Program julung kali yang dianjurkan Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, TEC buat julung kali diadakan bagi mempromosi kawasan menarik di Tampin terutama kawasan rekreasi dan destinasi pelancongan.

“Perlumbaan ini berkonsepkan cabaran dan hampir 90 peratus menempuh laluan lasak.

“Biarpun lasak, kita dapati ia tidak berbahaya. Cabaran ini cukup menguji mental dan fizikal peserta. Penganjuran acara ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan dan toleransi serta mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya kepada S2.

Cabaran sejauh 75 kilometer itu memerlukan peserta menyusuri sungai, menempuh kawasan perkampungan dan jalan raya selain merangkumi acara larian, berkayak dan mengayuh basikal.

Sebanyak tiga disiplin dipertandingkan iaitu berkayak sejauh lima kilometer, berbasikal 50 kilometer dan larian 20 kilometer. Terdapat dua kategori diperkenalkan iaitu Terbuka dan Agensi Kerajaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditemui dalam majlis penutup TEC 2019 di Tampin Xtreme Park berkata, beliau yakin dengan adanya tarikan seperti acara tersebut, jumlah pengunjung terutama pelancong akan bertambah di daerah Tampin.

Menurutnya, TEC 2019 yang julung kali diadakan itu adalah platform untuk melihat budaya remaja masa kini yang meminati acara sukan lasak berkembang.

“Aktiviti sukan lasak seperti ini memberikan pelbagai manfaat sekali gus menjadi landasan terbaik bagi melahirkan masyarakat cergas. Saya harap TEC boleh dijadikan acara tahunan,” katanya.

Lebih 500 orang menyertai TEC 2019 termasuk dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pasukan Ok Go dari Kuala Lumpur dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) B, Tanjung Malim, Perak muncul johan kategori Terbuka dan kategori Agensi Kerajaan dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000.