Tahun ini, TGR telahpun berjaya menghimpunkan seramai 200 ahli baharu yang juga merupakan kumpulan kedua sejak ditubuhkan pada Jun 2018. TGR mensasarkan keahlian bertambah sehingga 2,000 orang apabila pendaftaran ahli baharu kembali dibuka pada Jun 2019.

Bertepatan dengan tema pilihan yang berkonsepkan anime, masing-masing hadir menggayakan watak anime kegemaran mereka, selain turut memberikan kerjasama dalam menjayakan persembahan mengikut kumpulan yang dibentuk dalam TGR iaitu Bubble Gum, Puff Puff, Wonder Girls dan Sugar Candy.

Menurut Pengasas The Girls Republique, Datin Marlinda Rafikah, pemilihan anime bertepatan dengan kegilaan remaja masa ini yang gemarkan watak-watak anime. Malah lip tint yang diperkenalkan juga mengikut watak anime bagi setiap kumpulan dalam TGR.

“Setiap kumpulan mempunyai lip tint dengan warna berbeza iaitu merah gelap, merah terang, merah samar dan oren.

“TGR buat masa ini telah mengeluarkan barangan asas yang digemari remaja perempuan seperti Aireen Scarfs yang mendapat sambutan hangat dan krim khas untuk tangan yang diketengahkan dengan tema buah-buahan iaitu epal, lemon, strawberi serta tomato,” katanya.

TGR adalah sebuah platform baharu buat remaja yang ingin bergelar usahawan dan selebriti. Ketika penubuhannya, TGR hanya mempunyai tujuh gadis dan mereka yang masih bersama TGR kini dilantik menjadi ketua untuk empat kumpulan di dalam TGR.

Sementara itu, katanya, biarpun sambutan terhadap TGR amat menggalakkan, proses pemilihan tetap dilakukan dengan teliti.

Ini kerana, hanya gadis-gadis yang mampu memberikan komitmen, bertanggungjawab dan mempunyai disiplin yang tinggi sahaja akan dipilih menganggotai TGR.

“Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi ahli TGR. Mereka perlu menyelesaikan beberapa tugasan dan perlu komited terhadap tugasan tersebut, selain dikehendaki menghadiri mesyuarat atau perjumpaan pada setiap Sabtu,” ujarnya.

Marlinda memberitahu, TGR ditubuhkan bukan hanya untuk membentuk ahlinya menjadi usahawan, sebaliknya ia merupakan platform untuk mengembangkan bakat yang mereka miliki.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan sesi uji bakat dengan menjemput penerbit dan syarikat muzik bagi memastikan bakat yang dimiliki gadis-gadis TGR dapat dikembangkan dan akhirnya menjadi satu kerjaya.

“Dalam pada itu, disediakan juga kelas dandanan diri dan solekan serta hal-hal berkaitan dunia perniagaan. Sebolehnya, kami tidak mahu mereka melakukan perkara-perkara negatif, sebaliknya masa diisi dengan sesuatu yang berfaedah.

“Melalui ilmu dan peluang yang diberikan itu, mereka bukan sahaja bakal bergelar celebprenuer, tetapi turut berpeluang menjadi artis seperti pelakon dan penyanyi,” katanya.