Jumlah perabot dan aksesori perhiasan yang terlalu banyak mungkin membatasi pergerakan si kecil. Dalam masa yang sama, keadaan itu boleh menyebabkan kecederaan yang boleh menjejaskan perkembangan si manja.

Atas faktor tersebut, Marlina Manja Mohd. Sanosi, 33, memilih susun atur perabot yang moden, ringkas, selamat dan praktikal memandangkan faktor rumah kediaman jenis pangsapuri berkeluasan 850 kaki persegi memiliki ruang yang agak terhad.

Ibu kepada dua orang anak itu memilih konsep minimalis dengan warna dominan hitam dan putih kerana skema warna tersebut paling mudah digabungkan.

“Kebanyakan perkakas adalah dari Ikea. Ini kerana saya dan suami menyukai barangan dari gedung perabot terkenal itu yang cantik, ringkas dan berkualiti,” katanya.

Tambahnya, konsep yang diterap di kediamannya itu sesuai untuk persekitaran anak-anak yang sedang membesar dan lasak.

Marlina dan suaminya, Nazlimi Nazali membelanjakan lebih RM20,000 bagi mendapatkan dekorasi hiasan dalaman yang menepati pilihan.

“Saya banyak membuat rujukan melalui laman Pinterest. Saya amat suka melihat kediaman dari negara luar yang kebanyakannya menggunakan perabot moden dan ringkas,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi menyejukkan pemandangan, Marlina mewujudkan sudut hijau di dalam rumah bagi membantu memberi ketenangan dan menyejukkan persekitaran.

“Saya memilih menggunakan pokok hiasan berbanding pokok hidup memandangkan lebih sesuai dengan keadaan keluarga yang mempunyai anak kecil. Selain itu, saya juga menyelitkan sedikit elemen tradisional seperti hiasan kraftangan yang dibeli dari Melaka seperti bakul, tikar mengkuang dan tudung saji,” jelasnya.

Katanya lagi, pemilihan konsep hiasan rumahnya tidak hanya menekankan aspek untuk menjimatkan ruang sahaja, tetapi dalam masa sama tetap menyediakan ruang bagi anak-anaknya bermain.

“Hanya barangan yang mahu digunakan sahaja akan dikeluarkan manakala yang jarang digunakan akan disimpan dalam kotak,” tambahnya.

Dia amat menitikberatkan susunan barangan agar memudahkan penggunaan. Oleh kerana ruang yang agak terhad, maka dia menggunakan setiap ruang di dalam rumah seperti bilik paling kecil tidak dijadikan stor, sebaliknya dihias sebagai bilik belajar dan pejabat di rumah.