Malah perasaan cintakan kerjaya itu mendorong anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini membuka syarikat perunding perlindungan selain menyediakan kursus latihan kepada mana-mana individu yang berminat untuk menjadi pegawai pengiring selepas bersara tetap pada 2011.

Beliau yang pernah menjadi bodyguard beberapa individu ternama antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba memberitahu, ilmu berkaitan pegawai pengiring perlu diturunkan kepada generasi baharu sekaligus membuka peluang kerjaya tersebut kepada orang awam.

“Saya melatih sendiri dan menempatkan mereka mengikut permintaan pemohon yang kebanyakannya adalah individu perseorangan. Sehingga kini, 20 orang telah dilatih dan diberi Diploma daripada IBA (Pertubuhan Pengiring Antarabangsa).

“Pada awalnya, saya melatih mereka berdasarkan ilmu yang diperoleh dalam polis tetapi selepas tiga tahun mengendalikan kursus terbabit, saya diberi peluang untuk menyertai IBA malah latihan berkaitan diadakan di sini,” katanya ketika sesi temu bual bersama Mega Wira di sini baru-baru ini.

Menurut Johari, kursus tersebut berlainan dengan latihan yang disediakan pasukan polis kerana perlu bergerak secara perseorangan yang mana bagi pasukan keselamatan pula, pengiring akan berada dalam kelompok ramai.

Jelasnya, tenaga pengajar yang dilantik juga perlu mem-punyai pengalaman lebih 500 jam mengajar dan mahir dalam mengendalikan pelbagai ragam kerana terdapat segelintir individu yang dijaga enggan orang luar mengetahui mereka sedang diiring bodyguard.

Oleh itu katanya, teknik bayangan dan rahsia diperlukan bagi menepati kehendak dan permintaan pelanggan.

Menceritakan kembali pengalamannya ketika bertugas dalam PDRM sejak 1978, ujarnya, selepas setahun menyertai pasukan kesela-matan itu, dia ditempatkan di bahagian UTK dan tugasan lebih menjurus kepada pengiring rapat selain turut membantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam risikan dan pertempuran.

Beliau yang menyertai polis pada usia 28 tahun berkata, sepanjang tempoh itu, dia dihantar menyertai kursus di dalam dan luar negara antaranya Diplomatic Security Service (DSS) di Amerika Syarikat kerana pasukan elit tersebut lebih fokus kepada mengiringi presiden.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan beliau adalah ditembak di kaki dan hampir ditetak penjenayah di pergelangan tangan ketika mengiringi Datuk Yahya Yeop iaitu Pegawai Tinggi Bukit Aman yang mengetuai pasukan Op Hapus dalam insiden Peristiwa Memali pada 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah.

“Pada masa tu saya berpangkat Inspektor bersama Datuk Jaafar Mohd. Yusof yang kini Ketua Polis Negeri Sembilan diarahkan untuk menjaga dan mengiringi Yahya bagi berbincang dengan Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya selepas gagal menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kami dianggotai 20 orang dan saya ditugaskan mengepung bahagian kiri rumah terbabit. Walaupun pasukan polis berjaya dalam pertempuran itu tetapi tujuh orang cedera,” katanya yang kemudian ditukarkan kepada Unit Jenayah Berat (D9) selepas 29 tahun berada dalam UTK.

Semasa berada dalam D9, Johari mengendalikan pelbagai kes antaranya bunuh, senjata api, rampasan kapal terbang dan penculikan, namun kesemua tugasan itu dapat dilakukan dengan jayanya malah pengalaman serta pengetahuan sebagai UTK banyak membantu.

Selain itu, beliau turut dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara pada 2006 sebelum ditugaskan sebagai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah.

Pengalaman luas sebagai Ketua Polis Daerah kemudiannya membolehkan beliau yang berpangkat Asisten Komisioner mengemudi JSJ sebagai Ketua Penolong Pengarah Siasatan Khas JSJ, Bukit Aman bagi menggantikan Datuk Sharifudin Ab. Ghani.

Kini, selain mengendalikan syarikat perunding perlindungan, beliau aktif dalam sukan permotoran berkuasa tinggi dan menunggang kuda.