Kesedaran mengenai sukan berkuda semakin berkembang apabila ia sering dikaitkan dengan aktiviti yang diminati oleh Rasulullah, para sahabat dan menjadi sebahagian daripada sukan sunah.

WAN RUHAIZA WAN DAUD
WAN RUHAIZA WAN DAUD 

Seorang penggiat sukan ekstrem di Jerantut, Pahang, Wan Ruhaiza Wan Daud, 46, berkata, mereka yang berminat tetapi belum pernah menunggang kuda sepatutnya mengikis perasaan takut kerana haiwan itu mudah dijinakkan.

Beliau yang menganggotai Kelab Equestrian Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyyah (KEMDUAI), Sungai Salan dekat Jerantut berkata, pada awalnya beliau berasa agak mencabar untuk mendekati mamalia daripada genus Equus itu memandangkan ia agak liar.

“Tetapi setelah menerima tunjuk ajar daripada pemiliknya, perasaan itu terhakis dan bertukar menjadi seronok pula apabila berada di atas pelana serta teruja dengan kepantasan kuda berlari dan melompat.

“Sukan berkuda terbukti berpotensi besar untuk menjadikan aktiviti ekstrem yang sihat dan terapi kepada tubuh badan kita,” katanya kepada S2 ketika menunggang kuda putih yang diberi nama Baido di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, baru-baru ini.

Wan Ruhaiza berkata, kelab berkenaan mengadakan pelbagai aktiviti berkuda dan latihan untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan ini mahupun yang sudah mahir untuk aktiviti seperti ekuestrian mahupun endurance.

“Tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mendekati haiwan ini. Minat dan keyakinan seseorang membolehkan mereka meraih kemahiran menunggang dalam masa yang singkat tanpa pengawasan jurulatih,” katanya.

Wan Ruhaiza yang juga seorang guru berkata, beliau dan ahli kelab memilih aktiviti berkuda pada hujung minggu dengan menyusuri perkampungan di pesisir Sungai Pahang iaitu Kampung Pulau Tawar dan Sungai Salan kerana aktiviti itu dapat memberikan ketenangan serta mencabar fizikal.

Beliau yang juga jurulatih sukan mendaki via ferrata di Kampung Paya Gunung berkata, kebiasaannya dua kali seminggu Baido akan dibawa bersiar-siar pada sebelah petang termasuk hujung minggu di pesisir Sungai Pahang bersama seorang rakannya, Aizuddin Ab. Razak, 36, yang menunggang kuda diberi nama Yaksur.

“Sekiranya ingin melakukan endurance, kami memilih trek mencabar berdekatan Gua Bersejarah Kota Gelanggi kerana di situ laluannya berbatu, berbukit dan hutan,” katanya.

Aktiviti berkuda katanya, sudah menjadi sebahagian daripada aktiviti keluarganya yang memberikan pengalaman cukup menarik, malah anak lelakinya kini berminat menyertai sukan berkuda.

Aizuddin pula berkata, semua lapisan usia boleh menunggang kuda kerana ia merupakan terapi yang baik untuk kesihatan badan.

“Ramai yang berminat dengan aktiviti ini dan 
kita kerap mengadakan aktiviti menunggang 
kuda di Pusat Ekuestrian Madrasah Darul Uloom 
Al-Islamiyyah, Gua Bersejarah Kota Gelanggi 
dan kawasan rekreasi di bandar Jerantut bagi mendekatkan masyarakat 
dan pelancong dengan 
aktiviti ini,” ujarnya.

Tambahnya, pihak KEMDUAI mengenakan 
sedikit bayaran sebagai sumbangan untuk 
pengurusan makanan, penjagaan kesihatan 
dan logistik haiwan itu.