Selagi namanya kehidupan, setiap orang tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah.

Lebih bermasalah lagi jika menjadi orang yang buta ‘mata hati’. Tidak nampak segala masalah itu sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT.

Dengan adanya takwa, seseorang itu percaya bahawa segala perkara yang baik dan buruk semuanya datang daripada Allah. Justeru, segala yang diusahakan sekiranya berhadapan dengan masalah, dia tidak menyalahkan sesiapa apatah lagi untuk menyalahkan Allah.

Oleh itu pentingnya menilai dengan ‘mata hati’. Melalui `mata hati’ setiap masalah yang menimpa akan dianggap sebagai satu ‘cabaran’ bukan ‘halangan’ dalam usaha meraih hasil kehidupan yang lebih positif. Apabila segala masalah diterima sebagai ‘cabaran’ secara tidak langsung akan menjadi ‘batu loncatan’ yakni ‘peluang’ untuk kita melonjak ke arah kejayaan. 

Sehubungan itu apabila berhadapan dengan masalah perkara penting yang perlu dilakukan ialah lihat masalah itu dengan hati yang tenang, terbuka, sabar, reda serta bersyukur. Lihat secara positif dalam tiga keadaan.

Pertama, masalah sebagai peringatan bagi yang lupa pada kekuasaan-Nya. Kedua, punca menggapai pahala bagi yang sabar. Ketiga, peringatan tentang sifat kasih sayang dan pemurah-Nya buat hamba yang mengharap.

Bersyukur kerana Allah memilih kita menerima ujian-Nya. Terimalah segala masalah itu sebagai takdir bahawa Allah sedang menguji, juga sebagai tanda Allah menyayangi hamba-Nya sekali gus boleh membuatkan diri seseorang semakin dekat dengan-Nya. 

Seterusnya, lakukan tindakan positif. Pertama, pastikan ‘apakah’ masalah dan ‘di mana’ masalah tersebut. Kedua, segera mencari jalan ‘bagaimana’ hendak menghadapi masalah, bukan mencari ‘mengapa’ dan ‘siapa’ punca atau penyebab berlakunya masalah itu.  

Ketiga, jangan sibuk menyalahkan orang atas bebanan masalah yang terpaksa ditanggung tetapi ambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Carilah segera penyelesaian masalah, dalam masa yang sama carilah cara dan jalan untuk menguatkan jiwa agar lebih tabah ketika berhadapan dengan masalah. 

Berdoalah kerana doa itu senjata orang mukmin. Hiduplah dengan kesedaran ketuhanan yang tinggi dengan penuh keyakinan bahawa dalam menjalani kehidupan ini ada perkara yang boleh dikawal dan ada perkara yang tidak boleh dikawal. Berdoalah:“Ya Allah, ya Tuhanku, berikan aku kekuatan untuk mengubah perkara yang boleh aku ubah. Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menerima apa-apa perkara yang tidak boleh aku ubah. Ya Allah, ya Tuhanku, berikanlah aku kebijaksanaan untuk tahu menilai antara kedua-duanya yakni mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang Engkau redai dan mana yang Engkau murkai”. 

Kita mesti mengadu hanya kepada Allah bukan kepada makhluk. Berhubunglah dengan Allah melalui ‘mata hati’. 

Dalam konsep pemikiran ‘reset minda’, segala yang diusahakan tidak akan terasa beban malah menyeronokkan jika dilakukan dengan sepenuh hati. Jika kita beranggapan, ‘kena melakukan’ sesuatu kerja atau pekerjaan itu dilakukan secara terpaksa maka tidak wujud suasana yang menyeronokkan. Namun, jika yang diusahakan itu dianggap sebagai ‘melakukan kerja’, ini  bermakna dorongan semangat bekerja itu datangnya daripada dalam diri. Kita berminat untuk melakukannya dan atas sebab itu barulah timbul keseronokan. 

Dengan keseronokan itu juga apabila timbul masalah yang tidak terduga akan dihadapi dalam bentuk cabaran. Semakin besar cabaran, semakin banyak usaha yang perlu dilakukan. Dengan itu kita tidak akan kenal putus asa. Hal ini kerana orang yang kehidupan berlaku melaluinya akan mengambil tanggungjawab untuk memilih pemikirannya. Kita menggunakan fikiran untuk mengawal emosi, memilih kawan yang baik-baik bukan ‘manusia toksid’ yang penuh dengan fikiran negatif dan memilih bahan bacaan serta tontonan yang mampu membina minda positif. 

Ingatlah, setiap kerja yang dilakukan dengan emosi yang positif akan memberikan hasil kehidupan yang positif.

Disebabkan diri sendiri yang mengawal fikiran dan emosi, maka kitalah yang menentukan sama ada sesuatu kerja yang dilakukan atau kehidupan yang dilalui itu sama ada membahagiakan atau membebankan. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.