Kebanyakan reka bentuk dalaman diilhamkan mengikut trend semasa. Jika reka bentuk tersebut tidak lagi mengikut trend atau dilihat tidak lagi relevan, maka pemilik mula berasa bosan dan mahukan bentuk dekorasi dalaman yang lain.

Hal demikian akan membuatkan si pemilik terpaksa kerap melaburkan wang untuk menukar cita rasanya terhadap hiasan dalaman.

Pengarah Urusan IDW Design and Build Sdn. Bhd. (IDW), Lokman Hakim Ahmad Subki berkata, langkah terbaik untuk memastikan reka bentuk dalaman bertahan lama adalah dengan melakukan transformasi secara menyeluruh.

Jelas beliau, jika hanya membuat dekorasi, ruang dalaman mungkin bertukar, namun bentuk dan keluasannya tetap sama.

“Dengan melakukan transformasi 360 darjah, ruang tersebut akan berubah secara menyeluruh mengikut cita rasa dan kehendak pemilik.

“Perubahan terhadap bentuk dan saiz ruang dalaman akan membuka lebih banyak idea menarik tentang bagaimana ia boleh dihias.

“Transformasi secara menyeluruh adalah kepakaran kami di IDW. Kami mampu menangani projek yang memerlukan perundingan reka bentuk penuh dari fasa reka bentuk awal, lukisan pelan terperinci, penyerahan pelan kepada pihak berkuasa, pemilihan kontraktor dan pemantauan sehingga projek selesai,” katanya kepada Mega Rona ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Lokman Hakim lagi, dengan melakukan transformasi 360 darjah, nilai rumah atau hartanah akan meningkat berkali ganda berbanding dengan hanya melakukan dekorasi dalaman.

Mengambil contoh sebuah banglo lama di alamat Jalan 222, Petaling Jaya, Selangor, harga hartanah tersebut ketika itu adalah RM1.2 juta.

Bagaimanapun selepas mengalami pengubahsuaian secara menyeluruh oleh IDW dengan kos sebanyak RM1 juta, nilai banglo tersebut meningkat kepada RM4 juta.

“Banglo dengan reka bentuk yang lama itu telah diubah suai secara menyeluruh dengan keluasan asal 3,500 kaki persegi, bertambah kepada 6,000 kaki persegi.

“Sebahagian bentuk asal banglo itu kami tidak usik kerana hendak mengekalkan nilai sentimental pada banglo berkenaan.

“Hasilnya, sebuah banglo lama yang mungkin tidak dipandang orang sebelum ini bertukar rupa menjadi lebih elegan, keluasan bertambah dan nilainya meningkat,” ujarnya.

Walaupun transformasi 360 darjah memerlukan kos yang lebih tinggi, tetapi pelaburan mungkin perlu dibuat sekali sahaja.

Apa pun pilihan terletak pada pemilik. Sekiranya wang ringgit bukan halangan utama dalam memenuhi kepuasan diri, maka transformasi 360 darjah adalah pilihan yang terbaik.