“Kini setelah berkahwin dan ada anak, saya lihat inilah perangai suami saya Kaz. Saya percaya jika tidak ditegah mulai sekarang, saya yakin perangainya akan jadi lebih teruk daripada ayah. Sebab dulu hanya ada judi nombor ekor atau empat digit sahaja tetapi kini terlalu banyak jenis judi lebih-lebih lagi dengan adanya kemajuan teknologi internet sekarang.

“Saya perhatikan Kaz banyak menyembunyikan aktivitinya supaya saya tak tahu. Saya pernah nasihatkan Kaz secara menyindir supaya dia sedar yang aktivitinya memang saya tahu tetapi dia nafikan. Dia sering berdolak-dalik. Katanya dia tak berduit kerana emaknya sering minta bantuan baiki rumah, adik perlukan duit dan macam macam lagi. Tetapi saya tahu itu alasannya.

“Saya sudah buat keputusan yang saya tidak boleh terima orang yang bercakap bohong dan kaki judi sebab saya tak mahu nasib dan masa depan saya seperti emak. Namun emak terlalu penyabar dengan perangai ayah yang kaki judi, hinggakan saya lihat emak jadi macam orang bengong.

“Emas sering tak berduit. Maka emak terpaksa pinjam dengan Acik Edah. Satu hari Acik Edah cadangkan emak buat bihun goreng bungkus untuk dijual di tempat kerjanya. Tak ada modal, Acik Edah bantuan.

“Memang laku, lepas tu emak tambah jualan buat nasi lemak bungkus, laku juga. Betul kata Acik Edah kilang tempat dia bekerja kawasan baharu, belum ada orang berniaga. Jadi bila ada jualan macam tu, tentulah laku. Akhirnya Acik Edah cadangkan emak buka gerai masak dan berniaga di situ, sebab itu kawasan baharu senang tak banyak `gangguan’. Tak ada lesen pun tak apa, sebab pihak berkuasa tak pernah datang buat rondaan.

“Makan bulan juga nak buat gerai. Duit ada, tetapi emak tak tahu siapa nak mintak tolong buatkan gerai. Suruh ayah, dia diam aja. Akhirnya emak beritahu Acik Edah masalah utama emak ayah tak mahu membantu. Dalam diam-diam Acik Edah carikan tukang buat gerai sementara, taklah cantik, tetapi ada tempat untuk berniaga dan atap untuk berteduh dari panas dan hujan. Emak suka sangat, sebab emak banyak masa di gerai.

“Kerana keikhlasan Acik Edah dan usaha serta kerja keras emak, bisnes emak menjadi. Kami pun banyak masa ke gerai selain membantu emak berniaga. Kami rajin membantu, sebab dapat ubah belanja ke sekolah selain dapat makan. Itu yang penting. Perut kenyang.

“Sejak emak berniaga kami tak lapar lagi. Kalau dulu kami serang makan bubur dengan telur dadar, tapi sekarang kami dah kenal dan dapat makan ayam masak merah, daging masak lemak dengan ubi kentang, kari ikan duri, masak tauchu ikan tenggiri, ikan kembung goreng berlada dan macam macam jenis sayur yang dulu kami tak pernah tahu wujudnya makanan tersebut. Pada kami ini semua mungkin makanan orang kaya-kaya saja.

“Sebenarnya Acik Edah suruh emak buka gerai sebab dia kesian emak kena hantar bihun goreng dan nasi lemak naik teksi. Mana untungnya kalau naik teksi, walaupun balik emak naik bas tetapi masa emak banyak terbuang tengah jalan. Belum masuk bab nak pergi pasar dan kedai untuk beli barang jualan. Sehari suntuk emak ke hulu ke hilir. Mana masa hendak rehat.

“Kata Acik Edah kalau ada gerai emak boleh masak situ, air bayar pada kilang berhampiran dan barang masakan boleh dihantar terus pada emak di gerai. Saya tak tahulah macam mana punya otak Acik Edah ini boleh bantu dan nasihatkan emak supaya berniaga dan bagi macam-macam jalan untuk besarkan perniagaannya. Kata emak hanya Allah sahaja yang balas budi baik Acik Edah, sebab ayah pun tak pandai dan tak tau nasihat macam Acik Edah.

“Sebenarnya sejak emak berniaga jual bihun goreng dan nasi lemak, tanggungjawab ayah sediakan makan minum kami adik-beradik jatuh ke bahu emak. Ayah lepas tangan. Mula dulu ayah marah emak berniaga, katanya emak sengaja nak malukan dia kerana berniaga. Kalau isteri orang lain duduk rumah jaga anak, mengapa emak mesti berniaga konon nak cari duit, macamlah ayah tak boleh bagi kami makan lagi! Memang pun!

