“Saya bercakap daripada pengalaman sendiri.’’ Itu cerita Nurulshuhada dalam satu perjumpaan, baru-baru ini.

“Sebenarnya dari awal lagi salah saya. Percaya sangat kepada orang yang ambil berat terhadap keselamatan saya. Entah mengapa hati ini cepat terpaut, mungkin kerana dia baik, selalu bertanya khabar dan ringan tulang, Faris namanya.

“Kami bertemu ketika sama-sama belajar. Saya senior jadi kalau ada masalah dalam pembelajaran dia minta bantuan saya. Dia pula bantu saya dalam masalah lain. Pendek kata kami saling bantu-membantu. Ingatkan biasa-biasa saja, akhirnya jadi kawan baik dan dia terus melamar saya. Faris kata, umur bukan ukuran dan jika saling memahami, semuanya dapat diatasi. Disebabkan percayakan kata-katanya saya terima lamaran Faris.

“Selepas itu saya berjaya mendapat ijazah dan kemudian bekerja. Faris pula masih lagi belajar. Namun dia tak lulus-lulus walaupun sudah beberapa kali ambil peperiksaan. Akhirnya dia ambil keputusan cari kerja. Bila dapat kerja sudah tentu kedudukan kami dari segi jawatan, kewangan dan ekonomi jauh berbeza. Saya lebih tinggi daripada dia, tetapi dia baik saya tetap terimanya sebagai suami.

“Masa berlalu begitu pantas, lepas setahun berkahwin kami dikurniakan anak pertama, diikuti dua orang kemudian. Daripada pemerhatian saya, kasih sayang yang ditunjukkan oleh Faris tetap macam biasa. Malah setelah dapat dua orang anak, kasihnya berlebih-lebih, hinggakan saya pun hairan kerana sayangnya kepada saya juga keterlaluan.

“Lepas mendapat anak ketiga, saya lihat Faris berubah sedikit, dia sering beri alasan penat bila balik kerja. Kadang- kala pernah balik lewat malam. Alasannya kena habiskan kerja. Saya faham pekerja swasta memang selalu banyak kerja.

“Nak dijadikan cerita satu hari telefon berbunyi, Faris berlari kejar telefon, tetapi saya capai dulu, saya terbaca, sayang malam ni datang awal ye? Tetapi saya tengok namanya lelaki. Takkan lelaki sama lelaki cakap sayang. Lain macam bunyinya. Saya terus tanya Faris, siapa perempuan ini?

“Tiba-tiba Faris tengking marahkan saya kerana baca WhatsApp dia. Saya lagi marah, sebab belum dapat jawapan. Katanya kawan biasa, kalau kawan biasa takkan panggil sayang?

“Tak puas hati dengan jawapannya, saya ugut akan telefon perempuan itu jika Faris tak beritahu siapa dia dan apa hubungan mereka. Mungkin kerana marah, Faris terus mengaku itu teman wanitanya, dia akan nikah wanita tersebut.

“Terkejut saya. Dengan tak malu dan hilang pertimbangan, saya menjerit, abang apa abang cakap ni, abang nak kahwin lagi? “Abang sedar tak segala perbelanjaan dalam rumah ini saya yang tanggung, kerana gaji abang kecik, sekarang abang nak kahwin lagi?

“Waktu itu saya dah tak peduli kalau suara saya didengar jiran tetangga, sebab pengakuan Faris buat saya hilang pertimbangan. Dengan deraian air mata dan suara yang tenggelam timbul saya terus tanya Faris apakah dia sudah nikah.

“Faris terdiam, dia tersilap. mungkin dia tak terfikir malam itu dia boleh buat pengakuan sebab selama ini dia berjaya sembunyikan segala aktivitinya. Baru saya sedar, patutlah dia selalu balik lambat, sering kekurangan duit. Rupanya sedang bercinta.

“Tak tahan dengan soalan demi soalan yang saya tanya, Faris keluar rumah. Malam itu dia tak balik. Lagi saya sakit hati. Semalaman saya tak tidur. Esoknya saya tak kerja. Lepas hantar anak ke rumah pengasuh, saya pergi ke rumah mentua. Saya ceritakan apa yang terjadi. Emak Faris suruh saya bersabar. Alasannya berita itu belum pasti.

“Saya berusaha jejak aktiviti Faris dan kebetulan pula sepupu saya kawan sekolah Faris. Mereka selalu buat reunion. Sering ada aktiviti. Melalui reunion dan grup FB inilah mereka kenal Jue.

