Diilhamkan daripada Jepun, Tail & Fin menampilkan pelbagai hidangan seperti poke bowl, sushi burrito, sushi salad dan sushi tacos. Jenama yang berasal dari Las Vegas ini diasaskan oleh Cef Karu Wedhas, seorang genius dalam dunia kulinari. Beliau dahulunya merupakan Cef Eksekutif di NOBU iaitu sebuah jenama restoran Jepun yang turut disebut-sebut sebagai antara yang terkenal di dunia. Lantaran itu, karier kulinari beliau di cawangan NOBU di Beijing, Las Vegas dan Malibu membuktikan lagi pengetahuan dan kemahirannya dalam seni masakan Jepun.

Di Tail & Fin, Cef Karu mendapat ilham untuk mencipta juadah fusion Jepun yang ringkas dan mudah dengan harga berpatutan. Tiga hidangan utamanya iaitu poke bowls, sushi salad dan sushi burrito menjadi juadah ciptaan pelanggan itu sendiri.

Perkataan poke diambil dari bahasa Hawaii yang bermaksud ‘menghiris’ iaitu sejenis hidangan fusion Jepun yang turut berasal dari Hawaii. Ciri yang membezakan jenis poke bowls ialah penggunaan beras perang atau beras sushi Jepun manakala sushi salad pula menggunakan sayuran. Sesuai dengan namanya, sushi burrito menggunakan kertas rumpai laut untuk membungkus semua bahan-bahannya, menyajikan sebuah hidangan ala burrito.

Restoran ini juga tampil dengan hidangan yang menggunakan nama-nama menarik seperti Angry Bird, satu kombinasi makanan menampilkan ayam panggang, salad romaine, bawang merah, jalapeno dan emping jagung dihidangkan bersama sos teriyaki dan aioli cili bawang putih yang sangat pedas.

Selain itu, stupid good tuna dihidangkan dengan tuna atau salmon, hadir bersama ketam surimi, salad romaine, tomato, timun sunomono, bawang merah dan emping tempura digandingkan dengan yuzu miso dan sos soya manis umami, menjadikannya satu gabungan juadah lazat serta sempurna.

Tidak ketinggalan, pineapple poke bowl yang berbeza jenisnya juga boleh didapati dari semasa ke semasa. Buat pelanggan yang sukakan kelainan, terdapat juga menu build your own, membolehkan pelanggan menghasilkan hidangan ciptaan sendiri daripada bahan beraneka jenis. Tail & Fin juga menghidangkan juadah sampingan yang lain seperti miso soup, seaweed salad, cucumber sunomono dan edamame with sea salt.