Bukan mudah untuk mengekalkan budaya yang sudah mencecah ratusan tahun kerana warisan yang diturunkan perlu dipelajari dan disemai dalam diri setiap generasi.

Namun, perkara itu tidak menjadi masalah apabila mendapat kerjasama pihak sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Melut (A), Sepang, Selangor. Sekolah itu mempunyai 68 murid Orang Asli yang berasal dari empat buah kampung iaitu Kampung Sungai Melut, Kampung Bakok, Kampung Jambu dan Kampung Kelinsing.

Uniknya, aktiviti kebudayaan yang disulam bersama aktiviti akademik itu berjaya menarik lebih ramai murid untuk hadir ke sekolah. Ini kerana mereka berminat dengan aktiviti santai yang dilaksanakan pihak sekolah.

Misalnya, aktiviti sewang iaitu tarian tradisional masyarakat Orang Asli berjaya menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya termasuk mereka yang mahu mendekati budaya unik ini.

Menurut guru besar sekolah itu, Alpikri Murid, aktiviti sewang adalah budaya masyarakat Orang Asli di sini yang diwarisi anak-anak mereka.

Katanya, aktiviti itu diwujudkan bertujuan menyambut dan menghiburkan tetamu yang datang ke sekolah bagi menjayakan sesuatu program.

“Malah, sebuah kelab yang dikenali sebagai Kelab Sewang SKSM (A) turut diwujudkan untuk melibatkan murid-murid dalam aktiviti kebudayaan yang dijalankan di sekolah ini.

“Kelebihan aktiviti sewang adalah ia dapat menonjolkan budaya masyarakat Orang Asli suku Temuan kepada masyarakat. “Walaupun persekitaran kampung dikelilingi dengan pembangunan serta kemajuan, namun mereka masih mampu mempertahankan warisan tersebut,” katanya kepada Mega Rona.

Tambahnya, murid-murid Orang Asli ini sangat berbangga dengan budaya yang dibawa masuk ke sekolah dengan persekitaran yang kondusif bercirikan warisan nenek moyang mereka seperti pundung sangai (pondok rehat), galeri temuan, pusat sumber dan makmal teknologi maklumat yang dihias dengan seni anyaman.

“Murid-murid dan ibu bapa sangat sayangkan sekolah ini. Mereka menganggap sekolah adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu dijaga dan diwarisi generasi akan datang sebagai wadah untuk menimba ilmu.

“Aktiviti kebudayaan yang diadakan di sekolah ini dilihat mampu memberi galakan kepada mereka untuk menimba ilmu dan hal ini dapat dibuktikan apabila anak-anak Orang Asli di sekolah ini mencapai tahap akademik yang memberangsangkan. Beberapa murid berjaya menempatkan diri di sekolah sukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Alpikri memberitahu, pada mulanya murid-murid Orang Asli ini bersikap pemalu dan rendah diri terhadap orang luar termasuk guru mereka sendiri.

“Namun, dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam mendidik mereka, akhirnya kami berjaya membentuk sikap mereka supaya lebih berani untuk berkomunikasi dan mesra didekati.

“Di samping itu, usaha pihak sekolah menjalankan ziarah dari rumah ke rumah penduduk dan program yang melibatkan pihak komuniti setempat juga berjaya mengeratkan hubungan dan kerjasama antara sekolah dan masyarakat setempat,” katanya.