“Selidik punya selidik rupanya Faris dah lama berkawan dengan Jue, mereka merancang nak kahwin, tetapi sangkut bila saya mengandung. Ketika saya bersalin hubungan mereka makin erat. Mereka cuba nak nikah tapi gagal sebab Jue belum bercerai dan dia ada tiga orang anak yang dipelihara oleh kakak Jue. Sebab Jue tak mahu jaga anak.

“Dengan pertolongan seorang rakan, saya dapat cari suami Jue. Rupa-rupanya dia juga nak cari saya.

“Katanya, Jue masih isterinya, belum bercerai. Namun dia hairan mengapa Faris nak nikah jugak. Sampai lari ke Siam. Lagi saya terkejut. Kata suami Jue, dia boleh ceraikan Jue bila-bila masa, sebab tak tahan dengan perangai buruk Jue. Bila dia pergi kerja, Jue akan keluar rumah berjalan sesuka hati, anak-anak ditinggalkan. Katanya Jue wanita licik dan sukar di kawal, pelajaran tak ada, tetapi suka melaram dan suka telefon lelaki. Hingga terkeluar daripada mulutnya, dia tak pasti sama ada anak sulung mereka anak dia sendiri atau anak lelaki lain.

“Saya tambah terkejut, bila lelaki ini beritahu Jue sedang mengandung mungkin dua mungkin tiga bulan. Katanya dia pasti itu anak Faris, sebab sejak Jue buat perangai bencikannya mereka sudah lama tidak ada hubungan suami isteri. Jadi dia pasti anak dalam kandungan Jue bukan anaknya, tetapi Faris. Katanya lagi sejak beberapa bulan dahulu, Jue membencinya dan minta cerai.

“Dia juga mengaku akan ceraikan Jue sebab tak sanggup ada isteri liar dan sukar dikawal. Mak bapak Jue sendiri tak boleh kawal Jue.

“Setelah dapat semua cerita tentang perangai buruk Faris, maka saya yakin Faris tidak akan mampu tanggung kami anak beranak lagi. Sebab selama ini pun saya yang tanggung makan minum keluarga. Kerana pendapatan Faris rendah.

“Faris hanya bayar ansuran motosikalnya bayar utiliti dan makan minumnya semasa di tempat kerja. Yang lain semua atas saya. Saya tak mengeluh kerana itu pilihan saya kerana terima lamaran Faris, sedangkan saya tahu kemampuannya,. Saya juga sedar saya telah buat kesilapan besar.

“Walaupun Faris tak mampu beli rumah, saya tetap beli dan letakkan namanya bersama, tanda sayang saya padanya. Beli kereta dia sama-sama gunakan. Saya biayai semua perbelanjaan keluarga. Semuanya kerana dia baik. Tetapi selepas tembelangnya terbongkar saya terus minta cerai, sebab saya tahu dia tak mampu tanggung dua isteri. Tambahan isteri baharunya tak bekerja. Dan dia ada tiga orang anak tiri yang terpaksa bagi makan. Di samping seorang anak yang baru lahir.

“Saya hairan macam mana Faris boleh tergoda dengan isteri orang, dan macam mana pulak isteri orang boleh ketepikan suami sendiri, sebaliknya kejar suami orang lain. Saya tak mahu ambil tahu macam mana mereka boleh nikah sebab ketika diceraikan Jue sudah mengandung tiga bulan, lepas edah tiga bulan lagi baru dia boleh nikah. Maknanya ketika mereka nikah Jue sudah mengandung enam atau tujuh bulan, apa status bayi tersebut. Siapa anak itu dibintikan? Tapi saya tak peduli, itu masalah mereka dengan Allah.

“Saya undur diri minta cerai bukan bermakna saya kalah, tetapi tak mahu terpalit dengan hutang yang Faris bakal buat yang bakal bebankan saya. Dan saya tak mahu terikat dan disusahkan lagi. Cukuplah kesusahan yang saya tanggung selama ini. Saya akan naik mahkamah untuk tuntut nafkah anak-anak, kalau dia tak mampu, keluarganya boleh tolong sebab mereka ada harta walaupun bukan orang kaya.

“Akhir kalam sungguh saya tak sangka orang yang saya percaya konon sayangkan keluarga rupanya bersandiwara.

“Jadi, saya ingin nasihatkan kaum wanita, khususnya yang baru berkahwin, janganlah percaya dengan ucapan sayang, tapi berhati hati dengan sandiwara yang bakal ditayangkan,’’ itu nasihat Nurulshuhada supaya tidak tertipu dan akhirnya merana.