Kenyataan itu dibuktikan oleh seorang warga emas di Felda Kota Gelanggi 2, Aminah Omar, 62, yang sudah sembilan tahun menguruskan kebajikan anaknya, Rodiah Bibi Mohd. Ali, 31, yang terlantar akibat kemalangan jalan raya pada 21 Mei 2010.

Ketika kemalangan, Rodiah merupakan seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan dan sedang menjalani praktikum bidang Diploma Sains Kesetiausahaan. Akibat kemalangan itu dia mengalami kerosakan teruk bahagian 
saraf tunjang tulang belakang (spinal cord), patah kedua-dua tulang paha dan kecederaan bahagian kepala serta saraf menyebabkan menerima rawatan selama sebulan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh.

Gadis itu yang ketika kejadian berusia 22 tahun dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika turun dari bas dan melintas jalan berdekatan Felda Hulu Jempol, Maran untuk ke rumah rakannya selepas menjalani latihan sambil bekerja di Bandar Pusat Jengka.

“Ketika terlantar di wad, air mata saya berjurai mengenang nasib malang anak bongsu ini diduga oleh Allah dengan menyabung nyawa ketika berdepan dengan koma serta keadaan fizikalnya amat teruk akibat kemalangan.

“Beberapa hari saya menangis sehingga tiada lagi air mata. Akhirnya saya sedar bahawa tangisan tidak boleh menyembuhkan derita anak saya melainkan hanya berdoa kepada Allah, bertawakal dan sabar menempuh dugaan ini,” kata Aminah kepada S2 di Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Menurut Aminah, sekiranya dia meratap dan menangis dengan air mata darah sekali pun, anaknya tidak boleh kembali normal. Justeru, dia reda dengan kejadian itu di samping amat yakin pakar perubatan di Hosas mampu memulihkan Rodiah.

“Selepas dua minggu dirawat di Hosas barulah anak saya sedar. Namun, Rodiah tidak dapat bercakap akibat kecederaan teruk pada kepala manakala rawatan pemulihan tulang belakang dan paha pula perlu diteruskan,” katanya.

Ibu yang mempunyai empat orang anak berusia antara 31 hingga 42 tahun hasil perkahwinan dengan Mohd. Ali Maidin, 72, berkata, selepas anaknya menjalani pembedahan kali kedua iaitu di bahagian leher (pita suara), baharulah dia mampu mengeluarkan suara, tetapi masih tidak boleh bercakap sehingga hari ini.

Katanya, rawatan pemulihan tulang belakang dan paha yang dilakukan oleh doktor di Hosas berakhir selepas tempoh dua bulan, namun Rodiah masih tidak dapat bergerak dan bangun, hanya terlantar di atas katil.

“Dia hanya meraung ketika lapar dan rutin harian saya menyuapkan bubur nasi dan memberinya minum susu ketika waktu makan. Selain itu saya juga perlu mengangkatnya ke bilik air untuk mandi dan membersihkan najis,” katanya. Menurutnya, doktor memaklumkan bahawa anaknya mampu dipulihkan selepas enam tahun kerana kecederaannya amat teruk terutama berkaitan dengan bahagian saraf otak dan anggota badan.

Namun katanya, sehingga kini Rodiah hanya terlantar di katil dan hanya mampu menggerakkan bahagian kaki serta tangannya sahaja.

Kejatuhan harga sawit tambah derita

Aminah terus bertawakal dan tidak berhenti menitip doa setiap kali selesai solat supaya penderitaan anak kesayangan, Rodiah Bibi menjadi ringan. Seboleh-bolehnya ibu tua ini mahu anaknya mampu bangun, berjalan dan bercakap seperti insan normal lain.

Sambil menunjukkan raut wajah ceria dan tabah, wanita itu dan suaminya amat berterima kasih dengan pegawai perubatan di Hosas dan Hospital Jengka kerana masih memantau keadaan kesihatan anaknya di samping menasihatkannya supaya kerap menghubungi pihak hospital sekiranya memerlukan rawatan kecemasan.

Katanya, mereka juga berdepan dengan masalah kewangan untuk menguruskan keperluan harian Rodiah khususnya perbelanjaan lampin pakai buang, makanan, susu, rawatan susulan ke hospital dan kebajikan.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberikan bantuan bulanan sebanyak RM350. Dapatlah mengurangkan sedikit beban perbelanjaannya walaupun masih tidak mencukupi,” katanya.

Aminah berkata, sejak harga sawit jatuh, kehidupan mereka sebagai peneroka Felda amat perit untuk memperoleh wang apatah lagi menampung kos penjagaan serta perubatan Rodiah di samping terdesak untuk berbelanja bagi keperluan dapur.

Mohd. Ali pula mengakui kehidupan keluarga itu amat susah sejak anaknya terlantar sakit ditambah pula kejatuhan harga sawit menyebabkan pendapatan bulanan mereka di bawah RM500 sebulan yang tidak mencukupi untuk berbelanja bagi mencukupkan keperluan.

“Dalam keadaan usia sudah tua, saya memaksa kudrat ini membuat pelbagai kerja sampingan iaitu menjual tin minuman, membantu kedai koperasi Felda dan sebarang tugas yang ringan semata-mata untuk memperoleh wang,” katanya.

Orang ramai dan dermawan yang mahu meringankan penderitaan keluarga ini boleh menyumbang terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Aminah Omar (ibu), nombor akaun 0640029000285123 atau menghubungi Mohd. Ali Maidin (bapa) di talian 013-2429291 untuk maklumat lanjut.