Kini, selepas 20 tahun penubuhannya, Genius Aulad mempunyai 178 tenaga pengajar yang mendidik lebih 75,000 kanak-kanak menerusi 70 cawangannya di seluruh Malaysia dan Indonesia.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Genius Aulad International Group Sdn. Bhd. (Genius Aulad), Zaliza Alias berkata, idea membuka prasekolah itu timbul semasa beliau berdepan masalah mencari prasekolah yang menawarkan pendidikan agama Islam dan bahasa Inggeris untuk anaknya.

Bagi menyangkal persepsi sekolah aliran agama Islam tidak mementingkan bahasa Inggeris, beliau memutuskan untuk membuka prasekolah yang menawarkan dua subjek utama itu.

Genius Aulad memberi penekanan kepada pengisian program, penyediaan ruang belajar yang kondusif dan mementingkan keselamatan mengikut prosedur operasi standard.

“Pada 20 tahun lalu, industri pendidikan awal kanak-kanak tidaklah rancak. Ketika itu Genius Aulad adalah peneraju bagi prasekolah aliran agama Islam yang mementingkan bahasa Inggeris,” katanya.

Zaliza berkata, prasekolah itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar utama untuk membantu kanak-kanak menguasai bahasa itu selain memberi penekanan kepada ilmu agama Islam serta subjek sains bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana.

PENTINGKAN 
IQ DAN EQ

Genius Aulad mementingkan perkembangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ).

Berikutan itu, ia memperkenalkan pelan pembelajaran iLOVE (Islamic, Literacy, Original Arts, Value and Excitement) yang menumpukan kepada pembinaan karakter, sifat kasih-sayang dan kemahiran asas bagi mengembangkan potensi setiap kanak-kanak.

Zaliza berkata, sistem pembelajaran Genius Aulad direka bentuk mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.

Program ‘Playschool’ yang dikhususkan untuk kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun menekankan Pelan Pelajaran iLOVE bagi membiasakan mereka dengan persekitaran sekolah dan pembelajaran berstruktur.

Bagi program ‘Preschool’, ia mengikut Standard Kurikulum Prasekolah sebagai persediaan kanak-kanak sebelum beralih ke pendidikan formal di sekolah rendah.

“Beyond School pula menggabungkan elemen pembelajaran dan penerokaan dengan persekitaran yang lebih santai dan ibu-bapa boleh menempatkan kanak-kanak secara sepenuh masa di Genius Aulad,” katanya.

BELAJAR, BERMAIN

Zaliza mengakui kemampuan untuk mengenal huruf dan membaca memainkan peranan besar dalam perkembangan kanak-kanak.

Dalam usaha meningkatkan kemahiran celik huruf katanya, Genius Aulad mencontohi teknik bercerita ilmuwan Islam, Luqman al-Hakim.

“Bagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), Genius Aulad membudayakan teknik ‘bermain dan belajar’ dengan pelbagai aktiviti seperti menyanyi, membaca dan bermain yang sesuai dengan keperluan setiap murid.

“Fitrah kanak-kanak sukakan aktiviti menyeronokkan dan cara pembelajaran seperti ini akan membantu mereka lebih berminat untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, teknik bercerita membolehkan interaksi dua hala berlaku dan membantu murid untuk berfikir serta merangsang imiginasi mereka sekali gus meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Beliau berkata, sesi membaca secara bersemuka dengan guru dilakukan setiap hari dan sehingga kini ibu-bapa berpuas hati dengan perkembangan kemahiran membaca anak-anak mereka.

CABARAN PERSEPSI

Dalam masa sama, Zaliza turut berdepan cabaran berikutan ada ibu-bapa yang meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap anak-anak mereka.

Selain itu, sebagai prasekolah yang berkonsep pembelajaran ‘bermain dan belajar’, Genius Aulad juga perlu menangani persepsi bahawa pendidikan hanya berlaku dengan cara ‘pelajar memegang buku dan pensil’ dan bukannya melalui aktiviti yang menyeronokkan.

“Ibu bapa perlu melihat kemajuan dan pencapaian anak-anak dengan lebih realistik seperti perubahan tingkah laku yang positif serta perasaan suka untuk ke sekolah dan bukannya meletakkan 100 peratus kepada markah peperiksaan kerana mereka masih di alam prasekolah,” jelasnya.

Untuk itu katanya, Genius Aulad sering melibatkan ibu- bapa dalam Aktiviti Pelajar dan Ibu Bapa (SPA) serta ‘Crayon Loves Ibu’ bagi memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri hasil pembelajaran serta memahami kemampuan anak masing-masing.

Sejak beberapa tahun lalu, Genius Aulad menerima pelbagai anugerah Prasekolah Terbaik di peringkat kebangsaan.

Selain itu, ia turut berusaha mencari peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa berikutan meningkatnya permintaan bagi pendidikan Islam di negara-negara ASEAN.

Zaliza berkata, Genius Aulad juga dilantik menjadi perunding pendidikan untuk pelbagai program dan animasi televisyen kanak-anak seperti ‘Omar & Hana’.

Walaupun Genius Aulad menerima pelbagai pengiktirafan, beliau belum berpuas hati.

“Saya mahu terus membangunkan industri prasekolah Islam dan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyeronokkan di negara ini,” katanya. – BERNAMA