“Demikianlah dengan kes saya. Perkahwinan pertama saya gagal, tetapi setelah bercerai saya terjumpa kekasih lama, kekasih zaman sekolah. Setelah masing-masing bertambah dewasa, kami tak jadi kahwin, Apabila Isma bertemu wanita yang lebih cantik, mereka berkahwin. Malangnya jodohnya juga tak panjang. Mereka bercerai.’’ Itu permulaan cerita Fizza ketika kami bertemu, baru-baru ini.

“Nak dijadikan cerita dan mungkin ketentuan Allah jua, kami bertemu semula dalam Facebook. Maka mekarlah kembali cinta kami yang dahulu berkecai. Antara duda dan janda. Tak sampai setengah tahun berkenalan, Isma melamar saya dan kami berkahwin.

“Kisah cinta kami memang unik. Semuanya secara kebetulan dan ketika itu masing masing single. Isma duda satu anak, saya ibu tunggal dua anak.

“Walaupun masing- masing sudah lama menduda dan menjanda, tetapi apabila bertemu, semarak cinta kami bernyala semula. Kerana itu saya tak kisah kalau Isma kata lepas kahwin nanti dia tetap bertugas di negeri lain, sementara saya duduklah dengan emak di KL. Saya setuju sebab dia pegawai beruniform. Ada peraturan bukan senang-senang nak pindah.

“Kerana Isma bertugas luar daerah, kami hanya bertemu dua minggu sekali. Beberapa bulan kemudian dia dapat pindah ke KL. Sukanya hati. Tetapi, Isma tak duduk di rumah emak saya, dia duduk di mes. Kami tetap berjumpa dua minggu sekali. Alasannya rumah saya bising, susah dia nak belajar. Kerana dia dapat sambung belajar di universiti tempatan.

“Saya cadangkan Isma minta kuartes kerajaan, tapi katanya susah nak dapat. Kalau tak suka duduk kuarters saya cadangkan dia sewa rumah. Itu pun dia tak mahu membazir katanya. Dia lebih suka saya duduk dengan emak dan dia datang dua minggu sekali.

“Oleh kerana kami sama-sama subur, saya pun hamil. Apabila saya hamil, perangai Isma sedikit demi sedikit berubah, dia jadi perengus, pemarah, pembengis dan amat garang, pantang salah cakap dia segera datang ke rumah maki hamun saya tak kira waktu. Dia maki saya bodoh, bangang, tolol. Kena carut lagi. Saya tak sangka mulut jantan pun suka mencarut. Bila emak tegur, dia jadi lebih marah, emak saya sekali kena maki hamun. Langsung tak ada segan silu atau hormat orang tua.

“Keadaan berlangsung hingga saya lahirkan anak. Dia tetap dengan perangai buruknya, memaki hamun saya. Pantang saya salah cakap, terus kena maki. Lebih menyakitkan kalau saya cuba terangkan keadaan sebenar, saya pula kena penampar dan ditumbuk.

“Salah ke kalau saya cakap bawa saya pindah duduk rumah sewa kalau susah sangat nak dapat kuartes! Kalau berjauhan mungkin masalah tetapi ini dah pindah KL. Dia lebih suka duduk mes daripada duduk dengan anak isteri dan hanya balik ke rumah dua minggu sekali.

“Lagi pelik dia tak mahu lagi bersama saya selepas tahu saya mengandung. Pelbagai alasan dia bagi kononnya mahu saya selesa. Kalau datang ke rumah emak, biasanya waktu petang lepas makan malam dia balik ke mes. Katanya sibuk nak belajar. Mula- mula saya boleh terima juga, tetapi bila dah setahun, apa alasan lagi dia nak bagi.

“Ketika itu dia cari jalan menakut-nakutkan saya. Dia tunjuk panas baran sampai pukul saya. Kalau emak cuba selamatkan saya daripada kena pukul, emak sekali kena pukul. Saya sedih bila tengok emak pun kena pukul. Sebenarnya bukan sekali dua saya kena pukul, dah banyak kali, bila emak cuba selamatkan saya, emak sekali jadi mangsa.

“Bila emak kena pukul, adik bawa emak pergi hospital dan cuba buat repot, tapi saya tak buat kerana sayangkan suami. Akhirnya emak tak repot polis, sebab emak kasihankan saya. Emak kata biarlah dia berkorban.

“Satu perkara lagi saya ajak pindah sebab dia kurang beri nafkah sebaliknya emak banyak keluar duit untuk makan minum kami anak beranak. Isma kalau balik nak makan sedap-sedap . Dia fikir duit yang dia beri itu banyak sangat. Satu lagi yang menghairankan, saya tak pernah dapat duit elaun seperti isteri-isteri pegawai tentera yang lain. Semua tunggu duit daripada poket Isma. Cukup tak cukup dia tak peduli.

