Hakikat sebenarnya apa yang dilihat bukan dengan mata, tetapi kita melihat melalui mata dengan hati dan otak. Apabila seseorang mempunyai banyak ilmu dan pengalaman yang luas, tafsirannya terhadap sesuatu yang dilihatnya menjadi luas berbanding dengan orang yang kurang berilmu dan pengalaman. Manusia ada empat mata yang perlu dikawal dan dijaga bagi mengelakkan kesilapan membuat ‘pilihan’.

‘Mata fizikal’ untuk melihat. Bagi orang bermasalah ‘mata fizikal’ misalnya rabun, boleh dirawat dalam masa dua minit sahaja. Hal ini bermakna, sangat mudah untuk merawat ‘mata fizikal’. ‘Mata nafsu’ iaitu pandangan yang diikuti dengan belitan hasutan syaitan. ‘Mata nafsu’ inilah yang sukar dirawat, kerana mata nafsu ini akan melihat banyak keburukan dan kesilapan orang. Sebaliknya hanya nampak kebaikan diri sendirinya sahaja. Berasa diri kita baik dan semua orang jahat. Ini yang membuatkan kita sentiasa berprasangka buruk terhadap orang. ‘Mata akal’ pula, yang digunakan untuk berfikir bagi membuat ‘pilihan’ atas tiap-tiap tindakan.

Tetapi, kalau kita menggunakan ‘mata akal’ sahaja, tanpa mengimbangi dengan ‘mata hati’, yang melihat sesuatu dengan keimanan, kita akan menjadi seorang yang ego, terlalu berkeyakinan kepada diri hingga terhapus rasa kebergantungan kepada Allah SWT. Hal ini terjadi kerana ‘mata akal’ kita tajam (cerdik), tetapi ‘mata hati’ kita tumpul (keimanan tipis). ‘Mata hati’ inilah yang kita hendak celikkan. Sebab itu untuk kehidupan yang positif dunia dan akhirat, kita perlukan keseimbangan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’. Mata hati yang perlu celik, sebab apabila melihat sesuatu yang baik berlaku, kita akan ingat bahawa semuanya datang daripada Allah, kerana Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta.

Orang yang bijak, akan menangani kehidupannya dengan memfokuskan untuk melihat apa yang dia mahu lihat dan tahu sahaja. Maknanya, apabila kita nampak sesuatu peristiwa yang negatif berlaku di hadapan kita, masing-masing boleh mengawal minda sedar (otak/akal) untuk tidak fokus kepada perkara tersebut. Meskipun kita telah dan sedang melalui peristiwa berkenaan. Hal ini bukanlah bermakna kita tidak perlu mengambil tahu atau sensitif mengenai hal sekeliling tetapi kita seharusnya mampu mengawal minda dan hati agar tidak turut lemah atau negatif ketika berhadapan situasi yang tidak baik.

Dunia dalaman kita (otak/akal dan hati/jiwa) perlu kuat, hingga berjaya mengawal dunia luaran (persekitaran dan orang sekeliling). Kita tidak mudah terpengaruh sebaliknya mampu mempengaruhi persekitaran negatif dan orang sekeliling yang negatif menjadi positif. Apabila kita menggunakan ‘kuasa minda’, fokus kepada yang positif sahaja serta fokus kepada matlamat dan tujuan hidup. Maka dengan itu kita akan mudah mencapai apa-apa yang dicita-citakan. Disebabkan itu juga kita tidak tersasar ketika membuat ‘pilihan’. Sebenarnya hanya 10 peratus kehidupan manusia itu dipengaruhi oleh persekitaran. 50 peratus kehidupan manusia, perangainya dipengaruhi oleh genetik yang diwarisi daripada ibu dan bapa. 40 peratus lagi kehidupan manusia dipengaruhi oleh ‘pilihannya’ berdasarkan kepada ‘fikiran’ iaitu bagai­mana fikiran atau mindset menentukan pilihan tindakannya dan menganalisis sesuatu ‘arahan’.

Perhatikan bagaimana dua orang yang menerima ‘pesanan’ atau ‘arahan’ yang sama tetapi mereka memandang dari sudut ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ berbeza sekali gus membuat ‘pilihan’ yang berbeza. Oleh sebab itu tindakan mereka berbeza dan hasil kehidupan mereka juga berbeza. Respons hasil daripada mindset atau pemikiran mereka yang berbeza itu memberi kesan yang berbeza, yang seorang berjaya dan yang seorang lagi gagal.

Analoginya, ‘pesanan’ atau ‘arahan’ yang sama itu datang daripada seorang ayah. Dia ahli perniagaan. Sebelum meninggal dunia dia berpesan kepada dua orang anaknya, dua perkara utama untuk keberhasilan hidup yang sukses dalam perniagaan. Pertama; Jangan sesekali menagih hutang kepada sesiapa pun. Kedua; Jangan sesekali tubuhmu terkena terik mata hari secara langsung. Selepas tiga tahun, perniagaan anak sulung arwah didapati merudum teruk. Alasannya, kerana mengikut nasihat ayahnya kerana modal tidak dapat dipusingkan sebab banyak orang yang membeli secara berhutang dan dia tidak boleh menagihnya. Dia juga terpaksa menaiki teksi hari-hari kerana takut terdedah pada matahari, sedangkan dia hanya mampu bermotosikal sahaja untuk kos pengangkutannya.

Berbeza dengan nasib adiknya, dia lebih sukses dalam perniagaan. Oleh sebab tidak boleh menuntut hutang seperti pesanan ayahnya, dia tidak memberi hutang kepada sesiapa pun. Dan kerana itu dia dapat pusing modal untuk menjalankan perniagaannya. Untuk pesanan kedua arwah ayahnya, dia selalu keluar dari rumah sebelum matahari terbit dan pulang setelah matahari terbenam. Kerana itu pelanggan tahu dia akan membuka kedai paling awal dan menutupnya paling lewat. Kerana itu kedainya sentiasa menjadi tumpuan pelanggan. Kesimpulannya, pemikiran positif boleh memberikan hasil yang menakjubkan manakala pemikiran negatif akan menghasilkan kehidupan yang menghancurkan. Dalam menentukan kejayaan hidup ini, mesti ada sasaran dan tempoh untuk dicapai.

Justeru, bagi memastikan sasaran tercapai, kita hendaklah berusaha dengan gigih disusuli dengan berdoa dan bertawakal kepada Allah. Namun jika gagal, terimalah kegagalan itu sebagai takdir dan berbaik sangkalah kepada Allah. Sebab Allah Yang Maha Mengetahui, menggenggam rahsia-Nya sebab Dia tidak memakbulkan hasrat kita yang ketika itu sangat mengharapkan kejayaan. Anggaplah ia bukan satu kegagalan, tetapi kejayaan yang tertangguh.

Kata Buya Hamka; “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah, yang tidak pernah jatuh.” Kegagalan itu hanyalah kesempatan untuk kita memulakan sesuatu dengan lebih cerdas, pada masa sama tidak mengulangi kesilapan serupa. Sesungguhnya keyakinan akan timbul pada orang yang pernah gagal, kerana pengalaman menempuh kegagalan mampu mengajar kita bersedia menghadapi sebarang jangkaan, ramalan dan firasat jika situasi sama berulang.

Persediaan jangkaan, ketenangan dan keupayaan adalah cara mengawal ketakutan dalam kita menghadapi cabaran kegagalan dalam hidup. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”