Apa yang membezakan program ini adalah kami dihiburkan oleh pemuzik 1980-an yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Citra. Jujurnya penulis tidak pernah mendengar nama kumpulan itu, apatah lagi nama Md. Khalid Md. Taib.

Namun, sekitar 40 tahun lalu, nama Md. Khalid yang lebih mesra disapa Tok Wan terkenal dalam kalangan pemuzik tempatan. Malah, dia bersama kumpulan Citra pernah menghasilkan tiga album dan lagu yang popular pada ketika itu ialah Hantu Kom Kom.

“Kami pernah muncul dalam rancangan Hiburan Malam Minggu terbitan TV1,” katanya kepada S2.

Tok Wan merupakan salah seorang peserta ekspedisi Misi Mencari Tengas 02 yang diadakan di tapak perkhemahan di Sungai Terong dekat Taiping baru-baru ini. Sebahagian besar daripada kami pernah mengikuti ekspedisi Misi Mencari Tengas 01 yang diadakan dalam kawasan hutan yang sama, kira-kira dua tahun lalu.

Kejayaan misi mencari tengas pada 2017 di kawasan Lata Jeman, Sungai Terong memberi ilham kepada kami untuk mengulangi misi yang sama pada tahun ini.

Disebabkan kami tidak mahu berjalan jauh iaitu kira-kira dua jam untuk sampai ke Lata Jeman pada 2017, maka dalam misi kali ini kami hanya berjalan kaki meredah hutan sekitar 20 minit sahaja sebelum mendirikan khemah di tepi sungai.

Namun, hasil pada tahun ini tidaklah ‘semewah’ berbanding dua tahun lalu. Sungguhpun begitu, kami mengutip pengalaman baru apabila berpeluang menonton persembahan busking oleh Tok Wan.

Lelaki berusia 66 tahun itu masih mengingati kenangan silam ketika bergelar pemuzik. Katanya, dia mula berjinak-jinak dengan muzik pada 1973 apabila pertama kali membuat persembahan muzik secara langsung (live band) di Hotel Caman Inn, Pulau Pinang.

“Saya dan rakan-rakan buat show di hotel itu. Pada zaman itu muzik banyak dipersembahkan di pentas-pentas hotel. Saya bermain gitar. Ada lima anggota kumpulan kesemuanya antaranya Zali Kamari dan Roslan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, kumpulan muzik itu sering membawa lagu-lagu Inggeris dan yang paling kerap dipersembahkan adalah lagu bertajuk Rock Steady daripada kumpulan Bad Company.

Selain itu Tok Wan berkata, kumpulan muzik lain termasuk yang terkenal pernah mendapat khidmatnya untuk bermain muzik.

“Apabila ada anggota kumpulan muzik terbabit menarik diri pada saat akhir, saya akan dipanggil untuk menggantikan tempat pemain gitar kumpulan tersebut.

“Biasanya anggota terbabit mengalami masalah kecemasan yang tidak dapat dielakkan,” katanya yang mula memperlahankan aktiviti muzik sebaik sahaja berpindah ke Felda Serting Hilir, Negeri Sembilan.

Tok Wan memberitahu dia berhijrah ke Felda tersebut dari Taiping setelah permohonannya untuk menjadi peneroka diterima pada 1988. Namun katanya, apabila anak-anak sudah dewasa serta memiliki kehidupan sendiri, dia dan isteri berpindah semula ke Taiping sejak beberapa tahun lalu.

Di Taiping, Tok Wan menyewa rumah dan sesekali balik ke Felda jika ada urusan yang perlu diselesaikan.

Bagi mengisi masa lapang dan kerana minat yang mendalam terhadap muzik, Tok Wan kerap mengadakan persembahan solo secara busking di beberapa tempat sekitar Taiping antaranya Taman Tasik Taiping (Lake Garden) dan pasar raya Tesco.

“Buat masa sekarang Tok Wan aktif mengadakan persembahan busking di Lake Garden pada Sabtu dan Ahad. Persembahan biasanya bermula selepas asar. Lokasi yang biasa Tok Wan busking adalah FMS Lake Garden,” katanya.

Mengulas pendapatan daripada busking, katanya, ada tempat sekadar memberinya token seperti di Lepak Kitchen dan ada tempat memberinya wang hasil kutipan yang diterima daripada pengunjung, misalnya di Tesco Taiping.

“Kalau saya busking selama empat hingga lima jam di Tesco Taiping, dapatlah dalam RM400,” katanya yang seronok menetap di Taiping kerana dapat berjumpa kawan lama.

Mengulas bagaimana timbul idea Tok Wan untuk membawa gitar ke dalam hutan, katanya, dia mahu berehat di tepi sungai sambil memetik gitar sekali gus menghayati keindahan alam bersama alat muzik yang diminatinya itu.

Selain itu, dia difahamkan kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang disewa akan membawa peserta dari parkir kereta ke tapak perkhemahan. Jadi, dia tidak perlu ‘memikul’ peralatan tersebut.

Namun sebaliknya pula berlaku. Kenderaan 4x4 yang disewa tidak dapat masuk ke hutan kerana pemandunya gagal melepasi halangan di laluan tanah merah yang berbukit.

Nasib baik semangat tolong menolong dalam kalangan peserta begitu tinggi. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Begitulah yang berlaku apabila kesemua peserta berjaya sampai ke tapak perkhemahan dalam masa kurang setengah jam dari tempat 4x4 tadi berhenti.

Aktiviti perkhemahan kami berakhir sekitar pukul 3 petang. Masing-masing kini merancang mengadakan ekspedisi Misi Mencari Tengas 03 pula. Insya-Allah satu lubuk tengas di Kuala Kangsar akan menjadi lokasi perkhemahan kami yang berikutnya.