“Tetapi setelah berkahwin, baru saya tahu saya tidak disukai ibunya. Saya dikatakan akan menghabiskan harta benda anak dan keluarganya. Dia sudah ada gadis pilihan untuk Naim. Mengapa dari awal tak halang perkahwinan kami? Sakitnya hati. Sesekali balik ke kampungnya, saya rasa macam duduk dekat unggun api.

“Namun Naim suruh saya sabar. Katanya lama-lama ibu dan kakaknya akan terima saya. Tetapi lepas melahirkan anak pertama bukan ibu berubah, sebaliknya Naim yang benci saya.

“Punca saya dibenci, pertama kerana saya orang Negeri Sembilan. Kedua saya bukan gadis pilihannya. Kata emaknya, kalau kahwin orang negeri, semua harta benda Naim akan jadi milik saya. Dan saya akan control Naim.

“Emak Naim bagi contoh saudaranya kahwin wanita negeri. Bila bercerai, saudaranya itu dihalau keluar. Semua perabot dibolot oleh isterinya. Tetapi emak Naim tak tahu perabot itu si isteri yang beli kerana pendapatannya tinggi berbanding suaminya yang mengganggur.

“ Dulu saya bekerja, bila anak bertambah saya terpaksa berhenti, sebab tiada siapa nak jaga anak. Bila tak bekerja bertambahlah emak Naim bencikan saya.

“Setiap bulan Naim hanya beri duit beli makanan, tiada pakaian untuk saya dan anak anak. Kerana malu pada jiran, saya terpaksa bantu kawan berniaga kecil-kecilan, untuk dapatkan duit poket. Dengan duit itulah saya beli seluar dalam dan coli saya, pampers, pakaian anak dan bedak yang saya kongsi pakai dengan anak-anak.

“Kalau hari raya orang lain berpakaian baharu, kami pakailah apa yang ada. Kalau nak beli juga saya terpaksa cari duit. Nasib saya boleh buat kuih raya, itulah caranya saya cari duit untuk duit belanja beberapa bulan kemudian. Naim beri RM300 sebulan. Itulah untuk beli susu anak dan sebagainya.

“Kalau saya minta duit lagi, dia kata saya boros. Nasib tak baik dia kata lebih baik kita bercerai sebab saya hanya menghabiskan duit dia saja. Kalau anak demam, minta dia bawa ke klinik dia kata saya hanya pandai habiskan duit. Dia suruh saya demah badan anak dengan air sejuk. Kalau anak batuk sapu minyak. Dia takkan keluarkan duit untuk beli ubat.

“Kalau blander rosak, peti sejuk dah tak sejuk, dapur buat hal saya minta dia belikan baharu atau nak repair, dia kata bukan dia yang guna benda tu semua saya yang pakai. Sayalah kena beli. Jangan minta duit dia. Anak-anak pernah merayu nak makan ayam goreng. Dia kata tak ada duit! Tetapi boleh pula makan di kelab golf dan main golf paling tidak sekali seminggu.

“Anak-anak pernah menangis sebab sedih, nak makan ayam goreng ayah kata tak ada duit tetapi Naim beri pula kakaknya duit bila anak-anak kakaknya itu nak makan ayam goreng. Ketika anak-anak kakaknya nak makan ayam goreng, anak-anak saya fikirkan dapatlah mereka merasa, tapi Naim ajak mereka balik. Anak anak sedih hanya telan air liur sahaja.

“Perangai buruk Naim itu saya masih boleh telan lagi, tetapi saya sering menangis sendiri dan sedih bila dia kata: “Kalau awak selalu mintak duit, lebih baik kita cerai!” perkataan cerai sentiasa keluar daripada mulutnya beratus kali sebulan. Bila anak-anak minta duit yuran sekolah, duit poket dan tambang bas, Naim takkan bagi, sebaliknya suruh minta pada saya. Sedangkan saya tak bekerja. Perangai kedekut Naim bukan ketika anak-anak bersekolah rendah sahaja, sudah masuk universiti sekarang pun, dia tetap ulang perkataan yang sama :“Aku tak ada duit!’’ Kalau saya yang minta duit dia akan kata; “Lebih baik kita bercerai.’’

“Oleh kerana saya tak bekerja, saya terpaksa diamkan diri, sebab kalau kena cerai mana kami nak duduk, duit tak ada, nak jual kuih raya berapa sangat untungnya.

