“Tujuan saya memaklumkan khabar gembira tentang kemenangan ini bukan untuk bangga diri sebaliknya saya mahu beri perangsang dan semangat kepada rakan-rakan ibu tunggal supaya tidak mudah berputus asa dan mengalah dalam membuat tuntutan nafkah di mahkamah syariah, jika kita berada di tempat yang benar. Lambat laun kemenangan akan menyebelahi kita juga.’’ Kata Zalifah ketika dihubungi.

“Sebaik sahaja saya khabarkan keputusan kes saya ini dalam grup WhatsApp KSIT, telefon dan WhatsApp saya dipenuhi dengan panggilan dan pelbagai pertanyaan, ucapan tahniah selain semangat ingin tahu bagaimana cara saya boleh berjaya dalam tuntutan nafkah tertunggak memandangkan ini adalah tuntutan kali kedua yang saya kemukakan ke mahkamah tahun lalu.

“Benar ! Ini kemenangan kali kedua, tahun lepas saya menang kes tuntutan setelah sembilan tahun berjuang naik turun mahkamah. Saya rasa kes sayalah yang begitu lama dalam sejarah. Untuk kes kali kedua, tak sampai setahun mahkamah putuskan kemenangan berpihak kepada saya.

“Bukan senang nak menang. Saya kemukakan pelbagai tuntutan dan menjawab pelbagai dakwaan termasuk pertanyaan daripada peguam bela bekas suami yang cuba menolak tuntutan saya dengan mengemukakan keterangan palsu bertujuan membela anak guamnya.

“Saya jawab semua dakwaan palsu peguam bela bekas suami yang mendakwa bekas suami ada beri duit kepada anak dengan memasukkan ke dalam akaun anak. Bukti pemberian tidak dikemukakan, jadi mahkamah tolak. Peguam bela juga mendakwa anak guamnya sakit, tetapi tidak ada laporan daripada doktor pakar, maka sudah tentu pembelaan ini juga ditolak oleh mahkamah. Peguam bela juga memaklumkan ada hadiah daripada bekas suami untuk anak tetapi tidak disertakan resit pembelian, maka mahkamah juga tolak, kerana bukti tidak jelas.

“Bekas suami gunakan khidmat peguam untuk kemukakan kes dan membela diri tetapi saya tidak gunakan khidmat peguam, saya bela diri sendiri. Kerana saya tidak ada duit untuk bayar khidmat peguan bela.

“Saya bersyukur sejak hadir dalam kelas guaman yang dianjurkan oleh KSIT saya mendapat beberapa idea, keberanian, semangat selain tahu cara-cara mempertahankan diri dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam bela.

“Menjawab soalan ibu- ibu tunggal KSIT tentang resepi kejayaan saya. Paling penting, kita mesti sabar dan patuh setiap perintah yang diputuskan oleh mahkamah selain berdoa kepada Allah SWT bahawa kita ini wanita dan ibu yang dianiaya kerana diceraikan tanpa sebarang nafkah sehingga terpaksa menanggung empat orang anak tanpa sesen nafkah daripada bekas suami.

“Bayangkan betapa susahnya saya. Sembilan tahun lalu terpaksa mengendong bayi yang masih kecil ke mahkamah semata-mata untuk dapatkan nafkah. Pagi pergi ke mahkamah terpaksa naik teksi, bukan kerana banyak duit tetapi untuk mengejar waktu agar tiba di mahkamah tepat pada waktunya. Sedihnya bila balik waktu tengah hari terpaksa berjalan kaki jauh mencari perhentian bas di bawah panas terik matahari. Tetapi itu semua saya lalui dengan azam yang tinggi supaya tuntutan nafkah saya dapat perhatian mahkamah dan bekas suami.

“Walaupun penat turun naik mahkamah tetapi saya tak pernah jemu berusaha. Kalau bekas suami tak datang pun, saya tetap hadir kerana saya terpaksa tanggung empat orang yang kecil dan bersekolah. Saudara-mara cadang saya merayu kepada bekas ibu bapa mentua minta nafkah dari mereka, kerana anak-anak adalah waris mereka juga. Tetapi gagal.

“Alangkah malunya apabila kehadiran kami dihalau oleh bekas suami, sambil beri amaran kami tak boleh jejak kaki lagi ke rumah ibu bapanya minta nafkah. Seolah-olah anak-anak tiada hubungan dengan ayahnya apa lagi dengan datuk nenek mereka selepas perceraian.

