hanya RM15.90.

Penggayaan makanan dan suasana restoran itu amat sesuai untuk seisi keluarga atau pasangan meluangkan masa bersama sambil menikmati juadah enak.

Selain makanan berasaskan nasi dan roti, restoran Chacibor juga menawarkan masakan pasta menggunakan resipi sendiri dan herba terpilih.

Antara sajian pasta yang ditawarkan adalah Oglio Olio yang dihidang bersama ayam grill yang diperap dengan sos buatan sendiri. Tidak kurang juga minuman Teh Ais Madu yang disediakan, tidak terlalu manis dan secukup rasa di dalam gelas tinggi 10 sentimeter dengan harga hanya RM11.90 sekali gus melengkapkan rasa kesemua juadah yang dihidangkan.

Walaupun membawa konsep makanan Barat dan suasana klasik yang kelihatan mewah, namun harga yang ditawarkan berpatutan.

Sehubungan itu, pantas sahaja nama restoran Chacibor menjadi sebutan warga Taiping hingga ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.