Mana tidaknya, kerjaya sebagai seorang juruukur bahan selama 10 tahun akhirnya memberi pengalaman yang cukup besar untuknya membina sebuah firma perniagaan sendiri pada usia awal 30-an.

Jika tidak memiliki jiwa yang kental, sudah pasti Tiffany Seow Mei Teng mudah putus asa. Ini kerana kerjaya tersebut memerlukan ketelitian, di samping tidak ramai wanita menyertai pekerjaan tersebut.

Kecil molek orangnya, pada usia 33 tahun, Tiffany mengorak langkah untuk memberi inspirasi kepada wanita agar tidak mudah mengalah.

Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini sememangnya mempunyai kecekalan luar biasa kerana nekad untuk bermula dari bawah bagi mempelajari selok-belok perniagaan dalam syarikat miliknya.

“Saya suka bidang yang mencabar dan dengan diiringi minat mendalam, segalanya menjadi begitu mudah.

“Tiada yang mustahil untuk dilakukan asalkan mempunyai keazaman tinggi, itu sudah mampu membantu kita menggapai impian,” katanya kepada Mega Rona.

Tiffany mengambil masa hampir dua tahun untuk membolehkan syarikat konsultan juruukur bahan miliknya, TS Cost Consultancy kukuh seperti sekarang.

“Selepas 10 tahun berkecimpung dalam bidang juruukur bahan, saya mula sedar perlu keluar dari zon selesa sebagai pekerja dengan membuka syarikat sendiri.

“Memang agak sukar pada mulanya, namun berkat kesungguhan dan sokongan keluarga, saya berjaya menubuhkan sebuah syarikat konsultan juruukur bahan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Tiffany memberitahu kerjaya sebagai seorang juruukur bahan dan pengarah syarikat sendiri mempunyai cabaran berbeza.

“Seorang juruukur bahan menggalas tanggungjawab bagi memastikan kos projek tidak melebihi bajet yang ditetapkan oleh pihak majikan.

“Juruukur bahan juga terlibat secara langsung dalam sesuatu projek bermula dari awal sehingga projek dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

“Oleh itu, maklumat dan objektif yang tepat tentang projek adalah penting untuk memastikan kos yang dianggarkan berada dalam lingkungan yang dipersetujui,” katanya.

Tambahnya, kejayaan yang dikecapi pada hari ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada wanita supaya berani dan yakin dengan diri sendiri serta jangan terlalu mengambil kira kesan yang bakal dihadapi.

“Ini kerana kadang-kala kita akan menghadapi pelbagai kesukaran dalam hidup. Namun jangan mudah putus asa kerana kejayaan akan dapat dicapai setelah kita belajar daripada kesilapan yang berlaku,” katanya.

Cantik dalam lasak

Walaupun bekerja dalam bidang yang dimonopoli lelaki dan dianggap sedikit lasak, namun Tiffany turut aktif dalam bidang peragaan dengan menjadi model untuk sesi fotografi pakaian.

Penglibatan dalam bidang itu turut didorong oleh minat Tiffany dalam bidang berkaitan penjagaan diri dan kecantikan.

“Saya mahu jadi inspirasi kepada wanita. Walaupun menceburi kerjaya lasak, namun wanita juga boleh kelihatan cantik dan menawan sepanjang masa,” katanya yang pernah menyertai acara kecantikan seperti Mrs Chipao Malaysia 2019 (johan), Best Talent Chipao Malaysia 2019 dan Miss Cheong Sam Catwalk.

Menurutnya, penglibatan dalam bidang peragaan membantunya meningkatkan keyakinan diri terutama apabila berhadapan dengan khalayak.

“Dengan menyertai acara kecantikan saya dapat membina rangkaian hubungan dengan rakan-rakan dan secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa wanita yang terlibat dalam bidang juruukur bahan tidak semestinya tidak boleh menjaga kecantikan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tiffany memberitahu, dia juga aktif menjadi pengacara dan perancang majlis sekiranya mendapat jemputan.

“Menjadi seorang pengacara majlis memerlukan keyakinan diri kerana perlu bercakap dan berhadapan dengan orang ramai.

“Namun, dengan keberanian serta pengalaman menjadikan saya lebih yakin berhadapan dengan orang ramai untuk terlibat sama dalam aktiviti yang diadakan,” tambahnya.

Menurut Tiffany, dia mahu menjadi wanita yang dapat menjadi role model kepada wanita lain iaitu berani mengambil risiko untuk bergiat aktif dalam kerjaya di samping terlibat aktif dengan kerja amal.

“Saya mahu kerjaya dan kejayaan saya dijadikan motivasi untuk wanita agar tidak mudah putus asa untuk mencapai cita-cita,” katanya.

Dalam pada itu, Tiffany yang aktif menyertai pertandingan ratu cantik pakaian tradisional juga mempunyai minat menggayakan pakaian tradisional dari pelbagai negara seperti Tibet (China), Chiang Rai (Thailand) serta pakaian tradisional Melayu, kebaya dan tentunya cheong sam yang merupakan pakaian tradisi masyarakatnya.

“Apabila saya melancong ke luar negara, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menggayakan pakaian tradisional negara yang saya lawati. Saya akan mengambil gambar sebagai kenangan.

“Bagi saya, pakaiaan tradisional setiap negara mempunyai nilai sejarah tersendiri dan saya sangat menghormati asal usul setiap pakaian tradisional yang disarungkan,” katanya.

Aktif dalam aktiviti amal

Meskipun wanita kecil molek ini memiliki kebahagiaan dan kejayaan, namun di sebalik semua itu, Tiffany mempunyai kisah sedih yang menyayat hati.

Sejak kecil lagi, dia tidak mendapat kasih sayang penuh daripada kedua ibu bapanya. Ini kerana dia diserahkan kepada saudara terdekat untuk dipelihara. Namun, ‘kekurangan’ itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk mengejar cita-cita.

“Saya ditinggal–kan ibu dan bapa sejak lahir. Disebabkan itulah, saya nekad membantu anak-anak yatim yang memerlukan perhatian dengan memberi–kan sumbangan berupa wang dan makanan.

“Biasanya, saya menyertai aktiviti yang diadakan bersama anak-anak yatim di Rainbow House, Cheras,” katanya.

Tambahnya, meskipun sumbangan yang diberikan tidaklah sebesar mana, namun diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan kanak-kanak yang memerlukan.

“Saya harap dapat menggembirakan mereka dengan sentiasa melakukan aktiviti bersama, kerana saya faham apa yang dirasakan oleh mereka iaitu diskriminasi oleh masyarakat kerana tidak mempunyai keluarga yang sempurna,” katanya.