“Kedatangan kami anak-beranak seolah-olah macam peminta sedekah. Kami dihalau macam kucing kurap. Waktu itu saya rasa amat sedih apabila bekas mentua langsung tidak nasihatkan anaknya supaya bertanggungjawab dan beri nafkah. Mereka berdiam diri!

“Seolah-olah setelah bercerai ikut pandai sayalah nak hidup atau mati, nak buang anak ke lombong atau nak berikan kepada orang jika tak mampu, bukan urusan mereka. Macamlah anak-anak bukan waris mereka lagi.

“Apapun segala kesedihan yang dialami menjadi azam kepada saya untuk terus membuat tuntutan nafkah di mahkamah syariah. Saya tahu tidak ada siapa yang boleh menolong kecuali Allah dan mahkamah syariah serta usaha saya sendiri.

“Kerana itu apa sahaja keputusan mahkamah saya patuh dan terus datang ke mahkamah walaupun saya tahu bekas suami tidak akan datang. Kalau datang sekali pun dia akan minta tangguh kes dan ubah perintah yang dia sendiri bersetuju dan tetapkan.

“Untuk meneruskan hidup, bukan saya saja berkorban malah anak anak pun sama. Mereka bergilir-gilir jaga adik yang kecil setiap kali balik sekolah atau balik sekolah agama. Sementara saya bekerja mengambil upah bekerja di gerai dan sebagainya. Semua pengorbanan mereka menjadi sejarah hidup hingga dewasa nanti.

“Saya terpaksa bekerja keras mencari rezeki, kerana saya tidak ada kerja dan bergaji tetap. Saya juga diceraikan tanpa tempat tinggal, terpaksa keluar rumah sewa dan mencari rumah sewa lebih murah. Semuanya saya lalui dengan harapan bahawa satu hari nanti saya akan dapat nafkah daripada bekas suami. Bukan untuk saya tetapi anak-anak kerana mereka lebih berhak.

“Malangnya apa yang saya tunggu tahun demi tahun tidak pernah saya dapat walau sesen pun tetapi saya tak pernah patah semangat.

“Untuk meneruskan hidup membesarkan anak-anak saya buat pelbagai jenis pekerjaan. Ambil upah cuci pinggan mangkuk di gerai, kupas bawang, memasak dan pelbagai jenis pekerjaan. Tujuannya untuk saya beli makanan dan hantar anak-anak ke sekolah.

“Niat saya agar anak-anak mendapat pendidikan yang baik. Saya tak mahu mereka hidup susah kerana tiada pelajaran. Dan saya tak mahu anak-anak salahkan saya jika mereka merempit, menagih, mencuri dan sebagainya, semata-mata kerana tidak dapat makan dan pelajaran sepatutnya. Tentang kesalahan ayah mereka yang tidak bertanggungjawab itu, biarlah Allah yang menentukannya.

“Kepada ibu-ibu tunggal yang menghadapi masalah kerana tidak dapat nafkah daripada bekas suami, tolong jangan duduk diam, berusahalah. Jika anda diam tiada seorang pun yang tahu tentang masalah anda dan tiada siapa yang boleh membongkar masalah tuntutan nafkah yang tertangguh bertahun-tahun lamanya. Saya rasa sedih ada ibu-ibu tunggal , baru sekali dua naik mahkamah dan kes tertangguh mereka cepat rasa bosan hingga tidak mahu teruskan kes.

“Kalau kita mahu nafkah anak-anak, jangan mengumpat di luar mahkamah sebaliknya bertindaklah dengan bawa kes ke mahkamah syariah.

“Sebenarnya bukan saya seorang tak dapat nafkah anak-anak tetapi melibatkan beribu-ribu lagi ibu tunggal seluruh negara. Tetapi disebabkan kurang ilmu, kemiskinan, tak faham cara maka mereka terpaksa berhempas pulas mencari nafkah sendiri. Pada saya, ayah yang tidak beri nafkah kepada anak-anaknya memang zalim dan memang patut dihukum,’’ cerita Zalifah kepada saya panjang lebar. Kepada anda yang berminat dengan kelas bantuan guaman KSIT sila telefon 019-2393419.