Malah, agak janggal melihat wanita bergelumang dengan minyak enjin dan kotoran iaitu kerjaya  yang biasanya didominasi lelaki. 

Tetapi, kejanggalan itu sedikitpun tidak mengubah pendirian Nur Amirah Shazana Mazran, 28, untuk meneroka bidang penyenggaraan pesawat. Beliau kini bertugas sebagai Juruteknik Penyenggaraan Kapal Terbang (Avionik) di Sepang Aircraft Engineering (SAE). Kerjaya itu selama ini dimonopoli kaum Adam. 

Situasi itu memberikan  cabaran kepada  Nur Amirah terutama dalam membuktikan bahawa wanita juga mampu mencipta kejayaan dalam bidang tersebut. 

Baginya, tiada rasa kekok ‘bermain’ dengan sepana atau minyak enjin ekoran sudah menjadi kebiasaannya sejak remaja membantu arwah bapanya membaiki kereta. Malah minyak hitam keretanya juga ditukar sendiri tanpa bantuan lelaki.

“Arwah abah  mendidik anak-anak perempuan membuat  sendiri ‘kerja-kerja’ lelaki seperti menukar mentol lampu di rumah dan menyelenggara kenderaan.

“Malah, saya juga belajar  asas sistem elektrikal dengan arwah abah dan lama-kelamaan timbul minat terhadap bidang penyenggaraan. 

“Disebabkan minat saya lebih kepada penyenggaraan dan elektrikal, arwah abah mencadangkan saya memasuki Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) apabila terpandang iklannya di akhbar. Permohonan masuk ke universiti itu juga dibuat oleh arwah abah,” kata Nur Amirah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik. 

Minatnya terhadap bidang aviasi semakin mekar sejak berada di  universiti dan di kampus, beliau mula mengenali struktur kapal terbang.  Hanya dalam tempoh dua tahun mencurahkan khidmat di SAE, graduan Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam Penyelenggaraan Avionik itu berjaya membuktikan bahawa wanita juga berupaya untuk menyerlah dalam bidang aviasi serta mampu bertahan walaupun dihimpit cabaran.

Kemampuan Nur Amirah dapat dilihat apabila menjadi antara wanita yang ditugaskan menyenggara kapal terbang. Buat masa ini, terdapat 10 pekerja wanita terlibat dalam penyenggaraan avionik di SAE. 

Syarikat itu mempunyai 555 kakitangan yang mana 13 peratus adalah wanita. Daripada jumlah itu, 5.6 peratus wanita terlibat di bahagian teknikal sementara 7.4 peratus lagi bukan teknikal.
Bagi Nur Amirah, berada dalam bidang kerjaya yang rata-ratanya lelaki tidak pernah membuatkannya berasa rendah diri atau terasing,  malah  beliau semakin berdaya saing. 

“Setakat ini, saya telah melakukan tugasan di semua bahagian termasuk menukar antena  pesawat. Malah, saya turut  menyenggara semua enjin pesawat  di SAE,” katanya. 

SAE sebagai subsidiari Airbus adalah pembekal perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat yang diiktiraf Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) dan membaik pulih pesawat Airbus.