“Kalau bulan puasa corak hidup Isma berbeza dan belanja pasar kami lebih besar. Kalau Isma berbuka puasa di rumah, syaratnya saya mesti sediakan lauk kegemarannya. Memanglah sedap tapi masalahnya duit tak mahu bagi. Emaklah kena tanggung makan menantu yang tak sedar diri ini.

“Lepas saja berbuka tanpa solat apa lagi solat tarawih dia akan balik semula ke mes. Begitulah cara hidupnya hingga habis Ramadan. Lepas itu hidup dia kembali normal dia balik ke rumah dua minggu sekali. Saya tak boleh tanya perkara yang dia tak suka dengar, kalau degil, pasti kena maki hamun. Yang saya tak tahan dia suka mencarut macam mulut S# %^*@.

“ Isma setiap kali maki hamun saya, dia akan keluarkan perkataan hendak ceraikan saya, katanya “kau nak aku lafazkan? Cakap?” Nak jadikan cerita satu hari terjadi pertengkaran, bila saya diam dia lebih meroyan, memaki hamun saya. Bila emak saya tegur emak pun kena marah, dia tolak emak saya. Kerana emak hampir jatuh saya lawan dan tolak Isma, kerana terlalu marah dia terus ugut nak ceraikan saya.

“Dua minggu kemudian saya dapat surat panggilan ke mahkamah syariah kerana Isma mahu ceraikan saya dan saya terima dengan reda. Bila saya kenang kembali ada baiknya kami bercerai, sebab perangai Isma amat berbeza. Ada isteri tapi tak suka duduk dengan isteri, lebih senang duduk bujang .

“Puas saya fikirkan siapa sebenarnya Isma ini. Dia tak suka bersama dengan saya, sedangkan kami baru dua tahun kahwin. Lagi satu perangai peliknya dia tak suka bermalam di rumah saya. Datang petang, lepas makan malam dah nak balik. Alasannya nak belajar. Orang lain belajar juga tapi tak macam Isma. Pelikkan!!

“Sebenarnya sudah lama saya merasakan kelainan Isma dalam hubungan kami suami isteri. Bolehkah seorang suami tahan nafsunya tak mahu bersama isteri lebih daripada setahun? Atas alasan belajar. Kehairanan saya akhirnya terjawab, apabila adik saya tanya kenapa kereta Isma setiap malam ada di Tasik P? Kata adik itu kawasan gay boy. Kata adik dah lama dia nak cakap, tetapi kami masih suami isteri jadi dia tak mahu saya bergaduh pasal Tasik P.

“Berdebar jantung saya. Perasaan ingin tahu, menggoncang dada. Akhirnya satu malam saya beranikan diri ajak kawan ronda kawasan tersebut. Jelas terbukti, memang kereta Isma ada di situ. Lebih sejam saya perhatikan dan Isma ada dalam kereta tersebut, saya tunggu kerana saya nak pastikan adakah dia bersama perempuan. Tetapi tidak! Dia bersama lelaki? Baru saya ingat patutlah dia tak mahu bermalam di rumah saya, sebab dia bermalam di Tasik P. Tetapi kenapa dengan lelaki?

“Ya Allah betullah kata adik saya, situ kawasan gay boy. Terdetik di hati saya adakah Isma seorang biseksual? Kalau saya tanya Isma pasti saya kena penampar. Untuk jadikan bukti saya ambil gambar, zaman sekarang telefon memang canggih. Saya mula sedar Isma ini bukan lelaki normal, sebab itu dia tak suka bersama saya. Saya hamil hanya untuk kelabukan mata masyarakat bahawa dia normal, sedangkan sebenarnya tidak!

“Setelah bercerai saya jalankan siasatan, akhirnya saya dapat tahu punca dia bercerai dengan isteri pertamanya kerana masalah yang sama. Konon cerita enam tahun dia tidak bersama isterinya. Kerana itu dia lebih suka duduk berjauhan dengan isterinya. Lebih tepat dia suka isterinya duduk dengan emaknya, bukan dengan dia. Macam kes saya.

Itu cerita Fizza tentang hidupnya bersuamikan seorang lelaki yang tidak normal.

“Lagi pelik dia tak mahu lagi bersama saya selepas tahu saya mengandung. Pelbagai alasan dia bagi kononnya mahu saya selesa. Kalau datang ke rumah emak, biasanya waktu petang lepas makan malam dia balik ke mess.