Selain puluhan hotel pelbagai bintang, Port Dickson juga menjadi destinasi untuk aktiviti sukan air dan mandi-manda di pantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Salah satu tarikan yang mesti dikunjungi di kawasan ini adalah PD Ostrich Showfarm. Lokasi itu kini menjadi pusat tumpuan ramai berkonsepkan zoo mini yang terletak di Jalan Pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dengan keluasan melebihi 2.5 hektar, pengunjung berpeluang mendekati pelbagai jenis haiwan seperti burung unta, ular, unta, burung, kuda, ayam belanda, selain mengenali herba, sayur-sayuran dan tumbuhan yang ditanam di sekeliling kawasan itu.

Dibuka pada 2011 dengan diterajui oleh tiga rakan karib. Pada awal operasi, destinasi menarik itu hanya menawarkan 10 ekor burung unta kepada pengunjung. Namun, selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung, PD Ostrich Showfarm semakin berkembang baik.

Menurut pengurus besarnya, K. Rajendran, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk menerokai dunia haiwan dan tumbuhan dengan lebih dekat.
“Generasi muda hanya mengenali haiwan dan tumbuhan melalui gajet. Ini adalah peluang ibu bapa untuk memperkenalkan beberapa spesies haiwan kepada anak-anak mereka yang mungkin tidak pernah melihat haiwan tersebut.

“Lebih mengujakan apabila anak-anak dibenarkan menyentuh, membelai dan merasai sendiri pengalaman memberi makan kepada haiwan, selain berpeluang menunggangnya,” katanya kepada S2.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan turut menyediakan aktiviti seperti memanah, bubble ball, dinasour in the jungle, sukan tradisional dan sukaneka.

“Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti seni di ruangan ‘DIY’ yang disediakan,”tambahnya.

Apa yang lebih menarik terdapat pokok buah-buahan dan lebih 200 jenis herba yang ditanam di kawasan ini antaranya cekur, dukung anak dan hempedu bumi.

Pengunjung boleh merasai pengalaman memetik dan belajar memasak herba dengan dibantu oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.

Tidak lengkap kunjungan ke sini sekiranya tidak merasai masakan daging burung unta. Kafe PD Ostrich Showfarm menyediakan pelbagai jenis hidangan berasaskan daging burung unta seperti burger, sate, stik telur bistik dan mi goreng burung unta.

Dibuka setiap hari bermula pukul 9.30 pagi hingga 6 petang, pengunjung kanak-kanak hanya dikenakan bayaran masuk RM10, manakala RM15 dewasa. Pakej istimewa turut disediakan untuk murid sekolah yang datang secara berkumpulan.