Setiap pasangan suami isteri pasti akan melalui fasa sukar mengaku kesalahan sendiri atau tidak sedar mereka melakukan kesilapan.

Menjadi cabaran bagi seseorang yang ditentukan oleh Allah mendirikan rumah tangga bersama pasangan mempunyai sifat ego tinggi sehingga tidak boleh bertolak ansur dalam apa jua perkara. Ini sekali gus memberi kesan dalam rumah tangga.

Untuk melembutkan ego seseorang memerlukan kesabaran tinggi kerana sikap itu sukar diduga, justeru memahami mereka merupakan jalan terbaik dalam mengelak perbalahan rumah tangga.

Dalam melayari mahligai perkahwinan, bukanlah mencari siapa yang benar atau salah, sebaliknya keharmonian dan kemanisan alam rumah tangga pasti terasa apabila seorang atau kedua-duanya merendahkan ego.

Maka tidak pelik mengapa Nabi Muhammad SAW memberi nasihat sebagaimana sabdanya bermaksud: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam...” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Mengulas hadis tersebut, Dai Wafi menerangkan betapa hebatnya pesanan Rasulullah berkaitan ganjaran bagi orang yang berkata perkara baik atau diam sekiranya tidak dapat berkata baik.

“Nabi Muhammad SAW tidak menyuruh kita berkata yang tidak baik bahkan menyuruh supaya diam. Malah, menurut pakar psikologi, orang yang diam lebih tenang dan bahagia jiwanya berbanding mereka yang sentiasa berkata perkara buruk.

“Justeru, perkahwinan yang mendapat keredaan Allah ialah mereka yang meletakkan sifat takwa pada kedudukan paling atas,” jelasnya.

Tambahnya, pesanan Sayidina Ali bin Abi Talib k.w.h dalam mendefinisikan makna takwa jelas menyatakan bahawa, Muslim bertakwa perlu memiliki sifat qanaah (rasa cukup) dengan benda yang sedikit.

“Ini menunjukkan mereka yang cerdik dapat membezakan antara kehendak dan keperluan. Ada dalam kalangan manusia yang sepanjang hidupnya terlalu banyak dihidangkan dengan kelazatan dunia sehingga lalai menunaikan kewajipan sebagai orang beriman.

“Oleh itu, setiap manusia perlu dididik dengan sifat takwa selain menjauhi sifat materialstik yang hanya mementingkan kekayaan semata-mata,”ujarnya.

Katanya, langkah itu (takwa) harus diamalkan dalam mengembalikan semula keharmonian rumah tangga sebelum perkara buruk seperti perceraian, pergaduhan besar sehingga menyebabkan pasangan menyakiti tubuh dan lain-lain.

“Satu daripada cara untuk memulihkan semula hubungan adalah melalui interaksi iaitu pasangan perlu meningkatkan komunikasi agar segala ketidakpuasan dalam hubungan dileraikan dengan baik dan dalam masa sama membolehkan mereka mengambil langkah terbaik demi kelangsungan hubungan yang dibina atas dasar cinta.

“Selain itu, sikap bertolak ansur dalam menguruskan rumah tangga turut perlu diamalkan agar keharmonian alam perkahwinan terjaga. Langkah ini sekali gus membentuk pasangan yang adil dan bekerjasama,” jelasnya.