Rumah yang tidak mempunyai dinding di bahagian belakang dan bumbung bocor menjadi tempat Mohd. Ridwan Mohd. Razali, 51, untuk merebahkan badan setelah seharian bekerja mencari barang kitar semula.

Mohd. Ridwan dikesan mempunyai masalah mental dan memerlukan ubat  bagi memastikan dia tidak mudah mengamuk. 

Dalam meneruskan perjalanan hidupnya sendirian, banyak lagi onak dan duri yang perlu ditempuhinya sebagai seorang insan daif.

Meskipun tidak tahu nasib yang akan menimpanya pada masa hadapan, itu bukan alasan untuknya terus lemah dalam menjalani kehidupan seharian. Sebaliknya, Mohd. Ridwan tekad dan bersemangat menjalani hari-hari  mendatang dengan penuh gembira tanpa mahu  menoleh ke belakang.

Insan yang tidak mempunyai fikiran sempurna sepertinya sering menjadi cemuhan dan cacian masyarakat sekeliling ditambah pula tiada yang peduli akan dirinya yang tinggal di rumah usang tersebut.

Mujurlah, dia masih ada  adik-beradik terutama  kakak yang menjenguknya setiap minggu bagi memastikan dia sihat dan makan mengikut waktu.

Menurut kakaknya, Ruzainah, 52, sebelum ini adiknya yang mempunyai masalah mental dijaga oleh arwah ibunya. 

“Sejak ibu meninggal dunia, sayalah yang menjaganya walaupun tidak tinggal serumah,” katanya kepada S2. Dia ditemui ketika  lawatan amal anjuran Pertubuhan Ekonomi dan Kebajikan Wanita (Peka) di rumah yang didiami Mohd. Ridwan di Ampang. 

Menurut Ruzainah, dia kerap melawat bagi memastikan adiknya makan ubat yang dibekalkan doktor.

“Adik akan mengamuk sekiranya terlupa makan  ubat,” tambahnya.

Mengakui kehidupannya sekeluarga sekadar cukup makan, Ruzainah berkata,  dia terpaksa meminta adiknya membantu suaminya berniaga roti canai.

“Walaupun mengalami masalah mental, namun adik masih mampu bekerja. Jadi,  upah yang diterima itu  dapatlah digunakan untuk membeli barang keperluan harian,” katanya.

Mohd. Ridwan mengalami masalah mental sejak kanak-kanak selepas diserang demam panas yang akhirnya menjejaskan perkembangan otaknya.

“Dia jadi kurang waras apabila sembuh daripada demam panas. Itu yang doktor cakap,” kata Ruzainah.

Menurutnya, walaupun   kesihatan mental adiknya kurang baik, namun Mohd. Ridwan  mampu membasuh dan menguruskan pakaiannya sendiri. Malah, ada kalanya dia membersihkan kawasan sekitar rumah yang didiaminya.

“Rumah peninggalan ibu menjadi tempatnya berteduh kerana sejak ibu meninggal dunia, dia tidak  mahu berpindah ke rumah adik-beradik kerana dia lebih selesa menetap seorang diri di rumah pusaka ibu,” tambahnya.

Sering dicemuh masyarakat

Sudah menjadi lumrah hidup manusia  iaitu yang miskin dan hina dicemuh sementara yang kaya disanjung tinggi. Namun, apakan daya Mohd. Ridwan tidak mampu menepis segala cacian.

Keadaan kesihatan mentalnya yang kurang baik turut menjadi faktor masyarakat setempat memulaukan dirinya. Malah, dia sudah biasa dipanggil  ‘orang gila’ atau ‘tidak siuman’.

Masalah kesihatan mental itu jugalah  yang menyebabkan dia dimanipulasi  anak-anak muda yang nakal sehinggakan dipergunakan untuk melakukan perkara yang tidak baik.

“Dahulu..., dia sering memencilkan diri di dalam rumah kerana sudah tidak tahan dicaci dan dihina  orang. Kini, adik  sudah ada kekuatan untuk menghadapi semua cacian tersebut,” kata Ruzainah.

Biarlah pelbagai cemuhan dilemparkan,  Mohd. Ridwan tetap berdiri teguh mempertahankan dirinya. Meskipun  kurang waras, adakah dia tidak layak dilayan seperti insan normal yang lain? Ini kerana sesungguhnya setiap makhluk ciptaan Allah adalah  sama  di sisi-Nya di akhirat kelak.

Urus diri sendiri

Tidak seperti insan lain, Mohd. Ridwan sentiasa menjalani rutin hariannya seorang diri di rumah usang tersebut tanpa kehadiran adik-beradik yang lain kerana semuanya sudah ada keluarga sendiri.

Hanya dia yang tidak berkahwin dan menetap di rumah pusaka yang hampir roboh. Bukan itu sahaja, Mohd.Ridwan juga terpaksa menahan sejuk setiap kali hujan pada waktu malam selain masalah bumbung bocor dan lantai yang bertanah menyebabkan rumah itu tidak sesuai dijadikan tempat tinggal.

Namun, apakan daya dia  yang tidak mampu bekerja tetap kerana mempunyai masalah mental tidak mempunyai wang untuk memperbaiki rumah pusaka yang ditinggalkan arwah ibunya.

Hanya mampu  melihat insan lain mempunyai tempat tinggal yang sempurna  bersama keluarga tercinta, Mohd. Ridwan berharap agar suatu hari nanti  ada sinar bahagia buat dirinya.

Begitupun Ruzainah berkata, adiknya tidak menjadikan dugaan hidup sebagai penghalang untuknya menikmati kehidupan dengan seadanya. Baginya, kekurangan yang dimiliki adalah anugerah Ilahi dan harus ditempuh dengan hati yang terbuka.

“Setiap hari adik akan bangun awal pagi untuk berjalan-jalan di sekeliling kampung. Dia akan  menegur sesiapa sahaja yang berselisih dengannya. Itu cara adik mengubati perasaan sunyi selepas ibu meninggal dunia,” ujarnya.

Di samping itu katanya, Mohd. Ridwan turut mengumpul barang kitar semula  untuk dijual  bagi menampung perbelanjaan harian. 

“Meskipun tidak banyak, cukuplah rezeki itu buat dirinya seorang,” kata Ruzainah.