Bagi menjawab soalan penulis mengenai harapan dan nasihat penggiat Dondang Sayang berketurunan peranakan Baba-Nyonya itu terhadap generasi muda mengenai masa depan seni berkenaan, beliau berpantun:

“Hati senang memetik nangka,

Pergi memetik jangan ditangguh,

Nasihat saya untuk orang muda,

Belajar Dondang Sayang bersungguh-sungguh.”

Mesra dengan panggilan Baba Boon, beliau meluahkan keinginannya untuk melihat lebih ramai anak muda bergiat dalam Dondang Sayang kerana bimbang seni itu ditelan zaman.

Beliau tidak keberatan melatih sesiapa sahaja yang benar-benar mahu menjadi pelapis yang mampu menghidupkan, mempertahankan serta berusaha demi kesinambungan seni warisan itu pada masa hadapan.

IKUT DARAH MUDA

Baba Boon yang lebih 50 tahun mengabdikan diri dalam warisan itu memberitahu sukar untuk mencari pelapis muda bagi meneruskan seni Dondang Sayang.

“Generasi sekarang terlalu ikut darah muda. Mereka kurang sabar. Kebanyakan mereka yang ingin menjadi pelapis belajar separuh jalan,” katanya.

Beliau menjelaskan Dondang Sayang adalah seni yang mempunyai kehalusan tersendiri. Justeru itu, ia memerlukan kesabaran serta penelitian yang tinggi untuk dikuasai.

Dondang Sayang dipercayai wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan merupakan seni persembahan yang mengandungi unsur muzik serta nyanyian tradisional Melayu yang sangat menghiburkan dan ada kalanya agak melucukan.

Dinyanyikan dalam bentuk berbalas pantun yang spontan, Dondang Sayang disampaikan secara santai oleh penyanyinya. Alat-alat muzik Dondang Sayang terdiri daripada biola, akordian, gong kecil, gendang, kompang dan rebana.

Pada 29 November 2018, Dondang Sayang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity.

DENGAR DAN HAYATI

Seorang penggiat Dondang Sayang, Alimah Daud, 69, memberitahu, memang ada usaha melahirkan pelapis penggiat Dondang Sayang, tetapi dalam masa yang sama, beliau setuju dengan kata-kata Baba Boon bahawa anak muda perlu sabar mempelajari warisan tersebut.

“Generasi muda mesti ambil tahu dan peka pasal seni budaya ini. Masa kita buat persembahan, mereka mesti dengar betul-betul dan hayati pantun spontan yang dijual dan dijawab,” katanya.

Beliau yang bergiat dalam Dondang Sayang sejak hampir 30 tahun lalu berharap semua pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat swasta turut terlibat melahirkan pelapis dan mempopularkan seni itu dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, terdapat golongan muda berminat menyaksikan Dondang Sayang terutama persembahan pantun lucu yang menghiburkan, namun kini tidak banyak persembahan dapat ditonton.

Alimah berkata, faktor jemputan semakin berkurangan kerana keadaan ekonomi semasa membuatkan tidak banyak pihak menganjurkan majlis, sedangkan sebelum ini, mereka selalu dijemput untuk membuat persembahan pada majlis makan malam, kenduri kahwin, berbuka puasa, pembukaan perniagaan dan majlis rasmi kerajaan.

“Keadaan ini memberi kesan kepada jemputan persembahan Dondang Sayang,” tambahnya.

Beliau menegaskan usaha melahirkan bakat Dondang Sayang tidak sepatutnya diletakkan di tangan kerajaan semata-mata.

“Harap ada syarikat swasta, agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat memperkenalkan Dondang Sayang kepada generasi muda terutama pelajar sekolah, sekali gus melahirkan bakat baharu seni itu,” ujarnya.

MALU BELAJAR

Seorang penggiat warisan, Sundaram Palani Padiachi, 62, berketurunan Chetti, berkata, Dondang Sayang adalah milik semua rakyat Malaysia, bukan warisan yang dimiliki satu bangsa sahaja.

Beliau yang terlibat dalam seni itu sejak remaja menegaskan, menjadi tanggungjawab generasi muda negara ini tanpa mengira bangsa untuk mempertahankan warisan tersebut.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman, terdapat perasaan malu dalam kalangan anak muda untuk berbuat demikian.

“Kita memang ajak anak muda berjinak-jinak dalam Dondang Sayang, bermula dengan bermain alat muzik. Daripada pengalaman saya, ramai anak muda berminat bermain muzik, tetapi apabila dimaklumkan bahawa mereka akan bermain alat muzik tradisional, mereka berasa malu dengan kawan-kawan,” katanya.

Bagi menarik lebih ramai generasi muda menyertai Dondang Sayang, beliau bersama penggiat warisan kampungnya iaitu Kampung Melaka Chetti berusaha menghidupkan kembali seni persembahan warisan itu.

Selain itu, pihaknya juga merancang mengadakan bengkel bagi memastikan orang ramai terutama anak muda memahami dengan lebih teliti seni warisan Dondang Sayang.– BERNAMA