Menamakan premis itu sebagai Kafe D Rimba, yang terletak di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Awalnya, dia tidak pernah terfikir untuk mencuba perniagaan seperti itu, sebaliknya sekadar mahu mengambil peluang mengembangkan perniagaan sedia ada.

Ternyata rezeki berpihak padanya apabila memenangi tender pemilikan kafe tersebut meskipun pesaing-pesaing lain mempunyai latar belakang perniagaan yang lebih kukuh.

Silapnya, dia tidak pernah meninjau dahulu keadaan kafe tersebut, jadi agak terkejut apabila melihat lokasinya yang jauh terperosok di hujung kampus, kelihatan ‘mati’ kerana suasana sekeliling yang suram dan sunyi.

“Apabila bertanya kepada kakitangan universiti tentang keadaan itu, ramai yang memberitahu bahawa sebelum ini kafe tersebut memang jarang dikunjungi disebabkan oleh faktor lokasi yang tidak strategik.

“Namun, saya cuba berlapang dada dan menganggap kafe ini sebagai rezeki saya dan perlu melakukan sesuatu supaya ia kembali dikunjungi pelanggan.

“Saya membuat baik pulih bangunan kafe dengan mencantikkan kembali tempat ini supaya boleh menarik pengunjung dalam kalangan pelajar serta kakitangan untuk menikmati makanan.

"Alhamdulillah usaha tersebut berhasil, saya mula menerima pelanggan sejak hari pertama beroperasi lagi,” katanya ketika ditemui di Kafe D Rimba UM baru-baru ini.

Zanifah lalu menunaikan nazarnya kerana berjaya memiliki kafe tersebut, dengan menaja dua pelajar miskin makan secara percuma di kafe tersebut sepanjang dia berniaga di situ kerana baginya bersedekah dapat melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah.

Ternyata, dia mempelajari banyak perkara baharu apabila mula berniaga di situ, yang mana perniagaan sebelum ini sasaran pelanggan adalah orang awam, tetapi kali ini urusan jual beli adalah dengan pelajar universiti.

Melihat sendiri bagaimana segelintir pelajar mengikat perut kerana menghadapi masalah kewangan dia cuba mencari jalan untuk membantu mereka.

“Apabila saya menjaga kaunter bayaran, ada pelajar datang bertanya ada tak makanan yang berharga RM1.50. Ada juga yang hanya mengambil nasi dan kuah sahaja atau nasi bersama telur, malah ada yang meminta kebenaran untuk memotong dua seekor ikan sardin untuk jimat belanja.

"Jika membeli, pasti masing-masing mengambil masa lama kerana berkira-kira makanan apa yang harganya murah tetapi mampu mengenyangkan perut mereka.

“Melihat itu semua hati saya benar-benar tersentuh. Ketika itu, baru saya tahu yang ramai pelajar tidak mempunyai wang yang cukup, Bagi kita, nilai RM5 mungkin sudah cukup murah untuk satu hidangan nasi yang lengkap, tetapi pelajar-pelajar ini hanya mampu membayar RM1.50 sahaja,” katanya.

Simpati dengan keadaan itu, Zanifah mula menjual pek makanan berharga RM1 untuk sarapan dengan pilihan makanan seperti bihun goreng, nasi goreng, dan kuew tiaw goreng.

Seperti dijangkaan, pek makanan tersebut yang dicari-cari pelajar setiap hari.

Kerana sambutan yang menggalakkan, dia meneruskan lagi projek amalnya, dengan pemberian pek makanan percuma atau infak kepada pelajar setiap Jumaat.

Selain mengejar keberkatan hari Jumaat, Zanifah mahu beramal apatah lagi kafenya kurang dikunjungi pelanggan pada hari itu kerana bilangan kelas yang kurang di fakulti.

Ada yang mempertikai tindakan itu tidak masuk akal kerana memberi makanan percuma ketika jualan tidak menentu, namun dia percaya pada janji Allah bahawa bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan, sedekah adalah jalan penyelesaian walaupun dalam kekurangan.

“Saya masih bertatih di tempat baharu, saya perlukan lebih banyak sokongan warga kampus, jadi ketika inilah saya melancarkan program infak.

"Ia bukanlah untuk tujuan komersial, atau mengejar populariti atau mahu tular dalam media sosial, tetapi lebih kepada memahami penderitaan orang sekeliling.

“Ternyata apa yang dijanjikan Allah itu benar belaka, saya mendapat hikmah daripada Allah di mana rezeki di kafe datang mencurah-curah dalam bentuk perkhidmatan katering.

“Daripada keadaan kafe yang sunyi sepi, saya dan pekerja tidak menang tangan memenuhi tempahan katering dalam kalangan warga universiti yang mempercayai kemampuan kami,” katanya yang memiliki empat orang cahaya mata.

Inspirasi kepada orang lain

BAGI Zanifah, dunia bersedekah amat misteri yang mana dia sendiri tidak tahu kelebihannya sehingga dia melaksanakannya sendiri.

Sebulan selepas dia memulakan program infak makanan kepada pelajar, dalam dia tidak sedar tindakan itu menjadi inspirasi kepada orang lain yang mahu turut sama menghulurkan sumbangan, meskipun dia tidak pernah meminta sebarang sumbangan untuk projek tersebut.

Mahu menjadi pemegang amanah yang baik, dia berusaha untuk melakukan yang terbaik terhadap projek tersebut agar setiap pelajar dapat menikmati faedahnya secara berterusan.

Ujarnya, segala kemudahan yang diterima pada hari ini adalah berkat doa daripada pelajar-pelajar yang pernah dibantunya kerana sentiasa berpesan kepada mereka supaya mendoakannya murah rezeki untuk dia boleh berbakti sampai bila-bila selagi masih di situ.

“Saya tahu sumbangan ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan orang lain, Cuma saya berharap aktiviti seperti ini boleh menjadi ikutan orang lain.

“Tidak dinafikan semua peniaga mahu mengejar keuntungan, tetapi adakalanya kita kena korbankan perasaan tamak kita untuk orang lain.

“Doalah setiap hari untuk kaya tetapi biarlah kaya itu untuk membantu orang yang memerlukan,” ujarnya.

Bantu asnaf, belia jadi usahawan

BUKAN sekadar bergelar peniaga, Zanifah juga aktif dalam pelbagai program keusahawanan sebagai tenaga pengajar untuk bakal usahawan mendalami selok-belok perniagaan bakeri.

Dia merupakan perunding Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) bersama Lembaga Zakat Selangor sejak lapan tahun yang lalu serta menjadi mentor usahawan bagi Program Jumper Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), yang menyasarkan siswazah muda bumiputera memilih untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Selain itu, dia juga bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu melahirkan serta membantu usahawan baharu dan sedia ada menjadi usahawan berjaya, maju dan berdaya saing.

Bukan mahu mendabik dada dengan kejayaan yang dimiliki, sebaliknya dia cuba menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu orang sekeliling, terutama golongan asnaf bagi memajukan diri, seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.

“Saya berbangga apabila dapat melahirkan ribuan usahawan asnaf dan lebih membanggakan apabila ilmu yang dikongsi digunakan sebaiknya dalam perniagaan mereka.

“Namun, pengalaman selama 20 tahun dalam bidang perniagaan masih belum mencukupi untuk saya merasa selesa dengan apa yang dimiliki dan saya masih berusaha keras untuk memajukan perniagaan saya,” katanya.