Keutuhan hubungan suami isteri perlu dikekalkan supaya setiap ujian ditangani dengan sebaik mungkin agar hidup mereka sekeluarga sentiasa sejahtera. Bercerai atau berpisah sementara bukan pilihan utama.

Mungkin inilah dipegang oleh pasangan asnaf yang memiliki enam orang cahaya mata ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pantai Nenasi, Pekan, Pahang baru-baru ini.

Mastura Hamezah, 30-an, menganggap apa yang dia dan suaminya, Mohd. Hanaffiyah Jamaludin, 30-an, lalui sejak berkahwin bukanlah suatu perkara yang perlu diungkit kerana sikap itu tidak akan mengubah kehidupan mereka.

“Mahu tidak mahu kami kena hadapi dan tangani sebaik mungkin setiap masalah yang timbul,” kata wanita kelahiran Terengganu itu.

Tidak hairanlah pasangan suami isteri itu tetap mengukir senyum meskipun bahu sarat dengan tanggungan. Mereka terus melangkah walaupun berasa lelah dalam menghadapi ujian hidup demi mengubah masa depan keluarga.

Takdir yang menimpa diterima dengan reda dan disertai usaha gigih biarpun hati mereka diruntun kesedihan apabila membayangkan nasib dan masa depan anak-anak.

“Sewaktu mendapat berita suami menghidap penyakit tibi tahap empat kira-kira empat tahun lalu, saya sangat sedih mengenangkan nasib diri dan anak-anak kerana suami sudah tidak berupaya untuk bekerja.

“Saya sedih memikirkan bagaimana saya hendak menanggung anak yang ramai dan masih bersekolah lebih-lebih lagi pendapatan bulanan suami tidak ada lagi,” katanya.

Mastura mengakui pada peringkat awal selepas menerima berita sedih itu, dia berasa agak tertekan kerana terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan isteri sekali gus.

Tambahan pula pemilik rumah sewa mereka berura-ura untuk mengambil balik kediaman itu dan jika benar, maka ia amat menyusahkan mereka sekeluarga kerana pastinya membabitkan perbelanjaan yang agak besar untuk menyewa rumah lain.

Lebih memeritkan, hasil jualan kuih-muih yang diusahakannya sebagai sumber pendapatan tambahan sering kali tidak menentu sehingga mengganggu perbelanjaan harian keluarga termasuk yuran persekolahan anak.

“Dunia saya kelam kerana apa yang saya usahakan ketika itu hanya sekadar sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Tidak keseorangan

DALAM keperitan tersebut, Mastura dan suaminya menyedari bahawa mereka perlu melakukan sesuatu agar kehidupan seharian termasuk persekolahan anak-anak tidak terjejas.

Usaha itu menjadi lebih mudah berikutan sikap Mastura sendiri yang tidak betah duduk diam di rumah. Malah, suami dan anak-anak turut rajin menolong dia menyiapkan dan menjual kuih-muih di sekitar kampung.

“Saya amat gembira kerana dalam keadaan yang terdesak ini, suami dan anak-anak cukup ringan tulang. Suami, walaupun tidak boleh lagi bekerja seperti dahulu, tetap menolong. Samalah dengan anak-anak,” katanya.

Rutin hariannya bermula seawal pukul 3 pagi untuk menyiapkan jualan kuih-muih seperti kuih kacang, pau, donat, puteri ayu dan sebagainya yang akan dihantar ke warung-warung berdekatan.

Selepas siap mengurus suami di rumah dan menghantar anak ke sekolah menaiki motosikal, dia akan keluar mencari rezeki di kilang sarang burung bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Usai pulang dari kerja, Mastura akan kembali dengan rutin membuat kuih-muih untuk dijual secara sejuk beku dan membungkus makanan ringan seperti keropok ikan, kekacang dan kuih lidah buaya.

“Makanan ringan yang dibungkus itu saya hantar ke asrama Sekolah Menengah Rompin, Pahang. Di sana, anak perempuan saya akan jual di asrama dengan harga RM1 sebungkus.

“Kadang kala ada juga saya buat muffin coklat dan hantar kepadanya. Hasil jualan dia akan kumpul untuk bantu saya tampung bayar yuran asrama,” katanya.

Terima bantuan IRM

KEPERITAN hidup keluarga asnaf tersebut mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Relief Malaysia (IRM) yang secara kebetulan melaksanakan kempen kemanusiaan berdekatan kampung tersebut.

NGO terbabit mendapat maklumat tentang keluarga itu daripada sukarelawan IRM yang pernah memberikan sumbangan pek makanan sempena program bermusim, Ramadan Food Pack sebelum ini.

Menurut Pegawai Program Khas Bahagian Program Domestik IRM, Noor Halimahton Sa’adiah Talib, selepas beberapa proses penilaian dilakukan, Mastura sekeluarga terpilih untuk menerima bantuan daripada IRM.

“Mastura seorang yang sangat rajin dan positif. Meskipun dia menjadi penyumbang utama kepada ekonomi keluarga, namun tanggungjawab menguruskan persekolahan anak-anak dan menjaga kebajikan suami tidak diabaikan,” katanya.

Noor Halimahton berkata, dalam usaha membantu menaik taraf kehidupan keluarga itu, IRM memberikan bantuan barangan asas, mesin adunan, dapur masakan, kuali dan pengukus untuk membantu Mastura menghasilkan kuih-muih dengan kuantiti yang lebih banyak dan cepat.

“Mastura belajar buat kuih-muih daripada ibunya sejak dari kecil. Sebelum berpindah ke kampung ini, dia pernah membuka kedai makan yang menawarkan masakan panas dan lauk-pauk untuk sarapan dan makan tengah hari,” tambahnya.

Namun apa yang penting, Noor Halimahton berkata, IRM berharap semoga impian wanita cekal ini untuk memiliki kedai makan sendiri akan menjadi kenyataan.

IRM juga mengharapkan sokongan daripada masyarakat seluruhnya untuk bersama-sama menyokong usaha IRM menjalankan tanggungjawab sosial membantu golongan memerlukan menerusi platform Care4Hunger.

“Bersama kita nikmati kepuasan dalam berkongsi rezeki yang ada dengan membantu dan menggembirakan insan lain,” katanya.