“Kerana kesabaran melaksanakan tanggungjawabnya, Shukri berkahwin ketika berusia 33 tahun dan saya lapan tahun muda daripadanya. Katanya dia terpaksa kahwin lambat kerana tunaikan amanah arwah ayahnya untuk bantu adik-beradik lanjutkan pelajaran. Walaupun Shukri cuma ada SPM sahaja. Dengan sijil itulah dia cari kerja dan bekerja siang malam kumpulkan duit untuk hantar ke kampung. Pendek kata dia banyak berkorban untuk adik- beradiknya.

“Berkat kesabaran dan pengorbanannya, semua adik-adiknya empat orang itu dapat melanjutkan pelajaran hingga ke kolej dan universiti. Ada yang menjadi guru, pegawai kerajaan dan tak kurang juga yang masuk pasukan beruniform. Pendek kata semua mereka berjaya berkat pengorbanan Shukri dan amanah ayahnya.

“Kerana rajin serta berkat kesabaran juga keikhlasannya, Shukri mendapat perhatian majikan untuk melanjutkan pengajiannya dan akhirnya dia dinaikan gaji dan pangkat. Setelah adik-adiknya bekerja barulah dia memikirkan soal mendirikan rumah tangga tetapi sebelum itu dia masih berusaha kumpul wang untuk kahwinkan adik perempuannya yang pertama.

“Selepas itu barulah kami berkahwin, pihak keluarga Shukri cuma buat kenduri doa selamat sahaja. Ketika itu saya fikirkan tentulah Shukri tak ada simpanan setelah membuat hantaran perkahwinan kepada saya tetapi sebenarnya ibu Shukri mahu Shukri berkahwin dengan gadis pilihannya tetapi hampa setelah Shukri membuat pilihan sendiri dengan mengahwini saya.

“Ketika mula berkahwin saya tak sedar saya tidak disukai keluarga Shukri. Setelah beberapa kali balik ke kampungnya barulah saya sedar. Tetapi ketika itu saya hamil sudah pasti saya tidak boleh banyak `soal’ . Saya terima keadaan seadanya. Kata Shukri apa yang berlaku cuma sementara, selepas dapat anak nanti, semuanya akan berubah. Kata Shukri `nenek mana tak sukakan cucunya.’

“Masa berlalu begitu cepat. Selepas kami berkahwin dua tahun kemudian seorang lagi adik Shukri kahwin. Walaupun lelaki tetapi majlis perkahwinannya cukup meriah. Tak macam Shukri dahulu cuma majlis doa selamat sahaja.

“Begitu juga dengan adik lelakinya yang bongsu. Majlis perkahwinan mereka sungguh meriah. Namun adik perempuan Shukri seorang lagi, Zue namanya masih belum berkahwin, kerana dia bekerja di KL. Walaupun sudah berumur tapi dia belum bersedia berkahwin, alasannya belum jumpa calon sesuai. Tetapi sebenarnya Zue beritahu dia tidak mahu kahwin dengan lelaki senegeri terutama calon pilihan emaknya. Jadi selagi kehendaknya tidak diterima oleh emaknya selagi itu dia tidak mahu berkahwin.

“Untuk pengetahuan pembaca semua majlis perkahwinan adik adiknya, Shukri yang bertanggungjawab menguruskan perbelanjaan kenduri. Alasan emaknya dia tak ada duit, sementara adik-adik lelakinya belum ada simpanan yang cukup.

“Oleh kerana gaji bukanlah banyak sangat, Shukri terpaksa buat pinjaman bank untuk majlis yang diadakan itu. Tujuannya supaya emaknya tak susah hati.

“Tamat soal bantuan pelajaran dan kahwin, sekarang ada masalah baharu bila emak Shukri tidak akan mengadu kepada anak-anak lain kalau dia susah dan perlukan wang melainkan Shukri. Macam biasa Shukri tidak pernah hampakan harapan emaknya.

“Biasanya bila kesempitan wang, sayalah tempat Shukri meminta bantuan.,

“Ketika usia emaknya meningkat dan perlukan jagaan daripada anak-anak, dia duduk pula dengan anak perempuan sulungnya. Tetapi adik perempuannya berikan syarat, dia boleh jaga emak dengan syarat adik-beradik lain mesti bagi duit untuk uruskan emak selain hantar emak ke hospital.

