Namun, itu tidak cukup baginya. Dia ingin membantu penduduk kampungnya. Justeru, selain menjual kuih bangkit, dia turut memberi peluang kepada pengusaha kuih dan biskut memasarkan produk mereka di ruang jualan di hadapan rumahnya di Kampung Bagan Laut, Rengit, kira-kira 35 kilometer dari Batu Pahat,Johor.

Namun, dia tidak dapat menerima produk dalam jumlah yang besar memandangkan ruang yang agak sempit dan kurang selesa. Kawasan meletak kenderaan juga terhad, lantaran menyukarkan terutama untuk mengambil stok kuih dalam jumlah yang banyak.

Sehubungan itu, Siti Raya bercadang membuka pusat jualan yang lebih luas di lokasi baharu untuk dijadikan tempat pemasaran produknya serta pelbagai jenis kuih dan biskut.

Menurutnya, Jabatan Pertanian bersetuju membantunya, tetapi dia perlu mencari tapak lain.

“Saya ada dapat sebidang tanah berdekatan pekan Rengit dan akan berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk langkah seterusnya. Bangunan yang dibina itu nanti bukan sahaja menjadi tempat pemasaran kuih bangkit, malah pelbagai kuih dan biskut keluaran pengusaha lain dari sekitar Rengit, Batu Pahat mahupun Johor Bahru.

“Impian saya adalah supaya kuih-muih dan biskut yang biasanya dijual untuk menyambut Aidilfitri boleh diperoleh pada bila-bila masa sepanjang tahun. Jadi, pendapatan pengusaha kuih dan biskut tidak terhad pada musim perayaan sahaja,” katanya.

BANGKIT CHEESE PALING LARIS

Mengimbau permulaan perniagaannya, bangkit santan menjadi titik tolak pembuka pintu rezeki kepada Siti Raya sejak mula mengusahakan kuih raya di rumahnya.

Bagi meningkatkan jualan, Siti Raya mempelbagaikan kuih bangkit dengan menambah beberapa perisa seperti bangkit gula melaka, bangkit pandan dan kacang hijau sekali gus memenuhi pelbagai selera pelanggan setianya.

Paling mendapat permintaan adalah bangkit cheese yang diperisakan dengan keju yang diperkenalkan lapan tahun lalu sekali gus melonjakkan jualan kuih bangkitnya setiap tahun.

“Ratusan ribu balang kuih bangkit dijual di seluruh negara sempena Aidilfitri lalu,” katanya.

Kejayaan Siti Raya mengembangkan produk desa itu telah merancakkan ekonomi penduduk setempat apabila semakin ramai wanita di kampung itu kini mengusahakan kuih bangkit dan biskut lain.

BANTU PENGUSAHA

Tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak, Siti Raya mengusahakan perniagaan dengan modal dan kudratnya sendiri. Jika dahulu dia melakukan semua kerja-kerja daripada proses awal hingga membakar dan memasarkan kuih bangkitnya, kini dia mampu menggaji pekerja bagi membantu menyiapkan tempahan daripada lebih 500 ejen di seluruh negara.

Seawal Januari, bengkel yang terletak di hadapan rumahnya mula beroperasi bagi menyiapkan tempahan.

“Pada tahun ini saya mengambil kira-kira 20 pekerja yang terdiri daripada belia di sekitar Rengit dan saudara-mara yang tinggal berdekatan. Kami mulakan operasi membuat kuih sejak Januari dan akan berhenti rehat pada minggu terakhir Ramadan sebelum beroperasi semula dua minggu selepas Aidilfitri,” katanya.

Apabila tempahan kuih bangkit terlalu banyak, dia akan meminta bantuan pengusaha lain di kampungnya untuk menampung keperluan stok.

“Dengan cara ini saya dapat membantu memasarkan produk penduduk kampung sekali gus meningkatkan jualan dan pendapatan mereka.

“Saya perlu minta bantuan mereka sebab selalu tak cukup tangan untuk siapkan tempahan. “Selain bangkit cheese yang mendapat banyak permintaan, bangkit santan dan gula melaka juga sangat laris,” tambahnya.

Kuih bangkit gebu, rangup

Berkongsi kisah menjual kuih bangkit, Siti Raya berkata, kesempitan hidup membesarkan enam anak membuatkan dia nekad menghasilkan kuih raya bagi menampung keperluan keluarga.

Ia juga bagi meringankan tanggungjawab suaminya, Md. Saleh Lidek, 67, yang ketika itu bekerja kampung.

Menurut Siti Raya, resipi kuih itu diperolehi daripada seorang jirannya. Dia kemudian mencuba dan mengolahnya beberapa kali sehingga mendapat kualiti kuih bangkit yang diinginkan terutama dari segi rasa dan tekstur.

“Saya mahu kuih bangkit yang gebu, rangup, rasa santan yang cukup dan apabila makan, cair dalam mulut. Saya sentiasa menjaga kualitinya terutama santan yang digunakan mestilah kelapa kampung untuk mendapatkan kuih yang sedap.

“Alhamdulillah kuih bangkit yang dihasilkan diterima dan disukai ramai, malah ramai pelanggan setia menempah setiap kali hari raya,” katanya.

Pada tahun pertama dia menghasilkan 100 balang yang dijual kepada jiran-jiran dan kenalan di sekitar Rengit. Setiap tahun berikutnya, jumlah itu bertambah sehingga mencapai ribuan balang kerana mendapat tempahan daripada pembekal kuih dan biskut raya.

Tempahan semakin bertambah sejak dia memperkenalkan bangkit cheese yang semakin tinggi permintaannya bukan sahaja di Semenanjung, malah di Sabah dan Sarawak.

“Bangkit cheese telah melonjakkan jualan terutama pada musim hari raya. Mungkin sesuai dengan selera semasa di mana banyak resipi makanan menggunakan keju.

“Saya tak buat promosi dalam media sosial sebab tak berapa mahir. Biasanya, pelanggan yang buat promosi. “Apabila sudah merasa kuih bangkit kami, mereka terus menjadi ejen untuk memasarkannya,” kata Siti Raya yang kini dibantu anak perempuanya, Umi Kalsom bagi melancarkan operasi jualan. Kuih bangkitnya dijual sepanjang tahun dan tidak hanya pada musim perayaan.

Sementara itu pengusaha kuih makmur, Shazana Rahmat, 33, memuji usaha Siti Raya yang membantu memasarkan kuih dan biskut daripada pengusaha lain termasuk kuih makmur yang dihasilkannya.

“Dahulu nenek saya ambil tempahan untuk hari raya sahaja, tetapi sejak empat tahun lalu saya buat tanpa menunggu musim dengan menghantarnya ke kedai Mak Iti (panggilan untuk Siti Raya).

“Mak Iti banyak tolong saya dan pada masa sama saya bantu promosikan kuih bangkit Mak Iti,” katanya di Taman Bukit Perdana, Batu Pahat.

Shazana mula belajar membuat kuih makmur daripada neneknya sejak berusia 16 tahun dan masih mengekalkan cara tradisi pembuatan kuih itu.

“Semuanya dibuat secara manual tanpa menggunakan acuan. Inti kacang tidak boleh terlalu hancur untuk mengekalkan kualitinya,” katanya yang berharap kuih makmurnya akan setanding dengan kejayaan kuih bangkit Siti Raya. – BERNAMA