Tukang emas tradisional, Tuan Azmi Tuan Moning, 55, yang mewarisi perniagaan emas bapanya berkata, upah yang diterima hanya cukup untuk menyara keluarga, apatah lagi jika masih mengekalkan cara pembuatan tradisional.

Menurutnya, itu adalah antara faktor generasi muda kini tidak berminat meneruskan perniagaan emas milik keluarga, lebih-lebih lagi pekerjaan itu memerlukan kesabaran tinggi, sedangkan upah yang diterima tidak setimpal.

Keadaan itu menyumbang kepada berkurangnya bilangan kedai emas di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Sekitar tahun 1980-an, terdapat lebih 50 tukang emas tradisional tetapi kini hanya ada kira-kira 15 orang yang masih bertahan dan kebanyakannya terdiri daripada kalangan orang lama.

“Saya berusaha mempertahankan perniagaan ini selagi termampu,” katanya.

Menurutnya, perniagaannya berbeza berbanding tauke kedai emas yang mampu menikmati hidup mewah kerana meraih margin keuntungan tinggi daripada jualan barang kemas serta kos upah yang dinaikkan melebihi 200 peratus. 
 Tuan Azmi menjalankan perniagaannya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus kira-kira tujuh kilometer dari bandar Kuala Terengganu. 


KAEDAH TRADISIONAL TERHAD

Nekad meneruskan warisan keluarga, Tuan Azmi yakin pertukangan emas cara tradisional adalah yang terbaik kerana kualiti barang kemas yang dihasilkan lebih halus, kemas dan tahan lama berbanding kaedah moden yang menggunakan mesin khas.

Cara pembuatan yang teliti dan rumit dengan hasil bermutu tinggi itu memikat hati pelanggan untuk setia menggunakan khidmat beliau walaupun corak serta reka bentuk barang kemas yang dihasilkan melalui kaedah tradisional itu agak terhad.

Tuan Azmi menerima lebih 20 pelanggan setiap bulan termasuk yang membuat tempahan baharu serta membaiki barang kemas rosak.

Jumlah itu, lazimnya meningkat menjelang Aidilfitri.

“Kaedah tradisional menggunakan tangan dan peralatan manual menghasilkan barang kemas yang lebih tinggi kualitinya dan tidak mudah rosak berbanding menggunakan mesin, ada yang tidak sampai setahun sudah patah penyangkuk dan masalah lain,” katanya yang dibantu seorang pekerja, Ungku Hassanuddin Ungku Ismail, 44.

Kepakaran Tuan Azmi bukanlah hasil menghadiri kursus, sebaliknya bermula dengan minat terhadap seni pertukangan emas dan atas dorongan arwah bapanya, Tuan Moning Tuan Endut.


SAINGAN TUKANG EMAS MODEN

Berbekalkan semangat tinggi untuk meneruskan legasi keluarga, khidmat beliau masih mendapat sambutan dan mempunyai pelanggan sendiri walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan saingan tukang emas moden.

Beliau berkecimpung secara serius dalam bidang itu ketika berusia 20-an berikutan kecewa tidak dapat berkhidmat dalam sektor awam. Sejak itu, beliau nekad mempelajari seni pertukangan emas.

Pada peringkat awal Tuan Azmi hanya menerima tempahan dari sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Nama beliau kemudian menjadi sebutan sehingga terdapat pelanggan dari negeri lain. Malah, ada juga pelanggan pada zaman bapanya sejak 1960-an masih setia sehingga ke hari ini.

Bukan sahaja ketelitian dan kehalusan perhiasan emas buatan beliau yang menjadi buah mulut khalayak, malah kejujurannya. Seperti juga bapanya, Tuan Azmi memulangkan semula semua baki emas yang tidak digunakan termasuk dalam bentuk habuk.

“Kami tidak pernah ambil baki emas pelanggan. Sejak arwah bapa lagi, itulah yang diamalkan,” katanya.

Bercerita lanjut, Tuan Azmi memperoleh kemahiran bertukang emas melalui pemerhatian dan pengalaman.

Pelajaran pertama beliau sebagai tukang emas tradisional adalah membuat gelang tangan perak dan kemudian beralih kepada emas.

“Mula-mula dulu, saya ambil masa antara tiga hingga empat hari untuk siapkan satu gelang atau rantai leher tetapi selepas agak mahir, hanya perlukan sehari untuk siapkannya.

“Kadang-kadang ada juga kesilapan sehingga terpaksa melebur kembali emas untuk dibentuk semula,” katanya yang mementingkan kepuasan pelanggan.



TIGA ELEMEN PENTING

Tuan Azmi berkata, ketelitian, fokus dan kemahiran merupakan tiga elemen penting yang perlu ada pada setiap tukang emas.

Pelanggan boleh memilih sama ada menggunakan emas dari kedainya atau membawa barang kemas lama untuk dilebur dan dibentuk semula menjadi perhiasan baharu

Menjelaskan proses pembuatan, langkah pertama adalah melebur barang kemas sebelum dimasukkan ke dalam acuan kecil berbentuk segi empat yang kemudiannya ditarik secara berperingkat sehingga berupa seperti dawai yang panjang.

“Selepas dikeluarkan dari acuan segi empat, emas itu ditekan menggunakan mesin ‘tarik’ tradisional yang dilengkapi plat besi berlubang-lubang dengan saiz diameter tertentu, bertujuan menghasilkan dawai mengikut ukuran yang dikehendaki.

“Sebelum adanya mesin tarik, tukang emas era 60-an akan meletakkan plat besi di atas lantai rumah dan emas ditarik dari bawah rumah melalui celah lubang lantai. Cara ini memerlukan tenaga yang sangat kuat,” katanya yang sempat merasai momen itu ketika membantu bapanya.

Selepas mendapatkan ukuran dawai yang sesuai, tukang emas akan memotong kecil dawai itu sebelum dibentuk seperti yang diingini dan kemudian dicantum menggunakan alat patri emas. – BERNAMA