“Tahun demi tahun saya bersabar hinggalah perkahwinan kami mencapai 25 tahun. Kalau ikutkan hati memang saya tak takut bercerai, tapi saya masih fikir yang saya tak ada kerja. Ketika berusia 50 tahun barulah Naim beli rumah. Lepas 3 tahun Naim refinance rumah RM300,000, alasannya nak tambah bilik. Tapi bohong, dia ambil duit untuk dirinya sendiri.

“Oleh kerana niat dan mulutnya sentiasa nak ceraikan saya, maka Allah izinkan. Saya diceraikan tiga tahun lalu. Tapi Allah uji dia lepas bercerai, tak sampai dua bulan dia diserang sakit jantung. Menggelupur cari saya nak rujuk semula, memang saya tak mahu tetapi kerana kesian tak ada orang nak jaga, kami rujuk. Tetapi rujuk tersebut tidak difailkan ke mahkamah.

“Naim memang nak aniaya saya. Tahun lepas sekali lagi dia ceraikan saya. Satu malam dia letak surat mahkamah atas meja, anak yang baca, bahawa saya wajib hadir ke mahkamah esok pagi untuk dengar lafaz cerai. Tapi saya tenang kerana anak-anak sentiasa di sisi.

“Tetapi anak-anak kecewa. Mereka dapat tahu ayahnya yang sudah bersara dan dapat puluhan ribu duit sagu hati hendak kahwin lagi. Hantaran perkahwinan lebih RM10,000, diiringi barang kemas seperti rantai, cincin, kalung dan gelang tangan berlian, beg tangan mewah, jam tangan berjenama dan banyak lagi. Gadis tersebut pilihan ibu dan kakaknya.

“Mereka bangga walaupun Naim sudah bersara dan berumur lebih 55 tahun tetapi dapat isteri masih bekerja walaupun berusia lebih 40 tahun. Sudah pasti hidup dan masa depan mereka lebih mewah, berbanding saya yang tiada pendapatan tetap.

“Saya reda terima ketentuan nasib tetapi anak- anak kecewa, sebab mereka tidak pernah dapat duit belanja dan pembelajaran secukup daripada ayahnya kecuali daripada saya yang terpaksa bekerja keras cari duit untuk beri mereka perbelanjaan semasa belajar. Mereka tahu dengan RM400 sebulan yang ayahnya beri pada saya semasa berkahwin dahulu, memang tak cukup untuk perbelanjaan sebulan, kalau saya tak bantu dengan jual kuih.

“Apapun anak-anak sedih, kerana Naim berpangkat tinggi dalam pasukan keselamatan tetapi hidup mereka lebih rendah dan susah berbanding hidup anak-anak pegawai bawahan atau lain lain pangkat. Saya sendiri walaupun jadi pengerusi persatuan wanita kerana kedudukan pangkat Naim semasa bersama dahulu tetapi pakaian dan penampilan saya setaraf isteri anggota pangkat rendah. Sungguhpun begitu saya tak malu, walaupun baju dan tudung saya lebih murah dan berusia lebih 10 tahun. Sebab Naim sendiri tidak pernah malu dengan penambilan saya. Dia lebih pentingkan penampilannya yang sentiasa berganti pakaian untuk setiap majlis.

“Contoh untuk hari raya dia mesti ada dua atau tiga pasang pakaian baju Melayu yang mahal, kasut, seluar dan kemeja berjenama. Apa lagi pakaian untuk main golf dengan orang kenamaan. Untuk anak anak pandai pandailah saya beli baju di pasar malam.

“Saya masih ingat lagi, ketika anak sakit dia tak mahu bawa ke klinik. Katanya mahal dan membazir. Tetapi untuk kakak dan anak-anaknya dia sanggup berhabis. Anak-anak kecewa sebab tidak pernah dapat layanan daripada ayah mereka. Hinggakan nak hantar anak masuk universiti pun dia tidak mahu kerana jauh. Sebaliknya anak terpaksa hantar barang dengan menumpang kereta ayah kawannya dan naik bas untuk daftar universiti. Kalau ayah sendiri tak pedulikan anaknya, jangan marah kalau satu hari nanti anak-anak tak mahu jumpa ayah mereka.

“Terkini khabarnya Naim hendak jual rumah. Kakaknya telefon beritahu anak-anak. Saya dikatakan tak sedar dek untung dah bercerai tapi duduk rumah bekas suami. Bersiap-siaplah cari rumah lain dan pindah.’’ Begitulah kisah Norlaila panjang lebar tentang masalahnya yang mendapat suami tidak mementingkan anak-anak sendiri.