Terletak di Bandar Baru Bangi, berhadapan padang Majlis Perbandaran Kajang, restoran ini mampu membuatkan pelanggannya menata konsep hipster kerana setiap sudut restoran mempunyai daya penarik tersendiri untuk pelanggan bergambar.

Bahagian pintu masuk restoran
Bahagian pintu masuk restoran. - UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Namun kata dua rakan niaga yang juga Pengurus Cartel, Muhammad Hakim Amir Hamzah dan Ahmad Naqiuddin Haziq, mereka sebenarnya mahu ia kelihatan berbeza daripada restoran lain di negara ini.

Sesuai dengan nama cartel dekorasi ruang dalam restoran memaparkan pelbagai barangan vintaj, lukisan dan poster serta petikan kata terutama daripada filem The Godfather malah buku menu turut memaparkan gambar watak-watak dalam filem itu.

Ruang dalam Cartel Coffee Shop
Ruang dalam Cartel Coffee Shop. UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Mula beroperasi pada 2015, restoran dua tingkat ini boleh memuatkan 150 pelanggan dalam satu masa melalui dua ruang makan iaitu bahagian bawah atau indoor sesuai untuk yang berkeluarga menjamu selera sambil merehatkan mata melihat padang luas dan kegiatan riadah penduduk setempat.

SPICY Aglio Olio
SPICY Aglio Olio. UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Bahagian atas atau outdoor yang berbumbung boleh memuatkan 60 pelanggan namun dikhususkan bagi slot cartel night life iaitu persembahan artis tempatan.

Slot berkenaan yang telah berlangsung sebanyak enam siri sebelum ini merupakan kerjasama dengan Cartel Production yang ditugaskan menjemput artis tempatan membuat persembahan untuk peminat mereka.

GRILL Salmon Sos Mentega Kacang
GRILL Salmon Sos Mentega Kacang. UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Antara penyanyi pernah mengadakan persembahan ialah penyanyi kumpulan Hujan, Noh selain kumpulan Flop Poppy.

“Slot ini turut memberi peluang kepada penerbit buku untuk memperkenalkan buku terbitan masing-masing terutama buku-buku alternatif malah kami baru sahaja mengadakan program bersama syarikat penerbitan Thukul Cetak,’’ kata mereka.

NASI bersama Creamy Butter Dory Fish
NASI bersama Creamy Butter Dory Fish. UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Cartel Coffee Shop mengkhususkan hidangan Barat dengan lebih 50 jenis sajian namun terdapat juga hidangan Melayu gabungan Barat untuk memberi pilihan kepada pelanggan menjamu selera.

Antaranya, spicy aglio olio, pasta pedas yang amat sesuai dengan selera orang Melayu di samping creamy butter dory fish yang dihidangkan bersama nasi ataupun nasi mentega dihidang bersama ayam gril dan sos cendawan.

GRILL Chicken Butter Rice
GRILL Chicken Butter Rice. UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Pelanggan yang meminati hidangan ikan boleh mencuba Grill Salmon, kepingan padat ikan salmon segar yang digril, isinya yang lembut dicicah dengan sos mentega kacang, suatu kelainan berbanding hidangan ikan salmon yang lazimnya dihidangkan bersama sos putih atau sos mentega lemon.

EL Nachos
EL Nachos. UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Biasanya pelanggan menikmati hidangan sup tulang yang dicicah roti `bai’ atau roti benggali tetapi di Cartel Shop Cafe, pelanggan boleh mencuba sup tulang Cartel yang dihidangkan dengan roti Perancis atau sup daging bersama mi yee.

Tidak mahu makanan berat, pelanggan boleh menikmati hidangan snek seperti fried dory fish burger, grill beef burger atau fried chicken burger . Tidakpun menikmati pelbagai hidangan pembuka selera antaranya El-Nachos dicicah sos bolognese sambil menikmati kopi di restoran ini.

Ahmad Naqiuddin Haziq Ahmad Basri (kiri) dan Muhammad Hakim
Ahmad Naqiuddin Haziq Ahmad Basri (kiri) dan Muhammad Hakim. - UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Sesuai dengan namanya coffee cafe, Cartel turut menyediakan lebih 15 jenis minuman kopi untuk penggemarnya dengan sajian kopi paling digemari pelanggan iaitu Columbian Latte iaitu kopi float dan affogato, kopi panas dihidangkan bersama aiskrim.

Minuman signatur restoran ini yang tular dalam media sosial, maryjane juice menggunakan bekas bong iaitu ais kisar berwarna warni gabungan jus tembikai, beri liar, mangga dan pic, adalah satu-satunya hidangan minuman seumpamanya di negara ini.

Para pelanggan menjamu selera sambil melihat aktiviti orang ramai
Para pelanggan menjamu selera sambil melihat aktiviti orang ramai.UTUSAN ONLINE/ROSNI MASRI

Tidak lupa, sajian pencuci mulut antaranya pavlova, salted caramel millecrepe, churros selain kek keju dan pancakes.

Harga kesemua makanan bermula RM6 sehingga RM29 manakala semua minuman berharga RM6 sehingga RM20.

FAKTA CARTEL COFFE SHOP

Lokasi: No. 11, Jalan 15/1d, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Waktu Operasi: 4.30 petang sehingga 1 pagi setiap hari kecuali Isnin.

Facebook: Cartel Coffeeshop