Perkara itu dimaklumkan oleh Nuren Group sebagai penganjur anugerah dalam kenyataan hari ini.

Menerusi laman sesawang Motherhood.com.my, Nuren Group juga telah mengumumkan lebih 40 jenama terkenal menerima 'Motherhood Choice Awards' 2019 yang menjadi pilihan ibu bapa di negara ini.

Pemilihan lebih 40 jenama yang menjadi itu dibuat melalui undian membabitkan lebih 500,000 pengguna dalam laman sesawang berkenaan.

Nuren Group sebelum ini memperkenalkan platform

Motherhood.com.my yang membolehkan pemilik serta pengedar jenama barangan bayi mewujudkan hab sehenti untuk mengurus kandungan, e-dagang dan komuniti mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Petrina Goh, berkata, anugerah tersebut diwujudkan bagi mempamerkan jenama dan produk berkualiti tinggi yang paling inovatif dan terbaik dalam pasaran untuk ibu dan bayi.

Katanya, tumpuan diberikan kepada produk-produk kehamilan, bersalin, bayi, kanak-kanak, dan perkhidmatan.

"Anugerah ini dilihat sebagai cara yang baik untuk ibu-ibu berkongsi maklum balas mereka selain memberi pendapat mengenai produk serta perkhidmatan yang mereka telah cuba, uji dan dipercayai.

"Anugerah ini juga bertujuan meraikan jenama yang telah membantu berjuta-juta ibu, selain mendorong jenama lain untuk mencapai kecemerlangan pada masa depan," katanya.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan diadakan dalam satu majlis di ibu negara semalam.

Petrina dalam pada itu memberitahu, agak sukar bagi ibu bapa mendapatkan produk berkualiti dan terbaik untuk anak-anak mereka tanpa panduan serta bimbingan.

Sehubungan itu, beliau percaya, platform Motherhood.com.my merupakan impian kepada para ibu bapa kerana membantu golongan itu mendapatkan produk berkualiti.

"Selain itu, produk dan perkhidmatan yang menerima anugerah sudah tentu membantu mereka yang baharu bergelar ibu.

"Apatah lagi penerima-penerima anugerah ini dipilih oleh pengguna sendiri melalui sistem pengundian yang tidak hanya menetapkan kekuatan jenama mereka tetapi juga mempamerkan penghargaan kepada ibu bapa untuk produk dan perkhidmatan yang ditawarkan," ujar beliau.

Sementara itu, pada majlis sama turut dilancarkan laman sesawang rasmi Motherhood.com.my dan jualan gudang yang bermula hari ini sehingga Ahad. - UTUSAN ONLINE