“Bertambah lagi ujian kepada Shukri apabila adik-adik yang lain bersikap lepas tangan. Shukri terpaksa menyediakan wang semampunya. Ugutan dan desakan daripada adiknya datang bertalu-talu apabila duit yang diterimanya tidak mencukupi. Shukri terima dengan sabar. Tetapi bila adiknya mengugut hendak ambil tanah pusaka emaknya sebagai imbalan kerana menjaga emak yang sakit, Shukri tak boleh terima kerana katanya itu adalah tanah dan rumah pusaka, semua adik beradik berhak.

“Adik-beradik mesti berbincang, namun bila dipanggil cuma seorang berdua yang hadir, tidak ada persetujuan. Desakan semakin kuat untuk menjual tanah pusaka tersebut dengan harga yang ditetapkan. Malangnya ada yang tidak bersetuju. Masalah ini membawa kepada ketegangan perasaan antara sesama mereka.

“Akibatnya perselisihan faham berlarutan tanpa penyelesaian. Agaknya disebabkan masalah inilah satu hari Shukri diserang angin ahmar atau stroke. Awalnya memang mengejutkan saya, tetapi setelah dibawa ke hospital, jelas serangan tidak begitu kuat. Beberapa hari di hospital akhirnya Shukri boleh kembali ke rumah.

“Sepanjang dua minggu di hospital, saya anak-beranaklah yang berulang-alik menjaga Shukri. Peliknya hanya Zue adik Shukri yang datang menziarah. Yang lain tak nampak muka langsung, bertanya khabar pun tidak. Berita mengejutkan yang kami terima, emak dan adik perempuan Shukri sudah pindah duduk di rumah pusaka. Sementara rumahnya di bandar disewakan.

“Alasan yang kami dengar emak hendak balik duduk di rumahnya sendiri. Jadi adik yang jaga emak terpaksa ikut sekali. Kepada orang kampung dan saudara mara terdekat adik Shukri beritahu yang tanah dan rumah pusaka sudah di jual kepada mereka. Berita yang amat mengejutkan.

Namun saya dan Zue sudah berjanji tidak akan ceritakan berita ini kepada Shukri kerana kami bimbang masalah penyakitnya akan bertambah berat.

“Kami juga dengar cerita adik perempuannya bimbang konon Shukri akan ambil atau beli tanah dan rumah pusaka emak sebab tak lama lagi Shukri boleh keluarkan duit KWSP kerana umurnya hampir 50 tahun. Jadi sebelum perkara itu terjadi, mereka balik duduk di rumah pusaka emak. Sudah pasti Shukri tidak boleh beli tanah pusaka itu. Apa lagi menghalau mereka keluar.

“Memang saya terkejut dengan cerita tersebut. Saya rasa Shukri lebih terkejut, sebab dia tidak pernah berfikir sedemikian, sebaliknya dia pernah beritahu adik-beradik lain, jika sesiapa yang berhajat memiliki tanah pusaka emak bolehlah beritahu dia, tentang harga boleh dibincangkan. Tetapi selagi emak ada, biarlah emak duduk di rumah pusaka tersebut, lagi pun rumah tersebut sudah diperbaiki sayang rasanya jika dijual kepada orang luar.

“ Zue memang tak berminat, dia lebih tenang duduk KL begitu juga Shukri. Cadangnya, jika dapat keluarkan duit KWSP nanti dia hendak selesaikan baki pinjaman rumah kami sekarang. Kami memang tak minat balik ke kampung apatah lagi anak-anak.

“Berita terakhir yang kami dengar, mungkin betul mungkin tidak, sememangnya tanah dan rumah pusaka tersebut telah berpindah milik kepada adik Shukri yang menjaga emaknya. Tetapi tak ada kepastian, cuma khabar angin sahaja.

“Namun berita ini pun saya tak sampaikan kepada Shukri sebab takut dia diserang stroke lagi. Walaupun dia sudah pulih, dan bekerja semula tapi saya mahu dia gembira. Kalau boleh saya tak mahu dia dengar cerita tentang tanah itu lagi. Biarlah apa yang sudah berlaku didiamkan sahaja. Lagi pun saya pasti adik-beradik lain tidak akan hubungi Shukri, sebab sejak isu tanah pusaka ini timbul, hubungan mereka adik-beradik semakin renggang.

“Apa yang ingin saya simpulkan di sini, besar manapun pengorbanan abang terhadap masa depan adik-adiknya tetapi itu semua tidak bermakna. Ini kerana harta tetap menjadi ukuran. Budi tidak semestinya dibalas baik, apa lagi dikenang.” Itu cerita Zahariah tentang pengorbanan suaminya yang terpinggir kerana wang ringgit dan harta.