Ini kerana, mengejar misi kejuaraan dalam setiap pertandingan sukan memerlukan sepenuh daya tumpuan dan usaha, inikan pula dibahagikan kepada aktiviti kebajikan sosial.

Namun, sekumpulan lapan wanita Arab Saudi membuktikan tiada yang mustahil sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan bersandarkan matlamat benar.

Kumpulan itu yang juga pemain bola sepak wanita Arab Saudi dikenali sebagai ‘Greens’ menggunakan minat mereka dalam bidang sukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dan mengubah cara pemikiran masyarakat.

Ditubuhkan sejak dua bulan lalu oleh Sukan Saudi Persekutuan, kumpulan itu secara spesifiknya dibentuk untuk mempromosikan hal berkaitan alam sekitar kepada masyarakat umum.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menjadikan sukan sebagai satu aktiviti sosial kepada semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak serta warga tua dan tidak terhad kepada golongan tertentu.

Ketua pasukan Greens, Rawh Alarfaj berkata, pada awalnya pasukan itu hanya memfokuskan kepada sukan bola sepak sahaja sebelum memperluaskan kepada sukan lain.

“Pada mulanya kami hanya fokus kepada bola sepak, namun bermula awal 2017 kami mewujudkan pasukan bola keranjang wanita pula di Riyadh.

“Kami menjalankan program untuk semua orang dalam masyarakat kerana matlamat kami adalah untuk meningkatkan tahap penyertaan awam dalam sukan di Arab Saudi daripada 13 peratus pada 2015 kepada 40 peratus menjelang 2030 berdasarkan kajian yang kami lakukan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini mereka telah berjaya meningkatkan tahap penyertaan kepada 18 peratus meliputi pelbagai jenis sukan.

MISI DUA DALAM SATU

Terbaru, pasukan itu turut menyertai kejohanan Global Goals World Cup (GGWC) yang mempromosikan kelestarian alam sekitar.

Kejohanan itu menjadikan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) sebagai satu sukan dengan penyertaan sebanyak 30 pasukan dari seluruh dunia berentap untuk mencipta persekitaran dunia dari sudut pandang masing-masing.

Dengan itu, setiap pasukan perlu mencipta pelan tindakan bersama dengan matlamat yang ingin dicapai di negara masing-masing.

“Bagi Greens, fokus kami ialah SDG: Hidup di Bumi. Kami berasakan ia merupakan matlamat yang bagus untuk diberi perhatian kerana isu itu sangat meluas.

“Kesedaran mengenai keadaan persekitaran merupakan topik penting, jadi kami telah menganjurkan beberapa siri kempen di seluruh negara.

Satu daripadanya ialah ketika perlawanan bola sepak lelaki di Riyadh, pemain pasukan Greens mengagihkan beg kitar semula untuk mendidik masyarakat mengenai kebaikan menggunakan beg kitar semula berbanding beg plastik.

Sejurus permainan tamat, mereka membersihkan stadium dan mengutip semua botol plastik yang ditinggalkan dengan bantuan beberapa remaja tempatan.

Botol plastik terbuang itu akan digunakan pada bangunan ‘kerja seni plastik’ yang akan disiapkan tidak lama lagi bertujuan memberikan penekanan mengenai bahaya plastik kepada bumi.

“Kempen ini sangat penting. Ramai orang muda secara sukarela membantu kami dan perkara ini harus menjadi budaya pada masa hadapan.

“Kempen sebegini secara tidak langsung memberikan mata buat kami untuk kejohanan GGWC. Namun, matlamat utama bukan untuk memenangi acara bola sepak.

“Ia adalah mengenai SDG dan bagaimana cara untuk mencapainya melalui sukan terutama dalam acara sukan bola sepak bagi wanita. Sangat bagus untuk ada acara sukan yang bermatlamat seperti ini,” katanya yang telah berkecimpung dalam dunia bola sepak lebih 12 tahun.

Mengambil bahagian dalam GGWC kali ini, kelab bola sepak itu berharap mereka berpeluang untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada masa hadapan.

“Untuk menang, kita tidak boleh terus pergi dan bermain. Kita harus menganjurkan kempen-kempen dan menarik minat masyarakat dalam matlamat yang telah dipilih.

“Sukan ialah aktiviti paling tenang dan aman yang boleh digunakan untuk memberikan kesedaran mengenai apa jua isu. Jadi, saya sarankan semua orang untuk melibatkan diri dalam sukan dan menggunakannya sebagai medium untuk memberikan kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar,” ujarnya.