Tujuan manusia dijadikan Allah di dunia ini ada tiga. Pertama, untuk ubudiyah, menjadi hamba-nya. Kedua, menjadi khalifah Allah, menjalani kehidupan ini dengan memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita, berdasar keupayaan dan kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita.

Ketiga, mengimarahkan hidup ini mengikut hukum Allah. Hiduplah di dunia ini sebagai destinasi untuk memberi, dan hiduplah di akhirat sebagai tempat untuk menerima dan dapat apa yang telah kita buat sepanjang hayat. Seperti kata Imam Syafie, “Jadikan akhirat di hatimu, dunia di tanganmu, dan kematian di pelupuk matamu”.

Manusia dijadikan Allah dengan empat komponen yang penting iaitu akal untuk memberikan kebolehan atau kecerdasan intelektual manusia untuk memikirkan, menganalisis, menghuraikan, menterjemah dan menguasai sesuatu perkara dan fakta atau disebut IQ (Intelligence Quotient). Hati pula berfungsi untuk emosi – dengan hati, manusia boleh mengawal emosi.

Iaitu EQ (Emotional Quatient), kebolehan atau kecerdasan emosi seseorang untuk mengawal, memberi reaksi dan respons ketika berhadapan dengan sesuatu situasi. Kuasa minda dan kuasa emosi akan mengawal kehidupan kita. Fikiran dan emosi yang baik akan menghasilkan emosi yang baik, tindakan yang baik dan akhirnya mendapat hasil kehidupan yang baik, (ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan). Seterusnya komponen fizikal yang menentukan tenaga dan kesihatan. Dan yang akhir ialah rohani iaitu daripada segi spiritual/kerohanian, yang mengawal keseluruhan pilihan dan keputusan dalam kehidupan kita. Kerohanian ini bergantung pada keimanan kita. Jika baik iman kita, maka akan baiklah cara pemikiran dan tingkah laku kita.

Penting diketahui

Kalau penyair agung kita Sasterawan Negara Usman Awang pernah mencatatkan, “Kalau lalang, suburnya kerana akar, rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar”. Tetapi bagi saya pula, “Kalau orang, mulianya kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal minda menjadi tekal.” Satu lagi yang penting diketahui adalah tentang minda. Dari segi saintifik minda ada dua lapis.

Pertama, iaitu minda sedar (akal). Kedua, minda bawah sedar/minda segar (hati/roh/jiwa). Sebab itulah untuk kita mendapatkan sesuatu yang kita impikan dan cita-citakan kita boleh menggunakan kuasa minda melalui dua teknik iaitu “pembayangan” atau visualisasi. Apa yang kita selalu bayangkan dalam minda, itulah yang kita akan dapat. Bayangkan dengan sejelas-jelasnya dan sertai dengan perasaan gembira seolah-olah kita telah mencapai apa-apa yang kita mahukan, dan kita akan dapat “gerak hati” untuk mengambil tindakan apa yang perlu kita lakukan untuk mencapai perkara yang kita selalu bayangkan itu.

Seterusnya lakukan teknik “penegasan diri” iaitu percaya dengan sebenar-benarnya bahawa kita akan dapat, dengan berkata-kata kepada diri kita. Seelok-eloknya cakap di hadapan cermin, apa yang kita mahukan dan cakap yang positif sahaja tentang diri kita. Hal ini sangat penting kerana apa yang kita cakap tentang diri kita itulah yang akan masuk dalam minda bawah sedar, dan insya-Allah akan kita jadikan kenyataan akhirnya.

Oleh sebab itu pilihlah perkataan yang positif sahaja dalam percakapan, pemikiran dan bicara hati kita, kerana kata-kata itu doa. Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran dan hati kita. Bersangka baik dengan Allah dan jauhi prasangka serta perasaan ragu-ragu terhadap-Nya. Kekuatan manusia juga terletak pada roh: kalau roh kita sihat, fizikal akan sihat; kalau roh kita bahagia, fizikal kita akan bahagia; kalau roh kita tenang, fizikal kita akan tenang.

Apa yang ada dalam jiwa akan terzahir pada fizikal kita; melalui pancaran mata dan bahasa tubuh kita. Kalau kita hendak ubah apa yang kita bakal dapat, kita kena ubah apa yang kita beri. Kita ubah apa yang kita beri berdasarkan pada apa yang ada dalam hati. Sebab itu kualiti hidup kita ditentukan oleh kualiti hati kita. Kalau kita tidak bahagia sebab banyak penyakit hati.

Kita bertanggungjawab dengan hasil kehidupan kita, tidak menyalahkan orang dan suruh orang berubah, kerana percaya apa-apa yang berlaku kepada kita, kita anggap sebagai cermin apa ada dalam hati kita. Maka kita betulkan dan ubah sikap kita dahulu. Sebab peristiwa yang berlaku dalam hidup kita adalah takdir Allah. Kitalah yang takbir diri kita untuk memberikan respons yang positif. Kalau positif maka positiflah hasil kehidupan kita dunia akhirat. ) “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.