“Walaupun ayah bersungut dan marah, emak degil dan terus berniaga. Kata ayah, emak suka dengar cakap orang luar daripada suami sendiri. Emak tak jawab, kena marah pun emak diam. Sebulan dua saja ayah marah, lepas itu dia tak peduli, malah dia lebih suka sebab kata emak semua urusan makan minum dalam rumah ayah tak bantu lagi.

“Kami empat beradik suka emak berniaga, sebab tak perlu bergaduh pasal kasut kecil, baju koyak dan jalan kaki ke sekolah sebab semua emak uruskan. Ini yang buat kami gembira. Kalau boleh emak mesti berniaga hari-hari, tetapi hari Ahad emak tak berniaga sebab kilang cuti.

“Kami ikut emak ke gerai dari pagi sebelum ke sekolah sebab bila tolong emak mesti dapat upah duit belanja sekolah.

“Tetapi satu benda menyakitkan hati kami, ayah mula pinjam duit emak. Dah tak marah lagi emak berniaga, kadang-kala ayah tunjuk rajin cuci pinggan, kami lihat pelik jugak. Tetapi lama kelamaan ayah tak mintak lagi, ayah pakai ambil saja duit emak dalam laci.

“Saya pernah nampak beberapa kali ayah `sakau’ duit emak. Emak cuma kata, “jangan ambil semua! Saya nak bayar duit Cina pasar nanti!’’ Tapi ayah tak peduli dia ambil dan terus jalan. Walaupun berniaga kecil-kecilan tapi emaklah yang bayarkan duit ansuran motor yang ayah pakai. Janjinya nak tolong emak ke pasar, tapi sehari dua saja dia tolong, lepas tu hilang.

“Masa kami kecil-kecil dulu saya masih ingat tiba-tiba ayah nak belanja kami makan nasi beriani. Dua hari kami bercerita adik- beradik, macam mana rupa nasi beriani. Menunggu nasi beriani, macam tunggu Hari Raya. Ayah ajak kami makan di kedai, tetapi emak kata tak selesa. Kata emak makan di rumah saja sebab kami gelojoh makan.

“Malam tu ayah tepati janjinya, ayah bawa balik lima bungkus nasi beriani ayam. Berselera kami makan, sebab itulah pertama kali kami dapat makan nasi beriani. Baru tahu ada nasi nama beriani. Tapi emak tak mahu makan kata emak dia dah kenyang. Ayah mengamuk. “Nasi ni tak haram tau! Halal! Siapa kata duit ekor haram? Apasal kau tak mahu makan?’’ “Kau ingat nasi jualan kau tu halal sangat ke?’’ ayah mengamuk menengking marahkan emak. Tetapi kami kenyang! Kami berebut makan nasi yang emak tak mahu makan.

“Perniagaan emak memang bagus tetapi ayah ambil duit emak. Kalaulah emak tak pandai sorokkan duit sikit-sikit, pasti emak tak dapat beli rumah yang kami duduk sekarang. Emak beli rumah murah ini pinjam nama Mak Su adik emak yang baru bekerja.

“Beli rumah pun nasihat Acik Edah, katanya mula-mula beli rumah kecik dulu. Besok bila ada duit boleh besarkan. Emak percaya, tetapi emak tak boleh mohon rumah murah, sebab tak ada penyata gaji kecuali kalau ayah mohon. Masalahnya ayah tak mahu beli rumah katanya bila pencen besok dia nak balik kampung.

“Keengganan ayah buat emak mati akal. Kalau duduk kampung tak boleh berniaga, nak tunggu duit ayah memang payah. Dan hati emak memang dah terpikat berniaga. Sebab duit sentiasa ada dalam tangan, tak payah mintak duit ayah lagi. Tapi Acik Edah suruh guna nama Mak Su, dan berjaya. Bila pencen ayah tak balik kampung pun, duduk rumah murah ni.

“Malah kalau emak malas nak berniaga ayah yang angin. Katanya mana nak dapat duit kalau tak berniaga. Keadaan sekarang sudah terbalik. Ayah pulak gila berniaga sebab nak sakau duit emak. Itulah kerjanya, ayah masih tak berubah. Ini yang buat saya tambah takut.

“Jadi melihat kepada masalah emak, saya insaf dengan nasib saya sekarang. Nasihat dan ingatan sudah diberi pada suami saya Kaz, jika dia terus berjudi saya akan minta cerai. Sebab perangai berjudi ini sampai tua takkan berubah. Macam ayah. Saya tak mahu jadi macam emak, diperbodohkan sampai tua.