Menu yang disajikan adalah pelbagai dan menggunakan bahan-bahan yang dibawa khas dari Thailand.

Justeru, setiap hidangan mengekalkan rasa enak seperti kita menikmati hidangan tersebut di negara asalnya.

Boat Noodle yang beroperasi sejak 2014 diasaskan oleh Tony Lim. Beliau mendapat ilham untuk menjual mi dalam mangkuk kecil berdasarkan pemerhatiannya di gerai jualan di pasar terapung yang banyak terdapat di Thailand.

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Boat Noodle, A. Ezekiel berkata, menu yang ditampilkan di restoran itu menggunakan bahan segar dan halal yang didatangkan khas dari Thailand.

Menu itu kemudian diubah suai sedikit mengikut cita rasa rakyat Malaysia.

“Setiap menu dimasak menggunakan bahan yang berkualiti dan segar bagi memastikan hidangan yang dihasilkan mampu memberikan keenakan luar biasa.

“Apa yang istimewa mengenai menu ini adalah rasanya seperti masakan di Thailand iaitu masam, manis dan pedas,” katanya kepada Mega Rona.

Tambahnya, antara menu yang mendapat sambutan adalah mi Pathumthani. Menu itu sesuai digandingkan bersama rice noodle atau springy noodle dengan bebola ayam atau daging.

“Rasanya yang enak iaitu kuahnya memiliki rasa masam dan manis serta sedikit pedas mampu memenuhi cita rasa pengunjung yang memang mendambakan kelainan,” katanya.

Selain itu, mereka yang gemar menikmati makanan pedas boleh mencuba menu Suki Nam iaitu mi yang dihidang bersama kuah tom yam pedas.

Mengulas lanjut, Ezekiel memberitahu, menu lain yang turut menjadi identiti restoran Boat Noodle adalah roti lembut yang dicicah dengan kaya pandan.

“Menu Sangkayaa ini merupakan sarapan tradisional bagi mereka yang menyukai rasa manis.

“Di Boat Noodle, kita boleh menikmatinya pada bila-bila masa. Menu ini juga sesuai digandingkan dengan menu yang lain,” ujarnya.

Menurutnya, pengunjung juga boleh mencuba menu sampingan seperti ayam panggang yang dimakan bersama mi atau bebola ayam dan daging yang dicicah dengan sos pencicah tradisional dari Thailand.

Turut menjadikan Boat Noodle istimewa adalah aneka minuman berasaskan Thai seperti teh Thai, teh hijau kopi Thai dan banyak lagi jenis minuman yang mampu memenuhi cita rasa pelanggan.

Sementara itu Pengurus Jualan dan Pemasaran Boat Noodle, Adam Tan memberitahu, restoran yang sudah beroperasi sejak lima tahun lalu kini mempunyai kira-kira 50 cawangan di seluruh negara.

“Hampir 65 peratus pelanggan restoran ini terdiri daripada masyarakat Melayu yang menggemari masakan Thailand,” katanya sambil menekankan restoran Boat Noodle sentiasa memberikan servis terbaik kepada pelanggan selain jaminan kualiti yang tinggi.

Selain itu katanya, Boat Noodle menawarkan harga berpatutan sekali gus menjadi daya tarikan pelanggan untuk menjamu selera di restoran itu.

“Harga semangkuk mi adalah RM1.90. Ia boleh dipelbagaikan dengan variasi menu lain yang harganya juga berpatutan,”katanya.