Kunci kejayaan mengekalkan keharmonian hubungan dalam memelihara pergaulan antara sesama kita, adalah menghargai dan menghormati antara satu sama lain, terutama dalam memelihara kata-kata. Sebenarnya kita boleh menghindari permusuhan dan perbalahan jika kita mengurangkan sikap mementingkan diri dan membanggakan diri.

Benarlah seperti kata peribahasa Melayu, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana”. Sesungguhnya apa-apa kata yang keluar dari mulut kita, menggambarkan apa yang ada dalam hati kita, dan hati kita pula merupakan gambaran ‘dunia dalaman’ kita, sama ada bersih atau kotor. Apalah gunanya hanya cantik fizikal, ‘dunia luaran’, sedangkan hati budi, ‘dunia dalaman’ kita buruk, penuh dengan sikap negatif.

Jom audit hati kita, sama ada kita seorang yang bersih hati atau sebaliknya. Orang yang bersih hati, mempamerkan kebaikan dan ketenangan diri; tahu membezakan perkara yang baik dengan perkara yang tidak baik, suka mendengar orang memberikan pandangan mengenai kesilapan diri sendiri, suka memaafkan orang, suka mencari kebaikan dalam suasana, suka mencari kebaikan dalam diri seseorang dan melupakan keburukan seseorang, serta suka menghargai dan membalas budi.

Kualiti kehidupan kita ini bergantung kepada dua perkara. Pertama, kualiti kehidupan dengan Tuhan/Allah SWT. Kedua, kualiti kehidupan kita dengan sesama insan. Janganlah kita melalui kehidupan ini dengan memberatkan kepada satu perkara sahaja, iaitu menjaga dengan sebaik-baiknya hubungan dengan Tuhan/Allah SAW, tetapi hubungan dengan sesama manusia kita tidak pedulikan, hingga memancing kebencian dan permusuhan. Kita boleh menghindari perselisihan faham jika kita menjadi pemaaf, bukan pendendam dan kita tidak mementingkan diri.

Ingatlah, kita dijadikan sebagai khalifah, memimpin diri kita dahulu, menjadi hamba-Nya yang baik. Orang yang membangunkan dirinya, baru boleh membangunkan orang; orang yang bahagia boleh membahagiakan orang, dan orang yang betul ‘dunia dalaman’nya, akan betul dunia luarannya. Nilai diri yang baik diukur melalui akhlak, dan akhlak yang baik memberikan gambaran hati kita yang baik. Seperti kata pepatah Melayu, “Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, lidah orang yang cerdik di belakang hatinya”.

Orang yang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang yang pandai berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Oleh itu jagalah hati kita; apabila hati terjaga, mulut pun terjaga. Hakikatnya, kualiti kehidupan kita bergantung kepada kualiti komunikasi kita.

Jagalah komunikasi kita jangan berkasar dan berlembut dalam seadanya mengikut suasana. Sebab dalam formula berkomunikasi, pengaruh dan kuasa “perkataan” memberikan kesan tujuh peratus (%), “intonasi” 38%, dan “bahasa badan” 55%.

Menjaga perhubungan

Ibarat untuk menikmati secangkir kopi yang enak, kita kena tahu “membancuh”nya, bila perlu menambahkan gula dan mengurang kopinya, agar seimbang rasanya. Dalam menjaga perhubungan dan mengelakkan permusuhan tiga perkara yang perlu kita lakukan apabila berhadapan dengan orang. Pertama, hargai mereka. Kedua, sebut kebaikan mereka.

Ketiga, jangan kutuk mereka. Niat setiap kali kita berjumpa orang, kita hendak orang itu berasa lebih baik tentang dirinya daripada sebelum dia jumpa kita. Kita hendak menjadi orang yang berminat, bukan orang yang menarik minat orang kepada kita. Kita mahu menjadi orang yang memberi perhatian, bukan mencari perhatian. Kita juga berhasrat menjadi orang yang mendengar, bukan orang yang banyak cakap.

Jangan kita berasa diri kita ini lebih besar daripada sesiapa pun; kitalah yang pandai dan kita serba tahu, hingga langsung tidak mahu mendengar pandangan orang. Kalau bercakap hendak menang sahaja, ingatlah kita tidak akan mendapat simpati daripada orang yang kita kalahkan itu, sebaliknya kita menawarkan kebencian dan permusuhan. Kita boleh mengemukakan pendapat tetapi tidak melukai perasaan orang dan menjatuhkan harga dirinya, dengan kata-kata yang sopan dan berlapik.

Retorik dalam berbicara adalah skil yang penting dalam berkomunikasi. Retorik bermaksud, seni menggunakan bahasa yang indah, menarik dan muluk-muluk untuk memujuk dan mempengaruhi pemikiran pendengar. Ayat-ayat retorik dalam berhadapan dengan perdebatan kata antaranya seperti, “Saya setuju dengan semua pandangan awak, tetapi satu sahaja yang mungkin perlu dikaji semula ...” atau “Cadangan awak ini cukup bernas, tetapi kalau boleh ditambahkan satu perkara lagi mungkin lebih elok ...”.

Jika kita menggunakan kata-kata yang sopan dan muluk, orang akan menyukai dan menghormati kita, bahkan orang yang berkomunikasi dengan kita juga akan menghargai kita dan menerima pandangan kita dengan hati yang terbuka. Jadilah orang yang suka bekerjasama. Apabila bercakap kita lebih hendak menjaga silaturahim, lebih daripada rasa kita hendak mempertahan pendapat kita, kecuali dalam bidang agama, kalau salah kita kena pertahankan.

Berlemah lembutlah dalam komunikasi, jangan menggunakan kata-kata kesat walaupun ketika kita marah. Ingatlah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Jagalah perasaan orang lain jangan kerana mulut kita, hati orang terasa dan terserlah sifat ego kita. Jom audit diri, adakah kita seorang yang memiliki sikap ego?

Ciri-ciri orang yang ‘kesedaran keegoan tinggi’ (ego) ialah, suka marah, suka bersaing, kalau bercakap dia sahaja yang betul, sangat fikir apa orang kata, dia menilai dirinya berdasarkan pangkat dan kedudukan, dia berasakan segala yang terhasil itu adalah hasil titik peluhnya, dia seorang yang kedekut, dia ingin lebih daripada orang dan tidak boleh ada orang yang lebih daripadanya. Semua ciri ini, membuatkan hidup kita stres.

Bagi mengelakkan permusuhan, didiklah hati sentiasa penuh kasih sayang, sentiasa melihat kebaikan dalam semua orang dan suasana. Sangat bermurah hati, baik hati dan suka membantu orang. Sikap suka mempermudahkan segala urusan orang juga menunjukkan sikap kita yang menjaga perhubungan dan mengelakkan permusuhan.

Janganlah menjadi orang yang suka dan berpuas hati melihat orang susah kerana kita. Jadilah kita orang yang susah melihat orang susah dan senang melihat orang senang. Jangan sesekali berfikir negatif tentang sesiapa kerana getaran fikiran kita akan sampai kepada orang yang kita fikirkan itu. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Penulis ialah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya.