Namun, apabila sudah berumah tangga, si suami atau isteri perlu menerima hakikat bahawa kehidupan berkeluarga tidak lagi sama seperti kehidupan sewaktu berstatus bujang atau anak dara.

Menurut Mohd. Hassan, adalah satu ‘anugerah’ jika suami dan isteri mempunyai minat atau hobi yang sama kerana ia secara tidak langsung memudahkan mereka untuk merancang masa bersama.

“Dengan melakukan hobi bersama dapat mengeratkan lagi hubungan antara suami dan isteri serta anak-anak.

“Tetapi bagi pasangan suami isteri yang mempunyai hobi berbeza, maka mereka perlulah bertolak ansur dan saling memahami akan tanggungjawab diri serta keperluan dalam memenuhi minat masing-masing,” katanya ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Isu berkenaan hobi mungkin kelihatan remeh, namun jika tidak dikendalikan dengan baik boleh mengundang perselisihan faham antara suami dan isteri.

Bagi mengatasi perkara tersebut, Mohd. Hassan berkata, suami dan isteri perlu merancang serta menyusun jadual masing-masing sebelum dibentangkan bersama-sama untuk mendapatkan persetujuan.

Sebelum melakukan aktiviti, suami hendaklah memberitahu pasangannya terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya salah faham.

Begitu juga bagi wanita, sebagai isteri wajib memberitahu dan meminta izin suami lebih-lebih lagi jika melibatkan aktiviti luar rumah.

Kata beliau lagi, seorang suami perlu menunaikan keperluan dan hajat isteri serta anak-anak terlebih dahulu sebelum keluar melakukan aktiviti.

Keluarga perlu diletakkan sebagai keutamaan, barulah isteri dan anak-anak menghargai suami atau ayah mereka.

Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” - Riwayat Bukhari

BELAJAR MEMAHAMI

Dalam pada itu, Mohd. Hassan yang gemar mengisi waktu lapang dengan membaca berkata, sesekali suami atau isteri cubalah ikut sama melakukan hobi pasangan masing-masing.

Sebagai contoh, si isteri mempunyai hobi ‘window shopping’ sedangkan si suami sangat tidak menyukai aktiviti tersebut.

“Perlu diingat jangan sampai kita mematikan mood isteri dengan bermasam muka, atau berkata ‘abang penatlah’ dan seumpama dengannya kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.

“Sebab itu saya katakan lakukan ia sekali-sekala, bukan setiap hari. Korbankan sehari dalam sebulan contohnya untuk kita melayan hobi si isteri. Begitu juga sebaliknya, si isteri juga sekali-sekala cubalah ikut serta aktiviti hobi suami kita.

“Jika si suami suka memancing, sebulan sekali cubalah ikut dia pergi memancing walaupun kita tidak suka memancing. Insya-Allah jika ini dipraktikkan, rumah tangga yang didirikan akan lebih berseri,” katanya.

Mengambil contoh Rasulullah dan isteri baginda, Saidatina Aishah r.ha, Mohd. Hassan berkata, Nabi melayani kehendak Aishah menonton sukan permainan pedang orang Habsyi di sekitar kawasan Masjid Nabawi, sehinggalah Aishah sendiri yang minta untuk pulang.

Nabi langsung tidak menunjukkan rasa jemu kerana baginda tahu isterinya suka menonton sukan tersebut. Peristiwa tersebut dijelaskan dalam hadis Sahih Bukhari.

Dalam pada itu, Mohd. Hassan berkata, suami isteri boleh menjadikan pemberian hadiah kepada pasangan masing-masing sebagai amalan bagi menambahkan lagi kasih sayang antara mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah bersabda: “Berilah hadiah dalam kalangan kamu, nescaya kamu akan berkasih sayang.” - Mukjam Al-Awsat