Pada pertengahan 2016, Zulkiflie yang lebih mesra disapa Zukie bakal melangsungkan perkahwinan dengan rakan baiknya. Namun, dia difitnah iaitu dituduh merampas teman wanita orang lain sehingga ramai pengiklan memintanya mengembalikan semula wang yang telah dilaburkan dalam videonya.

“Ketika itu saya jatuh terduduk kerana imej sebagai seorang youtuber santai tercemar sehingga ada yang mengajak untuk memboikot kesemua video saya.

“Namun, tiada siapa yang boleh menghalang rezeki Allah apabila saya berjaya bangun kembali selepas hampir setahun berusaha keras untuk membina semula nama dan imej yang tercalar,” katanya.

Menurut Zukie, sejak kejadian difitnah itu, dia tidak lagi menunjukkan kemewahan serta kebahagiaan dalam media sosial kerana menyedari hasad dengki manusia yang pantang melihat orang lain berjaya.

ZUKIE

“Lumrah manusia sememangnya pantang tengok orang senang atau lebih berjaya, sudah pasti mereka ingin jatuhkan dan memperlekehkan kita meskipun kita tidak ganggu hidup mereka.

“Detik hitam itu saya jadikan pengajaran dalam hidup untuk terus maju ke hadapan di samping jangan mudah putus asa dengan ujian yang menimpa,” katanya.

Bantu lahir lebih ramai Youtuber

Meskipun sudah berjaya, Zukie tidak pernah melupakan hasrat untuk membantu golongan susah dan memerlukan dengan membentuk karakter diri mereka dalam video yang dihasilkannya.

Terbaharu, Zukie menghasilkan filem pendek dalam YouTube bertemakan seram dan komedi iaitu Misteri Rumah Kebaya di samping beberapa filem pendek lain antaranya Night KL.

“Filem pendek yang ditayangkan dalam YouTube dan media sosial Facebook dan Instagram berjaya meraih tontonan lebih satu juta orang dalam tempoh tidak sampai satu bulan selepas ditayangkan.

“Sambutan yang diperoleh sangat menggalakkan dan ini mendorong saya bersama pasukan produksi kami menghasilkan lebih banyak filem pendek untuk masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Zukie turut memberitahu bahawa watak-watak yang dihasilkan dalam filem atau video seperti Burn, Oyot, Mamat dan Pak Duan berjaya menjadi selebriti Instagram.

“Kebanyakan mereka bukanlah orang senang kerana ada antara pelakon video saya ini hanya mencari rezeki di pasar malam. Menerusi watak yang saya hasilkan, ia berjaya mengubah keseluruhan hidup mereka.

“Pendapatan yang diperoleh menerusi video-video yang dihasilkan ini turut diagihkan kepada pelakon-pelakon dalam video tersebut. Ini kerana saya mahu berkongsi bersama rezeki yang diperoleh,” katanya.

Zukie menjadikan Mamat Khalid sebagai idola dalam menghasilkan karya-karya video kerana minat dan cinta yang mendalam terhadap bidang seni.

“Saya sebenarnya menghasilkan video lebih kepada minat untuk berkarya dan membantu pelakon untuk naik selain memperoleh pengikut yang ramai kerana saya berpegang kepada prinsip ‘bantu dahulu barulah dibantu’.

“Bagi saya sekiranya ingin menceburkan diri dalam bidang ini, saya perlu mempunyai minat yang mendalam di samping sentiasa konsisten dengan video yang dihasilkan. Dengan cara ini barulah saya berjaya menarik ramai follower,” katanya.