Bagi mereka, amalan menyambut Ramadan dengan mengecat rumah boleh disamakan seperti umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu segala persiapan perlu dilakukan dengan menggantikan yang baharu selain baju raya.

Malah ada dalam kalangan penduduk di negeri ini yang mengambil tema baju raya yang akan dipakai dengan mengecat rumah menggunakan warna yang sama.

cat
AZREEN MAMAT

Bagi Azreen Mamat, 46, walaupun tinggal di kawasan perumahan taman, setiap dua tahun sekali dia akan memastikan rumahnya dicat baharu dan kali ini memilih warna merh jambu sebagai tema.

“Sebelum menukar warna cat rumah, saya akan membuat tinjauan mengikut kemampuan saya termasuk dari segi harga dan warna apa yang menarik untuk dicat pada rumah.

“Bagi rumah taman seperti saya, cukup sekadar satu tin cat yang berharga RM90, dua tahun lepas rumah saya berwarna kuning dan kali ini saya pilih merah jambu pula,” kata kakitangan Pejabat Ahli Parlimen Masjid Tanah ini yang tinggal di Taman Sri Aman di sini sejak 14 tahun lalu.

Walaupun tinggal di kawasan perumahan taman, Azreen yang merupakan bapa kepada enam orang anak berkata, tradisi mengecat rumah tetap dilakukan seperti mereka yang tinggal di rumah kampung yang kebiasaannya menggunakan cat minyak.

Katanya, amalan itu tetap dipraktikkan oleh rata-rata penduduk di negeri ini namun persediaan yang dilakukan oleh mereka tidak tentu iaitu ada yang mula mengecat sebelum Ramadan tiba dan ada yang hanya mula berbuat demikian ketika minggu pertama berpuasa. - UTUSAN ONLINE