Melihat papan iklan saiz gergasi yang terpampang di tengah bandar atau di tepi jalan, wajah pengasas Sejagat Global langsung tidak diiklankan bersama dengan produk yang dihasilkan, tidak seperti mana-mana iklan produk penjagaan kecantikan dan kesihatan yang lain.

Maka, ramai beranggapan bahawa pemilik Sejagat Global pastinya terdiri daripada golongan wanita atau ‘insan separa’ seperti mana pemilik jenama produk kecantikan terkenal lain yang laris dalam pasaran.

Hakikatnya, Sejagat Global adalah gandingan dua rakan sekampung, Mohd. Zahid Mohd. Zaki dan Abdullah Salleh Zubir yang bertekad memacu syarikat bumiputera itu melangkah lebih jauh termasuk bergelar sebagai sebuah syarikat korporat pada masa hadapan.

Tidak menyangka pertemuan kedua-duanya di sebuah masjid pada bulan Ramadan kira-kira lapan tahun lalu menyaksikan mereka kini mampu berdiri sama tinggi dengan syarikat produk kecantikan dan kesihatan lain di negara ini.

Keakraban kedua-duanya seumpama adik beradik menjadikan Sejagat Global lebih mudah bergerak maju berdasarkan persefahaman yang dimiliki, profesional dan mempunyai sikap saling membantu serta mengamalkan berbincang dalam semua hal.

Rahsia resipi ‘satu kepala’ dalam semua hal menjadikan mereka mudah menentukan rancangan dan hala tuju syarikat sekali gus melakar sesuatu yang lebih besar pada masa hadapan.

Apa yang menarik mengenai gandingan dua anak muda ini adalah mereka berupaya membantu membangunkan usahawan berjaya dalam kalangan pengedar sehingga ada yang bergelar jutawan.

Menurut Mohd. Zahid, mereka memilih untuk menceburi bidang perniagaan pada 2013 tatkala melihat tidak banyak persaingan yang perlu dihadapi ketika itu untuk menjual produk penjagaan kesihatan khusus buat wanita.

Beliau yang merupakan Pengarah Sejagat Global berkata, mereka mungkin berjaya membuat langkah betul pada waktu yang tepat. Justeru, nama Sejagat Global meraih lonjakan luar biasa sehingga membolehkan syarikat tersebut mampu meraih pendapatan yang lumayan.

Katanya, hasil daripada jualan produk yang memberangsangkan, syarikat mereka berjaya mencatat jualan mencecah RM1.5 juta menerusi penguasaan segmen dalam talian.

Mengakui sebelum ini pernah mengalami kegagalan dalam bidang perniagaan, Mohd. Zahid berkata, bukan sekali mereka mengalami kegagalan, sebaliknya sebanyak lima kali dalam menghasilkan produk terbaik selain pernah berhadapan dengan kerugian besar iaitu sekitar RM200,000.

“Kali keenam, produk yang dihasilkan menampakkan kejayaan. Produk Sejagat Global yang memberi penumpuan kepada penjagaan kesihatan dalaman wanita telah menjadi tular dalam laman sosial.

“Sehingga kini kami memiliki kira-kira 80 jenis produk yang dapat memenuhi dan membantu menyelesaikan permasalahan kesihatan dan penjagaan kecantikan pelanggan daripada pelbagai peringkat umur,” katanya yang ditemui baru-baru ini semasa meraikan pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Pancang Bedena, Sungai Besar, Selangor. Dalam majlis itu mereka turut menyantuni anak yatim, golongan asnaf dan warga emas di daerah tersebut.

Mengulas lanjut Mohd. Zahid berkata, kelebihan syarikat itu dalam industri tersebut ekoran keupayaan memiliki dua buah kilang pengeluaran peralatan asal (OEM) di Sungai Besar, Selangor dengan nilai kos lebih RM2.5 juta.

Katanya, kilang pertama dibuka pada 2016 manakala sebuah lagi kilang OEM dibuka untuk memenuhi kapasiti pengeluaran dan permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

Menurutnya lagi, Sejagat Global kini berusaha melebarkan langkah dengan mengeluarkan produk penjagaan kesihatan dan suplemen, kosmetik serta produk herba tradisional.

“Pihak syarikat menyasarkan pertumbuhan jualan antara 20 hingga 30 peratus setahun menerusi segmen produk baharu tersebut. Kami menjangkakan sebanyak 60 peratus daripada jualan syarikat akan disumbangkan daripada segmen produk penjagaan kesihatan dan suplemen,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Salleh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sejagat Global begitu optimis untuk mengubah status syarikat itu yang bertaraf industri kecil dan sederhana kepada sebuah syarikat korporat.

Pada masa ini katanya, syarikat tersebut yang mempunyai kira-kira 250 kakitangan berupaya ‘menjenamakan diri’ sebagai sebuah syarikat korporat berjaya dalam industri pengeluaran produk bumiputera bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dalam pasaran luar negara.

Menurutnya, meskipun sentiasa berada di belakang tabir kerana tidak mahu membina jenama berdasarkan populariti diri sendiri, tetapi usaha mereka mengukuhkan jenama dengan pengeluaran produk berkualiti tinggi ternyata menjadi faktor penguat kepada kejayaan empayar perniagaan Sejagat Global.

“Kami mahu jenama syarikat ini lebih popular daripada populariti diri kami sebagai pengasas syarikat. Ini kerana melalui kekuatan jenama, ia akan terus bertahan lama dan bakal diingati masyarakat,” jelasnya.