Namun siapa sangka terdapat individu yang sanggup mengambil risiko dengan membeli kediaman tersebut. Lebih mengujakan apabila rumah itu berubah sepenuhnya menjadi sebuah kediaman yang indah.

Selesai baik pulih, kediaman itu dinamakan Casa Leesa. Pemiliknya, Nur Natasha Abdullah, 30, berkata, rumah yang terletak di Kuantan, Pahang itu diubah suai dengan menelan belanja kira-kira RM65,000.

Tertarik dengan keindahan tempat penginapan di Phuket dan Bali, dia membeli rumah itu bukan untuk didiami, sebaliknya mahu menyewakannya sebagai inap desa kepada orang ramai yang singgah bercuti atau ada urusan di Kuantan.

‘‘Saya berusaha mencari rumah-rumah kosong yang sesuai untuk dijadikan inap desa melalui pelbagai laman web. Setelah diteliti dengan mendalam rumah terbiar ini, saya melihat ia mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikomersialkan,’’ ujar Natasha.

Tambahnya, setelah memiliki rumah usang tersebut, dia mengumpul seberapa banyak idea bagi merealisasikan konsep yang telah ditetapkan serta mendapatkan nasihat daripada kontraktor.

Kebiasaannya, ruang hadapan digunakan sebagai ruang parkir kereta. Namun Nur Natasha menjadikan kawasan itu sebagai ruang santai dengan membina sebuah kolam peribadi.

‘‘Pembinaan kolam peribadi ini amat bersesuaian kerana berhadapan dengan bilik utama yang membangkitkan perasaan seolah-olah berada di luar negara. Bukan itu sahaja, penggunaan rumput karpet yang memenuhi sekitar kolam turut menaikkan lagi nilai estetika ruang hadapan rumah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata ini memberitahu bahagian ruang tamu berkonsepkan industri iaitu menggunakan cat dinding berwarna kelabu cerah yang sepadan dengan pemilihan perabot kayu sedikit gelap.

Dia turut meletakkan beberapa hiasan pokok plastik di penjuru perabot bagi menyerikan ruang tersebut.

Dua bilik dua kolam

Umum mengetahui memiliki rumah teres semestinya menghadapi sedikit kesukaran disebabkan faktor ruang terhad.

Nur Natasha merancang sesuatu yang berbeza bagi menghias ruang dalaman kediaman ini sewaktu proses menambah baik dilakukan.

‘‘Pada asalnya rumah ini memiliki tiga bilik. Namun, saya membuat keputusan untuk mengorbankan bilik kedua. Bilik kedua diubah suai untuk diletakkan sebuah tab mandi yang bersambung dengan bilik utama,’’ ujarnya.

Menurutnya, bilik air tersebut cukup istimewa kerana mempunyai sebuah ruang mandi yang begitu eksklusif. Tema hitam putih menghiasi ruang mandi tersebut.

‘‘Bahagian dinding menggunakan kepingan jubin bercorak batu-bata berwarna hitam dan putih. Selain menyediakan peralatan mandian yang biasa, saya turut meletakkan syampu dan sabun khas bagi menepati tema ini,’’ tambahnya.

Sementara itu, bilik tidur kedua turut disediakan sebuah kolam mini khusus untuk kanak-kanak. Sebuah buaian berwarna putih didirikan di hadapan kolam bagi membangkitkan suasana seperti di Bali.

Kemas dan bersih

Nur Natasha begitu menitikberatkan aspek kualiti air dan kebersihan kolam-kolam peribadi di rumah tersebut.

‘‘Kolam-kolam ini dilengkapi dengan sistem aliran yang lengkap. Setiap kali pengunjung memasuki rumah ini, kami akan mengisi air yang baharu,’’ ujarnya.

Kediaman yang menawarkan sewa bermula harga RM280 itu turut dilengkapkan dengan ruang dapur mini yang cukup menarik.

‘‘Saya ‘mengambil’ sedikit ruang tamu untuk membina mini bar berkonsepkan kafe. Pemilihan lampu sangat bertepatan dengan konsep ini, dengan susunan cawan dan kelengkapan menyediakan air,’’ kata Nur Natasha.

Mengenai ilham dekorasi ala Bali, Nur Natasaha menggunakan kombinasi warna putih pada bahagian pintu bilik yang dipadankan dengan gelongsor kaca.

‘‘Saya juga menggunakan cadar berwarna putih. Sekiranya terdapat pasangan yang menikmati tempoh bulan madu, saya akan menaburkan sedikit kelopak bunga atas katil dan sekeliling tab mandi bagi memberikan kesan yang lebih romantik,’’ katanya.