Perkara itu bukanlah luar biasa kerana kebanyakan rumah menerima sentuhan bunga orkid tiruan yang banyak dijual di pasaran. Memandangkan kos untuk mendapatkan orkid segar adalah mahal dan tidak mampu bertahan lama mendorong peminat orkid memilih bunga tiruan.

Namun, tidak semua orkid tiruan tampak asli dan berhati-hatilah ketika memilih. Dalam kalangan penggemar bunga tiruan, nama Abylla Home Decor sentiasa menjadi sebutan.

Pengasasnya, Nabilah Hamzah, 27, berkata, kedainya menawarkan sehingga 250 jenis pokok tiruan termasuk daun keladi dan pokok pisang.

“Melihat permintaan yang meningkat terhadap bunga orkid tiruan, saya kini mula memperkenalkan pelbagai jenis pilihan bunga orkid tiruan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang gemarkannya,” katanya kepada Mega Rona pada majlis pelancaran butik Abylla Home Decor di Bangi baru-baru ini.

Setelah setahun menjalankan perniagaan itu, beliau dan suami mengambil peluang untuk mendekati jiwa penggemar bunga orkid dalam kalangan mereka yang berusia 30-an ke atas. “Ibu mencadangkan saya membawa masuk bunga orkid tiruan memandangkan ibu juga menggemari pokok bunga ini,” katanya sambil memberitahu kelainan Abylla Home Decor adalah kedai itu tidak terikut dengan trend semasa, sebaliknya Nabilah mengambil risiko dengan menawarkan sejumlah pokok tiruan daripada berlainan jenis.

Setakat ini katanya, orkid tiruan dijual di kedainya mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha hotel termasuk Savanna Hills Resort di Ulu Tiram, Johor dan Bangi Golf Resort, Bangi.

“Ayah saya suka mempromosikan orkid tiruan ini kepada kakitangan hotel berkenaan. Lama kelamaan, pihak hotel berminat untuk mendapatkan bekalan orkid tiruan dari kedai saya,” ujarnya yang bersyukur kerana hasil bantuan masyarakat sekeliling kedainya kini semakin dikenali.

Mengulas lanjut katanya, konsep gubahan bunga orkid tidak menentu memandangkan beliau dan ibunya menggubah orkid tiruan mengikut permintaan pelanggan.

Katanya, orkid yang sentiasa menjadi pilihan terdiri daripada dua jenis iaitu kain dan ‘latex’.

“Ada perbezaan di antara kedua-dua jenis ini. Orkid tiruan jenis ‘latex’ warnanya lebih cantik dan seakan-akan asli,” tambahnya.

Nabilah turut berkongsi tip. Katanya, untuk menjaga orkid tiruan mudah sahaja iaitu membersihkannya dengan menggunakan bancuhan pelembut baju yang dicampur dengan air dan kemudian dimasukkan ke dalam botol penyembur.

“Sembur sedikit ke atas setiap kelopak orkid dan kemudian lap dengan kain basah untuk mengekalkan kecantikannya,” katanya.

Selain itu, Nabilah gemar mengadakan aktiviti menggubah orkid tiruan untuk orang ramai.

“Saya suka berkongsi kreativiti yang mana aktiviti ini mampu menarik lebih ramai pelanggan ke kedai,” ujarnya.

Mengenai harga katanya, orkid tiruan pelbagai saiz dijual pada harga RM15 hingga RM500.